Apa Itu “Decentralised Finance” (DeFi)?

Sebelum ini dengan kripto, anda boleh bayar tanpa melalui bank. Kini, dengan DeFi, bayangkan anda boleh simpan, labur dan pinjam wang tanpa melalui pihak bank.

Ketahui lebih lanjut tentang decentralised finance.

Decentralised finance, atau lebih dikenali dalam komuniti kripto sebagai DeFi, adalah terma yang diberikan kepada servis kewangan tidak berpusat seperti pertukaran, insurans, serta pasaran kewangan seperti pinjaman dan deposit.

Defi adalah infrastruktur penting dalam memastikan kelestarian dan penggunaan kripto dalam aktiviti seharian. Ekosistem DeFi dibina berdasarkan organisasi tidak berpusat, atau DAO dan ada yang beranggapan bahawa ia akan mula menggantikan servis kewangan sedia ada.

Apa Itu DeFi?

DeFi merangkumi semua servis kewangan yang tidak mempunyai kuasa pusat atau ketua. Dengan menggunakan wang tidak berpusat seperti matawang kripto (Bitcoin, Ethereum), aktiviti kewangan boleh diprogramkan dengan menggunakan kod dan kontrak pintar sahaja.

Melalui cara ini jugalah organisasi dan servis kewangan dibina tanpa mempunyai ketua atau kuasa pusat. Binance adalah syarikat matawang kripto terbesar di dunia manakala Luno merupakan syarikat matawang kripto terbesar di Malaysia. Kedua-dua entiti tidak dikira dalam kategori DeFi kerana mereka dikawal oleh CEO, undang-undang, pemegang saham dan entiti lain.

Sebagai contoh, pengganti Binance dan Luno dari segi pertukaran matawang kripto dalam dunia DeFi adalah Uniswap dan Pancakeswap. Kedua-dua platform ini membenarkan pengguna menukar daripada satu matawang kripto ke matawang kripto yang lain tanpa perlu melalui pengantara dalam bentuk syarikat. Semua ahli komuniti mengambil bahagian dalam memastikan infrastruktur ini kekal berfungsi dalam talian.

Komponen Utama Dalam DeFi

#1. Infrastruktur

Untuk membina sistem tidak berpusat, perkara paling penting adalah bagaimana untuk automasikan servis. Dalam DeFi, semua perkara perlu dikod dan oleh itu, memerlukan “kertas putih” untuk tujuan programming. Ethereum menyelesaikan masalah ini dengan mempunyai kontrak pintar.

Dengan kontrak pintar dalam Ethereum, mana-mana platform boleh membina program mereka sendiri. Platform ini dikenali sebagai Dapps, ataupun Decentralised App.

Matawang lain juga mempunyai fungsi kontrak pintar dan semakin popular dalam dunia DeFi seperti Avalanche dan Polygon.

#2. Matawang Stabil (Stablecoin)

Setiap sistem kewangan memerlukan medium pertukaran. Dalam ekosistem kripto, tentu anda anggap bahawa Bitcoin dan Ethereum sebagai medium pertukaran utama. Tetapi, untuk sistem kewangan berfungsi dengan baik, sistem perlu mempunyai mod pertukaran yang tidak mempunyai naik turun mendadak seperti Bitcoin/Ethereum.

Bagaimana? Stablecoin. Kategori wang kripto ini membolehkan pengguna sistem DeFi memiliki aset atau pegangan yang disandarkan dengan nilai matawang sebenar (majoriti dalam US Dollar). Dalam DeFi, stablecoin yang kerap digunakan adalah DAI kerana ianya tidak dikawal oleh mana-mana badan berpusat dan mempunyai fungsi kontrak pintar.

#3. Servis Kewangan

Komponen paling penting yang ditawarkan Defi ialah servis kewangan. Tetapi bagaimanakah servis kewangan boleh ditawarkan dalam ekosistem kripto yang tidak dikawal undang-undang dan bersifat “spekulatif” seperti Bitcoin?

DEX, ataupun decentralised exchange adalah tunjang utama dalam DeFi. Melalui DEX, anda boleh tukar Bitcoin/stablecoin/Ethereum atau apa-apa matawang kripto kepada matawang yang lain tanpa melalui pihak ketiga. Semuanya dikawal oleh kod dan programming open source yang boleh disemak/audit oleh sesiapa sahaja.

Apa yang paling menarik berkenaan servis kewangan yang ditawarkan adalah tiada pengesahan identiti (Know Your Customer) dibuat dalam mana-mana platform DeFi dan anda hanya perlukan dompet digital yang boleh berhubung dengan Dapp. Dompet paling kerap digunakan di dunia adalah Metamask.

Kelebihan dan Risiko Menggunakan DeFi

Antara kelebihan yang ditawarkan DeFi berbanding servis kewangan tradisional adalah:

  • Telus dan Tidak berpusat: Sesiapa sahaja boleh audit dan lihat pegangan dalam sesuatu dompet atau pergerakan sesuatu matawang kripto. Bayangkan anda boleh jejak pergerakan wang RM50 dengan hanya masukkan nombor siri ke dalam sistem terbuka.
  • Beroperasi secara multi platform: Anda boleh gunakan suatu matawang dalam pelbagai jenis app yang anda mahu sama ada pinjaman, simpanan, deposit atau pelaburan.
  • Pengalaman yang lebih interaktif dan bersifat DIY: Anda bertanggungjawab terhadap semua servis kewangan melibatkan aset kripto anda. Ini termasuk menilai risiko sendiri dan meneroka sendiri pilihan yang ada dalam pasaran. Jadi, kebanyakan Dapp mempunyai strategi pemasaran yang lihat lebih “ceria” dan “berwarna-warni” berbanding sifat profesional oleh servis kewangan tradisional.

Tetapi, walaupun menarik untuk diteroka, anda juga perlu sedar akan risiko menggunakan platform DeFi seperti:

  • Ekosistem yang masih baru: Banyak perkara buruk boleh terjadi dan anda berpeluang hilang segala-galanya dalam dunia digital. Tiada yang pasti dalam ekosistem kripto dan walaupun untuk platform yang banyak digunakan, mereka masih tidak dijamin selamat. Undang-undang pula tidak menyebelahi anda di mana tiada perlindungan untuk anda sekiranya aset anda digodam.
  • Risiko kontrak pintar: Ini merupakan isu terbesar dalam sesuatu platform DeFi. Walaupun telah diaudit dan program terbuka kepada orang ramai, masih ada risiko bahawa kontrak pintar anda mempunyai kod tersembunyi atau berniat jahat.
    • Sebagai contoh, kod setMigrator yang kadangkala digunakan untuk memindahkan semua aset dalam sesuatu Dapp ke Dapp versi baru. Jika pengasas atau penggodam berniat jahat, kod ini boleh dieksploitasi untuk kepentingan diri sendiri.

Rumusan

Dunia Defi masih lagi baru tetapi mempunyai perkembangan yang menarik. Sebagai contoh, anda boleh lihat platform deposit dan pinjaman yang mempunyai ramai pengguna dan terkenal di kalangan komuniti kripto seperti Compound, Aave, Maker dan Venus.

CoinGecko juga telah melancarkan buku terbaru mereka yang menyentuh DeFi daripada asas iaitu “How To Defi”. Terdapat banyak sumber rujukan tentang DeFi yang menyentuh tentang pelbagai jenis aspek kewangan. Malah, lebih inovatif daripada sistem kewangan tradisional.

Apa-apa pun, anda perlu buat kajian sendiri dan pastikan anda hanya laburkan wang yang anda hanya mampu lihat jatuh kepada kosong. Ruang kripto masih lagi bersifat spekulatif dan tidak dikawal undang-undang. Walaupun menarik, risiko juga perlu ditimbang sekali dalam membuat keputusan.

 

Adakah anda berminat untuk mula menggunakan DeFi? Jika anda pernah menggunakan DeFi, kongsi bersama kami pengalaman anda.

LaburWatch merupakan media kripto khas yang dibina untuk anda. Bantu kami sediakan lebih banyak konten untuk anda dengan derma ke alamat yang tertera di bawah.

Ethereum/BSC/Polygon Network:
0xfFe09B19cF2AeB10d3975570d21b5A86e6e0a1e3

LaburWatch exists with the community and for the community. Help us reach out to more audiences and produce more content by donating to our crypto address below.

Ethereum/BSC/Polygon Network:
0xfFe09B19cF2AeB10d3975570d21b5A86e6e0a1e3

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram

Bacaan Seterusnya