Apa Itu “Decentralised Autonomous Organization” (DAO)?

Bolehkah sesebuah syarikat atau organisasi beroperasi menggunakan teknologi blockchain tanpa ketua atau CEO? Ya, sistem pengurusan tidak berpusat adalah norma baru dalam ekosistem kripto.

Ketahui lebih lanjut sejarah, konsep dan contoh DAO yang terkenal.

Decentralised autonomous organization, ataupun DAO, adalah organisasi yang dibina melalui teknologi internet, blockchain untuk menguruskan komuniti yang mempunyai matlamat sama. Antara tujuan DAO digunakan dalam organisasi kripto adalah untuk membentuk sistem yang:

  • Demokratik: Semua keputusan perlu mendapat undi majoriti daripada ahli DAO sebelum boleh diluluskan.
  • Telus: Semua transaksi/keputusan akan direkod dalam blockchain dan tidak boleh digodam atau diubah.
  • Tidak berpusat/”decentralised“: Sesiapa sahaja boleh mengambil bahagian dalam DAO yang menepati kehendak masing-masing.
  • Berpaksikan kod, matematik dan algoritma (Automasi): Berfungsi untuk automasikan sistem sedia ada melalui kontrak pintar. Secara langsung, mengurangkan tenaga kerja manusia dan kos.

Dalam kata mudah, bayangkan terdapat sebuah syarikat vending machine dan syarikat ini berfungsi sebagai DAO. Maksudnya, tiada CEO atau ketua yang membuat keputusan. Bagaimanakah keputusan dibuat?

Semua keputusan dibuat oleh ahli DAO yang mempunyai kepentingan dalam syarikat ini melalui token yang mereka miliki. Token ini digunakan untuk mengundi apa-apa proposal dan dikenali sebagai governance token. (Token ini boleh dijual beli dalam pasaran kripto)

Semua tempahan untuk pengisian semula vending machine akan dibuat berdasarkan kontrak pintar (e.g apabila bekalan tinggal 10%, tempahan akan dibuat secara automatik kepada pembekal A). Sebarang perubahan, contohnya seperti penambahan jenis minuman perlu melalui sistem proposal dan undi seperti yang diterangkan di atas.

Struktur DAO dalam blockchain. Semua peserta sama ada pelanggan, pengurus, pemilik, pekerja berhubung dengan kontrak pintar (“smart contract“).

Sejarah Dan Konsep DAO

Konsep DAO bermula sseawal tahun 2015 lagi melalui Dan Larimer, pelopor awal projek menggunakan teknologi blockchain, dan ditambah baik oleh Vitalik Buterin, pengasas Ethereum, pada tahun 2016.

DAO membantu untuk mengekalkan keselamatan dalams sesebuah rangkaian melalui kerjasama komuniti. Tetapi, bagaimana untuk bekerjasama dengan orang yang kita tidak kenal?

Dua cara;

  • Matlamat yang sama
  • Insentif

Ahli atau peserta DAO tidak tertakluk kepada kontrak seperti pekerjaan tetap tetapi melalui insentif ganjaran dalam bentuk token.

Undang-undang yang telah ditetapkan sejak awal penubuhan DAO menjadi “penggerak” untuk sesuatu aktiviti. Undang-undang ini ditulis dalam bentuk kontrak pintar dan boleh dianggap sebagai sebuah “perlembagaan” dalam DAO. Semua perubahan sama ada dalam undang-undang/kontrak pintar/protokol memerlukan konsensus majoriti.

Contoh DAO Yang Terkenal Dalam Ekosistem Kripto

Uniswap

Platform pertukaran matawang kripto dalam rangkaian Ethereum dan merupakan platform pertukaran terbesar di dunia (Nilai pertukaran harian: lebih USD1 billion). Protokol untuk Uniswap dikawal oleh DAO. Proposal dan undi boleh dibuat dalam laman Uniswap.

Token Uniswap iaitu $UNI sebelum ini digunakan untuk insentif pelabur bagi meletakkan matawang kripto mereka dalam platform ini. Kemudian, mereka mengubah fungsi UNI kepada 100% governance token dan memberi kuasa kepada pemilik UNI untuk mengundi masa depan platform ini melalui penambahbaikan atau pelaburan baru.

Untuk tahu lebih lanjut berkenaan Uniswap dan token UNI, anda boleh klik di sini.

MakerDAO

Platform tidak berpusat (“decentralised“) yang membolehkan pengguna membuat deposit atau pinjaman dengan matawang kripto tanpa perlu melalui pihak ketiga. MakerDAO adalah antara platform awal yang meneroka konsep Decentralised Finance (DeFi).

MakerDAO dibina berasaskan servis kontrak pintar dalam rangkaian Ethereum (ERC-20) dan bertujuan untuk menguruskan kadar faedah dan pinjaman, serta dua matawang iaitu DAI (stablecoin) dan Maker (governance token). DAI adalah stablecoin yang ditambat kepada nilai 1 US Dollar dan merupakan stablecoin keempat paling popular di dunia.

Maker ($MKR) membolehkan pemilik token ini untuk mengundi dalam proposal yang dikeluarkan dalam DAO. Untuk ketahui lebih lanjut tentang bagaimana MakerDAO berfungsi, klik di sini.

Aave

Sebuah lagi protokol terkenal dalam DeFI, Aave membolehkan pengguna deposit atau pinjam aset tanpa pihak ketiga. Seperti MakerDAO, Aave juga mempunyai operasi dalam rangkaian Ethereum (ERC-20) dan satu lagi rangkaian tambahan iaitu Polygon.

$AAVE pula adalah governance token untuk protokol Aave. Pemilik boleh menggunakan Aave untuk mengundi dalam DAO dan juga boleh digunakan sebagai cagaran untuk menaikkan had pinjaman atau dapatkan diskaun dalam caj pinjaman.

Rumusan

Pengurusan dalam bentuk DAO semakin mendapat perhatian dalam komuniti kripto kerana ketelusan dan penglibatan komuniti dari akar umbi platform. Sama seperti memulakan sebuah koperasi atau syarikat tetapi ahli boleh datang dari mana-mana sahaja di serata dunia asalkan mempunyai matlamat yang sama.

Selain itu, sesiapa sahaja boleh memiliki governance token ini dan secara langsung, mengelakkan diskriminasi dalam sesuatu organisasi.

DAO juga kini dapat dibina dengan mudah dengan platform seperti Aragon yang membantu pelancaran DAO menggunakan template sedia ada ataupun dengan idea implementasi kontrak pintar sendiri.

Baru-baru ini, organisasi bantuan daripada Malaysia, Kitajaga.co, telah mengumumkan bahawa pengurusan masa depan mungkin akan dibuat dalam bentuk DAO. Konsep ini masih baru dan tidak lari dari kontroversi (seperti dana Uniswap yang dijual selepas diundi untuk diberi sebagai “dana pendidikan”)

DAO mempunyai potensi besar untuk menggantikan sistem syarikat di masa yang akan datang. Ekosistem kripto bakal melihat perkembangan sistem DAO dalam merevolusikan cara pengurusan ke arah sistem pengurusan tidak berpusat.

 

Apakah pendapat anda tentang sistem pengurusan melalui Decentralised Autonomous Organization (DAO)? Apakah kelemahan dan kelebihan sistem DAO yang anda tahu?

LaburWatch merupakan media kripto khas yang dibina untuk anda. Bantu kami sediakan lebih banyak konten untuk anda dengan derma ke alamat yang tertera di bawah.

Ethereum/BSC/Polygon Network:
0xfFe09B19cF2AeB10d3975570d21b5A86e6e0a1e3

LaburWatch exists with the community and for the community. Help us reach out to more audiences and produce more content by donating to our crypto address below.

Ethereum/BSC/Polygon Network:
0xfFe09B19cF2AeB10d3975570d21b5A86e6e0a1e3

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram

Bacaan Seterusnya