Apa Sebenarnya Terjadi Ketika Krisis Dot Com Tahun 2001?

Indeks NASDAQ jatuh sebanyak 75% dalam masa kurang dua tahun bermula dari bulan Mac 2000 hingga Oktober 2002. Fenomena ini dikenali sebagai “Dot Com Bubble” dan telah menghapuskan banyak syarikat teknologi dan internet.

Apakah sebenarnya yang terjadi ketika krisis Dot Com ini?

Pada tahun 2001, syarikat “eCommerce” seperti Pets.co, Webvan, 360Networks, Boo.com, eToys dan lain-lain lagi telah diisytiharkan sebagai bankrap. Saham syarikat-syarikat ini naik dengan mendadak pada awal era Internet disebabkan oleh spekulasi dan sifat optimistik pelabur dalam internet.

Namun, kenaikan syarikat internet ini sekejap sahaja. Pada tahun 2002, jumlah kerugian pelabur dijangka telah mencecah sebanyak USD5 trillion.

Ketahui apa yang menyebabkan spekulasi era syarikat internet dari tahun 1994 hingga tahun 2003.

Kronologi Era Dot Com

Sejarah NASDAQ

NASDAQ merupakan pasaran saham yang berpangkalan di New York, Amerika Syarikat.

NASDAQ juga merupakan pasaran saham elektronik pertama di dunia dan memulakan operasi pada bulan Februari 1971.

Berbanding dengan pasaran saham lain seperti New York Stock Exchange (NYSE), NASDAQ lebih bersifat mesra dengan syarikat teknologi.

1989

  • Indeks NASDAQ berada di paras 378.56
  • World Wide Web (WWW) bermula sebagai projek daripada Organisasi Kajian Nuklear Eropah (juga dikenali sebagai CERN). Projek ini dinamakan “ENQUIRE” dan bertujuan untuk memberi platform kepada saintis untuk menghubungkan dan mencari dokumen berkaitan kajian mereka.
  • AOL Inc., syarikat internet, melancarkan servis perhubungan, “Instant Messenger” yang terkenal dengan mesej ikonik, “You’ve Got Mail!” seperti di bawah.

1990

  • Laman web pertama di dunia dilancarkan oleh CERN dan boleh diakses di mana-mana sahaja.
  • Laman carian pertama di dunia, “Archie” dilancarkan oleh pelajar McGill University, Alan Emtage.

1992

  • NASDAQ mencecah nilai 580.04
  • AOL disenaraikan di pasaran saham NYSE.

1993

  • CERN meletakkann teknologi World Wide Web di domain awam yang bermakna sesiapa sahaja dapat memperoleh akses terhadap teknologi ini.

1994

  • NASDAQ mencecah nilai 777.29
  • Pembelian dalam talian pertama di dunia untuk tempahan pizza daripada Pizza Hut.
  • Yahoo Inc., dibina oleh Jerry Yang dan David Filo yang pada mulanya dikenali sebagai Jerry and David’s Guide to the World Wide Web.
David (kanan) dan Jerry (kiri) menubuhkan syarikat internet, Yahoo Incorporated pada tahun 1994. Kredit: Getty Images

1995

  • Lebih banyak syarikat internet ditubuhkan seperti Craigslist, eBay, Match.com, MSN dan Amazon.
  • Pada hujung tahun, Netscape disenaraikan dalam pasaran NASDAQ dengan harga USD28 seunit. Dalam hari yang sama, harga naik sebanyak 167% ke paras tertinggi iaitu USD75.
  • Microsoft melancarkan sistem “Windows 95” yang mempunyai laman carian popular; “Internet Explorer”.
Windows 95. Kredit: Wikipedia Commons

1996

  • NASDAQ mencecah nilai 1052.83, naik sebanyak 35% berbanding dua tahun sebelum ini.
  • Peruncit dalam talian, eToys.com ditubuhkan

1997

  • Pets.com ditubuhkan
  • Amazon disenaraikan di pasaran NASDAQ dengan harga USD18 seunit.
Jeff Bezos ketika Amazon pertama kali disenaraikan di NASDAQ. Kredit: Getty Images

1998

  • NASDAQ mencecah 1574.10
  • Flooz, Webvan dan Google ditubuhkan.
  • eBay disenaraikan di NASDAQ dengan harga USD18 setiap unit dan naik sebanyak 163% hanya di hari pertama penyenaraian.
  • theGlobe.com, konsep media sosial pertama di dunia, disenaraikan di pasaran saham dan mencecah nilai sebanyak USD842 juta. Harga awal penyenaraian adalah USD9 dan naik sebanyak 997% ke paras tertinggi dengan harga USD97.
Contoh laman depan theGlobe.com. Kredit: Wikipedia

1999

  • Priceline.com, syarikat pelancongan diskaun dalam talian, disenaraikan di pasaran saham. Pada hari pertama, saham syarikat ini naik sebanyak 437%.
  • eToys.com, syarikat peruncitan mainan kanak-kanak dalam talian, naik hampir 400% pada hari pertama penyenaraian iaitu pada harga USD76
  • Webvan, syarikat penghantaran barang runcit, mengumumkan bahawa mereka akan melabur sebanyak USD1 billion untuk gudang dan akan berkembang ke 26 buah bandar dalam masa dua tahun. Namun, Webvan masih mencatatkan kerugian sebanyak USD35 juta pada awal tahun 1999. Mereka mengumpul sebanyak USD475 juta pada hujung tahun melalui penyenaraian saham dan dinilai setinggi USD1.2 billion.

2000

  • NASDAQ mencecah nilai tertinggi di era Dot Com pada 10 Mac 2000 iaitu 5132.52, naik sebanyak 390% dalam masa 4 tahun. Pada hujung tahun, nilai NASDAQ jatuh sebanyak 52% daripada nilai tertinggi.
  • Pets.com, dengan bantuan Amazon, berjaya mengumpul USD82 juta daripada penyenaraian saham di awal tahun. Pada 9 bulan terawal tahun 2000, Pets.com telah rugi sebanyak USD147 juta dan pada bulan November tahun yang sama, Pets.com diisytiharkan bankrap.
  • eBay jatuh sebanyak 85% daripada harga penyenaraian 2 tahun lalu kepada USD2.81 seunit.
  • Pada tahun 2000 sahaja, 14 iklan Super Bowl adalah daripada syarikat internet. Ini melambangkan pembaziran yang dilakukan oleh syarikat internet ketika ini.

2001

  • eToys.com melaporkan kerugian sebanyak USD74.5 juta dan mengumumkan bahawa mereka hanya boleh bertahan selama 3 bulan sahaja lagi. Harga saham jatuh sebanyak USD0.09 seunit berbanding USD76 dua tahun lepas. Pada bulan Mac, eToys.com diisytiharkan bankrap. Dalam masa tiga tahun sahaja, eToys.com telah membelanjakan hampir USD800 juta, disenaraikan dalam pasaran NASDAQ, diisytiharkan bankrap dan hilang segalanya.
  • Webvan tidak dapat mengembangkan operasi mereka ke satu bandar lain pun dan harga saham syarikat jatuh kepada USD0.06 setiap unit. Mereka bankrap pada bulan Julai.
  • theGlobe.com dikeluarkan daripada pasaran NASDAQ kerana tidak dapat mencecah harga minimum USD1 seunit.
  • Syarikat kewangan virtual, Flooz hilang sebanyak USD450 juta.
  • Harga saham Amazon jatuh ke paras terendah kepada USD5.51 seunit.
Syarikat eToys.com akhirnya bankrap pada tahun 2001. Kredit: CNN.com

2002

  • NASDAQ hilang sebanyak 78% dalam masa kurang dua tahun kepada 1114.
  • Priceline jatuh ke paras terendah iaitu USD6.60 dan mengalami tekanan daripada krisis Dot Com dan serangan pengganas September 11, 2001. Mereka mengubah strategi kepada bilik hotel sahaja dan bukan penerbangan. Mereka juga mula membuka cawangan di negara lain. Kini, Priceline dijenamakan semula dan menjadi sebuah subsidiari terawal Booking.com.
Kredit: The Guardian

2003

  • Era internet ternyata tidak tamat begitu sahaja. Syarikat baru mula ditubuhkan seperti Skype, LinkedIn dan MySpace.com.
  • Amazon mencatatkan keuntungan tahunan pertama sebanyak USD35 juta dan harga saham syarikat mencecah USD52 seunit pada hujung tahun. Kini, harga saham Amazon adalah USD3,346 seunit naik sebanyak 6000% sejak tahun 2003.
Kredit: TradingView

Tiga Sebab Utama Krisis Dot Com

#1: Nilai Terlalu Tinggi Untuk Syarikat Internet

Kebanyakan syarikat teknologi dan internet menyasarkan untuk disenaraikan di pasaran saham. Apabila mereka disenaraikan, nilai yang diletakkan terhadap syarikat ini terlalu tinggi walaupun syarikat ini tidak mempunyai model pendapatan yang kukuh. Nilai yang diletakkan oleh bank, pelabur dan institusi kewangan bersifat terlalu optimistik.

Nilai asas syarikat dilepas pandang. Metrik diletakkan terhadap trafik yang diterima daripada laman web berbanding cara mendapatkan pendapatan. Kajian terhadap metrik seperti nilai nisbah P/E menunjukkan bahawa 40% daripada syarikat internet dot com mempunyai nilai yang jauh terlalu tinggi.

#2: Dana Berlebihan Daripada Pelabur

Banyak wang yang disuntik ke dalam pembangunan syarikat teknologi dan internet terutamanya daripada venture capital, dana persendirian dan pelabur lain. Kadar pinjaman yang rendah juga membuatkan modal lebih senang untuk diakses. Selain itu, hype terhadap potensi internet juga menyebabkan ramai pelabur FOMO (“fear of missing out“).

#3: Hype Daripada Media

Penerbitan media juga memainkan peranan dalam menyemarakkan api Dot Com tanpa memberi amaran kepada pelabur. Saham syarikat teknologi yang berisiko tinggi dipromosikan oleh media. Malah, media dengan reputasi tinggi juga turut serta seperti Bloomberg, Wall Street Journal, Forbes. Analisis daripada media kebanyakannya bersifat optimistik dan menambahkan lagi hype terhadap internet.

Rumusan

Pelaburan dalam syarikat atau industri baru sememangnya akan membawa risiko tinggi. Oleh itu, sebelum melabur, anda perlu membuat kajian terlebih dahulu. Ketahui metrik-metrik penting dalam menilai syarikat seperti nisbah P/E, nisbah P/B dan jumlah aset serta liabiliti. Elakkan mempunyai perspektif jangka masa pendek terhadap syarikat dan gunakan strategi “buy and hold“.

Selain itu, kriteria paling penting dalam syarikat adalah model jana pendapatan. Kebanyakan model pendapatan syarikat internet Dot Com tidak jelas dan bergantung kepada trafik laman web. Lama-kelamaan, syarikat internet seperti Amazon, eBay dan Google yang ditubuhkan sebelum tahun 2000 mula memberi perhatian terhadap model mereka.

Contoh:

Amazon (servis data, runcit, caj penghantaran)

eBay (caj jualan/belian, pembelian Paypal untuk integrasi dan tambah caj jualan/belian)

Google (servis pengiklanan)

 

Adakah anda terkesan atau mempunyai pengalaman dalam era Dot Com Bubble ini? Sila kongsi bersama kami. 

Klik di sini untuk mula dengan pelaburan matawang kripto dan dapatkan Bitcoin percuma bernilai RM25.

Klik di sini untuk mula dengan pelaburan bulanan pasaran domestik dan USA dalam Wahed Invest dan dapatkan percuma USD2.5.

LaburWatch merupakan media kripto khas yang dibina untuk anda. Bantu kami sediakan lebih banyak konten untuk anda dengan derma ke alamat yang tertera di bawah.

Ethereum/BSC/Polygon Network:
0xfFe09B19cF2AeB10d3975570d21b5A86e6e0a1e3

LaburWatch exists with the community and for the community. Help us reach out to more audiences and produce more content by donating to our crypto address below.

Ethereum/BSC/Polygon Network:
0xfFe09B19cF2AeB10d3975570d21b5A86e6e0a1e3

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram

Bacaan Seterusnya