Apa Itu NFT?

Koleksi seni digital Beeple, atau nama sebenar Mike Winkelmann, telah berjaya dijual di Christie’s, pelelong seni terbesar di dunia, dengan harga USD69 juta! Ini menandakan era baru dalam penerimaan teknologi blockchain dalam dunia seni.

Karya berjudul “Everydays: The First 5000 Days” adalah hasil seni digital Beeple yang telah menghasilkan satu seni digital setiap hari selama 14 tahun.

Christie’s berada dalam dunia lelongan seni selama lebih 250 tahun dan mempunyai sejarah dalam jualan seni melibatkan karya oleh Shakespeare dan Leonardo da Vinci. Penglibatan mereka dalam Non-Fungible Token (NFT) mengukuhkan lagi status NFT untuk diterima masyarakat.

Tetapi, apakah sebenarnya NFT?

Apa Itu Non-Fungible Token (NFT)?

Untuk memahami konsep NFT, kita perlu faham dahulu maksud non-fungible.

Non-fungible: tidak sama dan tidak boleh ditukar.

Kredit: coindoo.com

Contoh aset fungible; nota RM50 sama dengan nota RM50 lain. 1 bitcoin sama dengan 1 bitcoin lain.

Contoh aset tidak fungible; 1 rumah keluasan sama di Shah Alam tidak sama dengan 1 rumah keluasan sama di Damansara. Hak milik jenama Ahmad Frozen Foods tidak sama dengan hak milik jenama Abdul Frozen Foods.

Kredit: Shutterstock

Jadi, sedikit sebanyak anda sudah faham konsep fungibility. Apa yang membuatkan NFT begitu bernilai dan digembar-gembur telah merevolusikan dunia seni?

NFT membolehkan anda jual dan beli hak milik barangan digital. Dengan menggunakan teknologi blockchain, pemilik asal, pembeli dan penjual dapat direkod dengan sah tanpa sebarang pemindaan boleh dibuat. Ini membuatkan NFT menjadi bukti bahawa sesuatu transaksi telah dilakukan.

NFT boleh melibatkan apa-apa format digital daripada lagu, lukisan, animasi GIF, video atau aksesori permainan video. Jenis NFT boleh dibahagikan kepada dua;

  1. Unik dan hanya ada satu. (e.g lukisan)
  2. Cetakan beberapa unit. (e.g 500 kad digital terhad)

Contoh NFT:

Sempena ulangtahun ke-10 Nyan, artis asalnya, Chris Torres, berjaya menjual hasil seni digital ini dengan harga USD600,000 dalam lelongan online. 

Gucci Ghost #27 daripada 45 unit. Ia boleh dibeli di sini. Kredit: niftygateway.com
Salah satu karya Beeple berjudul “Infected Culture” yang dijual dengan harga USD300,000. Kredit: Beeple

Elon Musk pun turut sama menyenaraikan hasilnya dalam kegilaan NFT baru-baru ini. 

Mengapa NFT Mampu Merevolusikan Dunia Seni?

Ya, memang seni seperti ini boleh dicetak begitu sahaja di dalam media. Namun, sama seperti lukisan Monalisa oleh Leonardo da Vinci, pemilik sebenarnya hanya dapat diketahui melalui dokumen dan pengesahan.

NFT membantu dunia seni dari segi;

Mengurangkan penglibatan orang tengah

Dunia seni telah lama didominasikan oleh “orang tengah” sama ada pengedar, pelelong atau peruncit. Dengan NFT, artis mampu menjual produk mereka terus kepada peminat dan secara langsung, peminat dapat menyokong artis di samping memiliki karya yang terhad.

Sebagai contoh, Kings of Leon, kumpulan rock Amerika Syarikat, merupakan salah satu artis pertama yang mengeluarkan album terbaru mereka bersama pilihan NFT. “When You See Yourself” akan ditawarkan dalam bentuk NFT hanya sehingga 19 Mac 2021. Selepas tarikh ini, NFT yang tidak terjual akan dilupuskan.

Tanpa penglibatan pengedar, keuntungan daripada jualan album, lukisan atau hasil seni lain boleh disalurkan terus kepada artis. Setakat ini, Kings of Leon telah berjaya memperoleh USD2 juta daripada hasil jualan NFT.

Album Kings of Leon yang ditawarkan dalam bentuk NFT.

Proses pengesahan yang lebih dipercayai

Kalau anda pernah lihat dokumentari Netflix, Made You Look, yang mengisahkan bagaimana hasil lukisan ciplak yang berjaya menipu pengumpul seni sebanyak USD80 juta, anda akan sedar bahawa masalah sebenar adalah proses mengenal pasti sama ada hasil karya seseorang itu tulen atau tidak.

Lukisan ciplak Mark Rothko (kiri) berbanding asli (kanan). Dipaparkan dalam dokumentari “Made You Look”. Kredit: ABC News

Tambahan pula untuk artis yang terkenal selepas mereka meninggal dunia seperti Van Gogh, Johann Sebastian Bach atau Johannes Vermeer. Tidak mungkin mereka mempunyai dokumen yang sah untuk membuktikan pemilikan pembeli. Jadi, karya ciplak dapat dihasilkan dan dijual dengan penipuan dokumen.

Dengan NFT, karya artis dapat disahkan keasliannya dan pemilik-pemilik seterusnya. Cara ini lebih selamat dan memandangkan hasil seni digital semakin banyak, NFT adalah masa depan dunia seni.

Kenapa Beli NFT?

Bergantung. Sama seperti karya seni seperti lukisan daripada artis terkenal, sebab atas pembelian NFT berbeza bagi setiap orang. Antaranya;

Bukti pemilikan karya artis kegemaran

Contohnya, kalau band Hujan melancarkan album mereka sebagai NFT sebanyak 200 unit, peminat dapat memiliki album berbentuk terhad ini dan mempunyai bukti bahawa mereka adalah pemiliknya.

Pemilikan seperti ini tidak bermakna anda akan dibayar royalti. Ianya sama seperti anda memiliki CD terhad daripada Hujan cuma dalam bentuk digital.

Kings of Leon, antara artis musik pertama yang menggunakan NFT dalam pelancaran album. Kredit: Matthew Followill

Pelaburan Spekulatif

Sama seperti orang yang memiliki baju vintaj untuk dibuat pelaburan, begitu juga mengapa sesetengah pengumpul sanggup berbelanja ribuan untuk memiliki koleksi terhad. Tahukah anda bahawa ada t-shirt vintaj yang berharga sehingga RM1.2 juta kerana nilai sejarah dan unit yang terhad!

Jadi, pelabur NFT fokus kepada ikon, sejarah dan pop kultur karya seni NFT dan berharap agar ia akan lebih bernilai di masa akan datang.

Contoh t-shirt vintaj yang berharga RM168,000. Kredit: moneyinc.com

Hype

Hype dalam memiliki sesuatu yang terhad bukan benda baharu dalam masyarakat. Aspek ini dikembangkan dalam bentuk digital melalui NFT. Jenama seperti Supreme, Yeezy dan Air Jordan adalah beberapa contoh popular dalam perniagaan hype. Mereka dengan sengaja mengeluarkan produk dalam unit yang terhad supaya pembeli memiliki nilai ekslusif.

Tujuan NFT adalah mengesahkan jumlah dan unit yang terhad ini. Nilai kasut Nike Air Jordan AJ1 dengan cop #1 mungkin mempunyai nilai yang berbeza berbanding kasut yang sama dengan cop #2. Cuma dengan NFT, hype ini tidak terhad kepada pakaian tetapi boleh merangkumi aksesori permainan video, peta digital atau apa-apa sahaja format digital.

NFT kereta lumba virtual yang dijual oleh permainan video rasmi Formula One, F1 Delta Time. Kredit: f1deltatime.com

Rumusan

NFT mula mendapat perhatian baru-baru ini melalui jualan koleksi Beeple tetapi konsep pemilikan aset digital secara terhad ini sudah pun dibina pada tahun 2017 melalui CryptoPunks dan CryptoKitties.

Penggunaan internet dijangka akan lebih meluas di masa akan datang. NFT membina keterhadan digital dalam era di mana kita semua dapat copy-and-paste apa sahaja di internet.

Ia juga mencipta revolusi baru di mana artis dapat menjual karya mereka kepada sesiapa sahaja di dunia dan masih mengekalkan nilai ekslusif tersebut. Isu pengesahan juga dapat diselesaikan melalui NFT.

Tetapi adakah sesuatu yang mengesahkan anda mempunyai gambar JPEG atau GIF bernilai jutaan ringgit? Mungkin terlalu awal.

Adakah anda berminat untuk memiliki NFT? Pembelian boleh dibuat menggunakan Ethereum di platform seperti OpenSea, Nifty Gateway dan Rarible

Jika anda berminat dengan NFT dan belum memiliki Ethereum, anda boleh menggunakan platform seperti Luno atau Binance.

LaburWatch merupakan media kripto khas yang dibina untuk anda. Bantu kami sediakan lebih banyak konten untuk anda dengan derma ke alamat yang tertera di bawah.

Ethereum/BSC/Polygon Network:
0xfFe09B19cF2AeB10d3975570d21b5A86e6e0a1e3

LaburWatch exists with the community and for the community. Help us reach out to more audiences and produce more content by donating to our crypto address below.

Ethereum/BSC/Polygon Network:
0xfFe09B19cF2AeB10d3975570d21b5A86e6e0a1e3

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram

Bacaan Seterusnya