Apakah Maksud Merdeka Dalam Kewangan?

Tahun 2021. Sudah genap 64 tahun Malaysia merdeka. Tetapi, adakah kita faham maksud merdeka yang sebenar, terutamanya dalam kewangan? Adakah kita merdeka dengan mempunyai RM10 juta dalam akaun bank?

Ketahui lebih lanjut apakah maksud kemerdekaan dalam kewangan.

“Wang tidak boleh membeli kebahagiaan”. Ayat ini sering kali didengari dalam filem, rancangan/artikel kewangan dan nasihat-nasihat orang tua.

Apakah maksudnya? Adakah kita merdeka apabila mempunyai sejumlah wang yang banyak atau adakah kita merdeka apabila kita bahagia?

Bebas Kewangan/Hutang

Semua orang ingin mencapai status bebas kewangan (financial freedom). Oleh sebab itu jugalah ramai “guru” dan “sifu” cuba mengambil kesempatan dengan menyentuh psikologi kita menggunakan janji anda akan “bebas kewangan”. Tetapi, bebas kewangan tidak bermaksud anda mempunyai berjuta-juta wang Ringgit dalam akaun bank.

Berikut merupakan beberapa konsep kemerdekaan kewangan yang popular di dunia dari konsep bebas kewangan hinggalah kepada penggunaan kripto.

 

Gerakan Financially Independent, Retire Early (FIRE)

Sejak internet digunakan secara meluas, semakin ramai yang sedar akan apa yang wang dapat beli. Fleksibiliti dan masa.

Asasnya, wang mampu mengubah hidup seseorang dengan memberikan pilihan. Katakanlah anda mempunyai RM10 juta dalam bank. Anda boleh pilih untuk buat apa-apa sahaja perkara yang anda mahu walaupun ia tidak mendatangkan pulangan dalam bentuk kewangan.

Anda boleh pilih untuk tidak bekerja untuk teman anak anda bersiar-siar di taman. Anda boleh pilih untuk mula bisnes anda sendiri. Anda juga boleh pilih untuk lakukan hobi anda sepenuh masa (i.e memasak, muzik, melukis).

Untuk mencapai fleksibiliti masa ini, suatu gerakan yang dipanggil FIRE mula popular. Apa itu FIRE?

FIRE (Financially Independent, Retire Early) merupakan konsep yang dipacu dengan tabiat menyimpan dan melabur secara ekstrem yang membolehkan seseorang bersara lebih awal daripada biasa (i.e umur 30an atau 40an).

Gerakan ini datang daripada nukilan perancang kewangan Amerika Syarikat bertajuk Your Money or Your Life pada tahun 1992. Gerakan ini semakin bertambah popular sejak dekad lalu terutamanya golongan millenial yang ingin bebas daripada kancah hutang dan komitmen kewangan.

Untuk mencapai persaraan awal, gerakan FIRE menyasarkan simpanan sebanyak 70% ke atas daripada pendapatan untuk dilabur atau disimpan.

Jika anda berminat dengan komuniti ini, anda boleh lawat laman Reddit FIRE.

Anti-hutang

Tahukah anda bahawa terdapat USD40 trillion jumlah semua wang di dunia? Nilai hutang dunia pula adalah USD72 trillion dan semakin meningkat setiap masa. Hampir dua kali ganda!

Ekonomi dunia dipacu oleh perkembangan hutang sama ada untuk perniagaan, pembelian atau pelaburan. Inilah yang dipanggil “debt economy” atau ekonomi hutang.

Hutang kereta, rumah, kad kredit. Semua ini merupakan liabiliti yang boleh memakan diri kita sendiri apabila tidak digunakan dengan betul.

Dave Ramsey merupakan salah seorang penasihat kewangan di Amerika Syarikat yang terkenal dengan falsafah anti-hutang. Nasihat yang paling popular adalah “7 Langkah Basmi Hutang” yang acap kali diulang kepada pengikut pelan beliau. Berikut merupakan pelan tersebut yang ditukar mengikut kesesuaian rakyat Malaysia.

  1. Simpan RM1,000 untuk dana kecemasan.
  2. Bayar semua hutang (kecuali pinjaman rumah) bermula daripada yang paling kecil kepada yang paling banyak tanpa mengira kadar faedah.
  3. Simpan jumlah perbelanjaan 3 hingga 6 bulan dalam dana kecemasan.
  4. Labur 15% daripada pendapatan bulanan untuk persaraan.
  5. Simpan untuk dana pendidikan anak.
  6. Bayar pinjaman rumah lebih awal daripada tempoh asal.
  7. Bina kekayaan dan berikan kepada amal kebajikan yang dikehendaki.

Sistem ini sesuai untuk sesiapa yang tidak gemar berhutang. Ya, hutang atau pinjaman dapat memberikan leverage sama ada untuk perniagaan atau pelaburan tetapi ini bermakna anda perlu menanggung lebih banyak risiko.

Tahukah anda bahawa pada bulan April 2021, Bill Hwang telah kehilangan hampir USD20 billion hanya dengan menggunakan leverage atau hutang secara berlebihan?

Pendapatan lebih daripada perbelanjaan

Buku “Psychology of Money” yang ditulis oleh Morgan Housel mempunyai beberapa topik menarik yang mungkin boleh menerangkan tentang apa itu konsep merdeka dalam kewangan.

“Kekayaan adalah apa yang anda tidak belanjakan”

Pengurusan kewangan adalah seni bersifat negatif. Apa yang penting dalam pengurusan kewangan adalah apa yang anda tidak belanjakan. Tetapi, inilah apa yang susah untuk dilakukan orang ramai termasuklah penulis sendiri.

Analogi “berbelanja kurang daripada pendapatan” boleh disamakan dengan diet dan senaman. Apa yang penting dalam diet/senaman adalah pemakanan. Senaman yang berkesan untuk mengurangkan berat bukannya datang daripada aktviti senaman sendiri tetapi kadar kalori yang diambil. Lebih banyak anda makan, lebih banyak anda perlu bersenam.

Statistik juga menunjukkan pendapatan berlebihan tidak menyumbang kepada kadar simpanan yang lebih tinggi. Berikut merupakan data dari Amerika Syarikat tentang tabiat menyimpan sejak tahun 1967 hingga 2017.

Sumber: Biro Statistik Sumber Manusia, Federal Reserve Amerika Syarikat.

Kadar simpanan bergantung kepada inisiatif diri sendiri dan sama ada anda sendiri selesa dengan gaya hidup sedia ada. Jika gaji anda naik RM1,500 bulan depan, adakah anda akan simpan selebihnya atau tingkatkan gaya hidup?

Kawal Wang Anda Sendiri

Selain bebas kewangan, apa lagi maksud merdeka dalam kewangan? Mungkin bagi sesetengah orang, merdeka dalam hal kewangan bermaksud bebas daripada kerajaan atau institusi kewangan.

Bank Sebagai Orang Tengah

Bank bukannya konsep baru tetapi pernah direkodkan sejak zaman Renaissance lagi. Ketika itu, modal berlebihan daripada kelas atasan digunakan untuk pinjaman bagi memperoleh faedah. Jadi, bank lahir sebagai pengantara antara pemiutang dan penghutang.

Entiti bank “menjual” kepercayaan kepada pemilik wang untuk meletakkan wang mereka dan juga sebagai bertindak sebagai entiti yang memastikan pinjaman dibayar balik oleh peminjam.

Bank pertama dalam rekod adalah Taula de la Ciutat di Barcelona yang dibuka pada tahun 1401.

Rekabentuk bangunan bank lama yang melambangkan kepercayaan dan keyakinan sebagai “penjaga”.

Gerakan Matawang Kripto dan Decentralisation

Decentralisation adalah proses di mana aktiviti sesuatu organisasi/komuniti/syarikat dibahagikan kepada orang ramai dan tidak memerlukan entiti pusat dalam perancangan, operasi serta kawalan.

Bitcoin merupakan matawang kripto pertama di dunia. Kini, terdapat ribuan jenis matawang kripto yang ditawarkan daripada Ethereum hingga Dogecoin. Mungkin ada yang menganggap penggunaan matawang kripto hanya dalam pasaran gelap untuk penjenayah dan penggubah wang haram. Sebenarnya, penggunaan matawang kripto lebih luas daripada itu dan mungkin memberi makna kemerdekaan kewangan.

Apakah sebenarnya falsafah utama dalam penggunaan matawang kripto?

Konsep blockchain mula muncul pada tahun 2009 melalui Bitcoin setelah krisis ekonomi dunia. Sejak daripada itu, Bitcoin mula mendapat perhatian dunia setelah kenaikan harga Bitcoin yang mendadak.

Prinsip asal dalam penggunaan matawang kripto adalah:

  • Mengelakkan orang tengah atau entiti pusat dalam aktiviti kewangan (decentralisation).
  • Mengawal sistem kewangan melalui kod, matematik dan algoritma (juga dikenali sebagai kontrak pintar).

Jadi, matawang kripto seperti Bitcoin dianggap sebagai pengganti matawang sedia ada (dikenali sebagai matawang fiat) disebabkan oleh sistem yang lebih telus, terhad dan terbuka. Semakin ramai juga yang menganggap Bitcoin sebagai “emas digital“.

Mengapakah orang ramai lebih mula terbuka dengan matawang kripto seperti Bitcoin?

Sumber: Biro Statistik Sumber Manusia Amerika Syarikat.

Jadi, rakyat di negara yang mempunyai inflasi tinggi seperti Venezuela, Lebanon, Argentina, Iran, dan Turkey mula tertarik dengan sistem kewangan yang tidak berdasarkan kerajaan sebagai entiti pusat seperti Bitcoin. Tambahan pula, ekosistem kripto berkembang dengan pesat baru-baru ini sehingga terlahirnya konsep baru dalam kripto seperti decentralised finance, NFT dan blockchain gaming.

Ekosistem kripto merujuk kepada ekosistem di mana sesiapa sahaja boleh pindah, pinjam, jual beli dan melakukan aktiviti kewangan tanpa melibatkan entiti pusat seperti kerajaan, institusi kewangan atau syarikat persendirian.

Semua kepercayaan diletakkan dalam kod/algoritma yang dibina dalam decentralized app (Dapp) dan membolehkan sesiapa sahaja mengambil bahagian tanpa proses KYC (know-your-customer). Anda juga mempunyai akses terhadap wang melalui dompet blockchain anda dan ianya tidak boleh disekat oleh mana-mana entiti.

Mungkinkah ini maksud merdeka untuk sesetengah orang?

Rumusan

Asasnya, merdeka bermaksud bebas daripada penjajahan, naungan, kurungan dan tidak bergantung pada yang lain. Dalam hal kewangan pula, merdeka mempunyai maksud tersendiri bergantung kepada individu. Ada yang inginkan hidup dikelilingi kereta mewah. Ada juga yang inginkan hidup sederhana dan cukup dari segi keperluan.

Jika anda ingin simpan 70% daripada pendapatan, anda mungkin perlu mengikat perut atau “kedekut” dengan rakan-rakan. Adakah ini maknanya bebas?

Jika anda ingin berbelanja pula, tahukah anda bahawa RM10 yang dibelanjakan hari ini bernilai RM110 dalam tempoh masa 30 tahun (kadar 8% setahun)?

Setiap langkah yang dibuat mempunyai harganya. Maksud merdeka yang sebenar mungkin bermakna kita sedar akan pilihan yang kita buat dan mempunyai autoriti terhadap pilihan kita sendiri.

 

Apakah maksud kemerdekaan kewangan untuk anda? Kongsi pendapat anda bersama kami di seksyen komen di bawah.

LaburWatch merupakan media kripto khas yang dibina untuk anda. Bantu kami sediakan lebih banyak konten untuk anda dengan derma ke alamat yang tertera di bawah.

Ethereum/BSC/Polygon Network:
0xfFe09B19cF2AeB10d3975570d21b5A86e6e0a1e3

LaburWatch exists with the community and for the community. Help us reach out to more audiences and produce more content by donating to our crypto address below.

Ethereum/BSC/Polygon Network:
0xfFe09B19cF2AeB10d3975570d21b5A86e6e0a1e3

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram

Bacaan Seterusnya