Apa Itu SPAC? Definisi, Konsep dan Contoh

Grab akan disenaraikan di pasaran saham Amerika Syarikat melalui SPAC dengan nilai sebanyak USD35 billion. Tetapi, apa itu SPAC dan mengapakah Grab mengambil keputusan untuk menggunakan SPAC?

Mungkin ada yang keliru dengan definisi syarikat SPAC ini dan di sini kami akan terangkan apa itu SPAC, konsep dan contoh.

Apa Itu SPAC?

SPAC bermaksud Special Purpose Acquisition Vehicle dan ia adalah syarikat cek kosong. Menurut definisi Security Exchange Commission (SEC), SPAC dicipta untuk “mengumpul dana awam untuk membiayai penggabungan syarikat persendirian yang berpotensi dalam tempoh yang ditentukan”.

Maksudnya, syarikat SPAC tidak mempunyai apa-apa perniagaan atau operasi dan dicipta hanya untuk digabungkan bersama syarikat lain. Kelebihan SPAC adalah mereka sudah pun disenaraikan di pasaran saham dan hanya menunggu masa untuk digabungkan dengan syarikat persendirian. Jika tiada syarikat digabungkan dalam tempoh yang ditetapkan, wang akan dipulangkan semula kepada pelabur.

Syarikat persendirian pula tidak perlu menjalani proses penyenaraian di pasaran saham yang bukan sahaja rumit malah mampu memakan kos yang tinggi.

Anggap sahaja ia seperti IPO di mana pelabur dapat “memiliki” sesuatu syarikat sebelum ia disenaraikan. Pasaran IPO di Amerika Syarikat lebih berpihak kepada institusi kewangan di mana tiada kuota untuk pelabur individu ditetapkan oleh SEC. Jadi, orang awam tidak mempunyai peluang untuk mengambil bahagian dalam proses penyenaraian syarikat dan hanya dapat membeli saham tersebut hanya setelah ia disenaraikan.

Penyenaraian SPAC Naik Dengan Mendadak Sejak 2015

Berbanding pada tahun 2003, SPAC hanya mengambil sebanyak 1% daripada jumlah IPO di Amerika Syarikat. Namun, sejak 2015, SPAC semakin popular di kalangan pelabur awam. SPAC mengambil sebanyak 30% daripada seluruh jumlah IPO pada tahun 2020 dengan rekod tertinggi sebanyak 200 penyenaraian sepanjang tahun.

Kredit: Schroders

Nilai SPAC juga semakin besar. Pada tahun 2021 sahaja, nilai syarikat SPAC melebihi semua nilai syarikat daripada 2003 hingga 2019 digabungkan!

Kredit: Schroders

Mekanisma Syarikat SPAC

Antara pihak yang memainkan peranan adalah penaja, pelabur dan SEC.

Langkah asas dalam penyenaraian SPAC:

  1. Penaja perlu mengeluarkan wang modal dalam USD25,000 kepada SPAC dan akan mendapat 20% saham dan derivatif (warrants) daripada SPAC.
  2. SPAC ini perlu mendapat pengesahan daripada SEC, badan sekuriti Amerika Syarikat.
  3. Kemudian, SPAC akan disenaraikan di pasaran saham dengan harga USD10 seunit.
  4. Wang yang diperoleh daripada IPO ini akan diletakkan dalam akaun amanah (trust account) yang akan dilaburkan dalam aset risiko rendah.
  5. Penaja perlu mencari syarikat untuk digabungkan dalam masa 18 hingga 24 bulan.
  6. Keputusan sama ada syarikat baru akan digabungkan atau diberi lebih masa dibuat dengan undi majoriti pemegang saham.
  7. Jika tidak, wang ini akan dipulangkan semula kepada pelabur dengan harga USD10 seunit berserta faedah.
Kredit: Schroders

Contoh SPAC Yang Popular

SPAC Daripada Ikon Selebriti

Penyanyi lagu hits popular tahun 2000an, Ciara, telah mengambil bahagian dalam penyenaraian SPAC melalui syarikat Bright Lights Acquisition ($BLTSU).

Juara tenis wanita, Serena Williams adalah ahli syarikat Jaws Spitfire Acquisition ($SPFR).

Bintang sukan bola keranjang di NBA turut terlibat dalam SPAC seperti Shaquille O’Neal dengan Forest Road Acquisition ($FRX) dan Stephen Curry dengan Dune Acquisition ($DUNEU).

Industri Angkasa Lepas

Richard Branson, CEO Virgin Galactic, selepas penggabungan syarikat beliau menerusi Social Capital Hedosophia Holdings.

Virgin Galactic ($SPCE) adalah syarikat pelancongan angkasa lepas milik Richard Branson digabungkan dengan syarikat SPAC milik bekas eksekutif Facebook, Chamath Palihapathiya.

Industri angkasa lepas lebih popular untuk digabungkan dengan SPAC kerana kebanyakan syarikat masih tidak mempunyai pendapatan dan hanya bergantung kepada konsep. Jadi, mereka lebih susah mengumpul dana melalui penyenaraian di pasaran saham.

Grab Holdings Incorporated

Grab dinilai sebanyak USD35 billion dalam proses penggabungan SPAC mereka baru-baru ini.

Grab Holdings Incorporated, syarikat yang terkenal dengan servis penghantaran makanan dan dikenali sebagai “pembunuh” industri teksi ini telah dinilai sebanyak USD35 billion.  Syarikat yang terlibat dalam penggabungan ini adalah Altimeter Capital Management dan dijangka akan disenaraikan melalui Altimeter Growth Corp 1 ($AGC).

Rumusan

SPAC juga tak lari daripada kontroversi. Peluang mencipta SPAC diambil oleh jutawan dan selebriti dengan menggunakan reputasi mereka bagi menarik pelabur. Tidak semestinya syarikat yang akan digabungkan ini akan menambah baik keadaan. Ada yang mengambil masa sehingga 2 tahun untuk jumpa syarikat yang boleh digabungkan.

Dengan modal yang rendah, sesiapa sahaja boleh menaruh reputasi mereka untuk mendapatkan wang “mudah”. SEC juga meletakkan amaran kepada pelabur untuk SPAC yang melibatkan selebriti.

Asas perniagaan adalah perkara paling penting dalam menilai pelaburan saham terutamanya dari segi perolehan, jangkaan pulangan modal dan kadar peningkatan untung masa depan. Mungkin ada SPAC yang berkualiti dan mungkin juga semua sekadar hype sahaja. Pastikan anda buat kajian terlebih dahulu sebelum melabur.

Apakah pendapat anda tentang SPAC? Adakah ini bubble atau instrumen penggerak modal perniagaan yang inovatif?

LaburWatch merupakan media kripto khas yang dibina untuk anda. Bantu kami sediakan lebih banyak konten untuk anda dengan derma ke alamat yang tertera di bawah.

Ethereum/BSC/Polygon Network:
0xfFe09B19cF2AeB10d3975570d21b5A86e6e0a1e3

LaburWatch exists with the community and for the community. Help us reach out to more audiences and produce more content by donating to our crypto address below.

Ethereum/BSC/Polygon Network:
0xfFe09B19cF2AeB10d3975570d21b5A86e6e0a1e3

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram

Bacaan Seterusnya