Bagaimana Facebook Buat Duit?

Setiap hari, seramai 2 billion orang di seluruh dunia menggunakan platform Facebook, Instagram, Messenger dan WhatsApp. Apa rahsia yang membuatkan syarikat platform media sosial, Facebook Inc., ini begitu menguntungkan?

Kredit: TradingView

Facebook Inc. ($FB) adalah konglomerat teknologi dengan aset yang kebanyakan terdiri daripada platform media sosial terbesar di dunia seperti Facebook, WhatsApp, Messenger dan Instagram.

Dalam kenyataan kewangan baru-baru ini, pada tahun 2020 sahaja, mereka mencatatkan perolehan hampir USD 86 billion dengan keuntungan bersih USD 29 billion!

Malaysia dijangka akan mempunyai seramai 27 juta pengguna aktif untuk platform Facebook sahaja menjelang 2025. Ini tanpa mengira pengguna WhatsApp dan Instagram lagi!

Lombong Emas Facebook

Jadi, bagaimana syarikat media sosial ini boleh menawarkan servis secara percuma kepada 2 billion orang dan buat duit pada masa yang sama?

Iklan.

Ya, Facebook Inc, adalah syarikat yang berjaya kerana servis pengiklanan.

Jika sesuatu servis atau produk itu percuma, anda adalah produknya.

Untuk tahun 2020, perolehan daripada servis pengiklanan sahaja mencecah 98% daripada jumlah pendapatan mereka.

Produk lain yang mereka tawarkan termasuk produk dalam teknologi Virtual Reality (Oculus VR) dan peranti hardware pintar, Portal dan infrastruktur pembayaran, Facebook Payment.

Data Anda Adalah Aset Facebook Yang Terbesar

Aset paling penting dan terbesar yang membezakan Facebook dengan syarikat lain adalah jumlah data yang dikumpul melalui anda. Aset data ini diambil melalui pergerakan dalam platform mereka seperti like, share, comment, event dan tabiat skrol anda.

Melalui data ini, Facebook dapat mengetahui personaliti anda secara terperinci tentang umur, lokasi, topik kegemaran, tahap kewangan, dan lain-lain. Semua ini dapat dipelajari melalui algoritma berdasarkan apa yang anda lihat dan buat di Instagram dan Facebook.

Dengan ini, mereka dapat membolehkan bisnes lain untuk menggunakan aset data dimiliki Facebook bagi mengiklankan produk/servis mereka relevan dengan sasaran. Kelebihan menggunakan Facebook sebagai platform pengiklanan adalah bisnes anda tidak perlu menyasarkan semua orang yang tidak relevan atau mungkin tidak berminat dengan produk anda.

Secara langsung, bisnes dapat mengurangkan kos pemasaran mereka.

Contoh iklan daripada Facebook. Sumber: voymedia.com

Sebagai contoh, anda mempunyai sebuah bisnes cetakan dan ingin menjual produk kad bisnes premium secara online. Produk anda kerap digunakan oleh kalangan peniaga dan usahawan muda. Jadi, anda pun menggunakan servis Facebook dan membayar untuk iklan yang membolehkan anda menyasar sesiapa yang menggunakan platform Facebook dan Instagram yang berminat dengan perniagaan dan keusahawanan daripada kalangan pemuda lelaki berumur 18-35 tahun.

Berbanding pengiklanan tradisional seperti media cetak (i.e surat khabar, majalah) dan papan tanda yang menyasarkan kumpulan yang besar dan memakan kos yang lebih mahal, Facebook menawarkan servis yang lebih fokus terhadap kumpulan sasaran tertentu. Semua kelompok kumpulan ini diperoleh melalui data anda di Facebook, Instagram dan WhatsApp.


Facebook Pixel

Facebook mempunyai teknik paten yang membolehkan mereka “merisik” ke dalam laman web yang anda lawati. Ianya adalah kod ringkas yang boleh diletakkan ke dalam laman web ecommerce atau media bergantung kepada admin laman web tersebut. Facebook Pixel dapat membantu Facebook dan Instagram menyasarkan produk yang lebih relevan kepada pengguna dengan melihat aktiviti anda di luar Facebook.

Cara Facebook Pixel “baca” anda adalah seperti berikut:

  • Pembeli pergi ke laman web dan skrol untuk lihat produk.
  • Kod Facebook Pixel kekal di balik tabir laman web tersebut dan “belajar” apa yang sedang terjadi.
  • Kemudian, ia diselaraskan bersama dengan cookies Facebook di pautan carian anda.
  • Facebook Pixel dan cookies ini akan tanda akaun anda sebagai satu kumpulan yang spesifik.
  • Kemudian, apabila anda kembali ke Facebook atau Instagram, platform ini akan tahu apa yang anda telah buat dan pilih iklan apa yang anda akan tengok berdasarkan data yang diperolehi.

A/B Testing

Sejak dari dahulu lagi, Facebook menggunakan teknik A/B testing untuk menajamkan algoritma mereka dalam mengenal apa pengguna suka. Facebook akan mencadangkan media atau perubahan kecil dalam platform kepada anda untuk lebih mengenali pengguna mereka.

Contoh ringkas A/B testing untuk menaikkan kadar klik (“click rate”)

Potensi Masa Depan Facebook

Facebook sudahpun mendominasi peratusan besar dunia dalam media sosial dalam platform mereka. Pertumbuhan jangka masa panjang dalam bilangan pengguna media sosial dijangka akan lebih perlahan berbanding 5 tahun lepas. Oleh itu, mereka perlu lebih fokus terhadap pembeli iklan media dan peranti hardware mereka untuk menjana peningkatan perolehan untuk tahun-tahun akan datang.

Pertumbuhan Industri Media Digital

Menurut GroupM, syarikat pembeli media, perbelanjaan terhadap iklan media digital akan dijangka melebihi perbelanjaan iklan media tradisional tahun lepas. Facebook dan Google sekarang mengetuai revolusi industri iklan digital ini dengan pecahan pasaran sebanyak 30% untuk Google dan 23% untuk Facebook.

Produk Video Pintar

Hardware buatan Facebook, Portal, adalah produk yang mengetengahkan fungsi panggilan video secara pintar. Portal dapat diintegrasikan bersama Messenger dan WhatsApp dan ini menjadi tarikan utama penggunaan Portal. 

 

Virtual Reality dan pasaran permainan video

Facebook Inc, memiliki syarikat virtual reality (VR), Oculus, dan memiliki kelebihan dari segi teknologi dan harga berbanding produk VR lain di pasaran. Mereka dijangka dapat mendominasi pasaran VR jika ianya menjadi lebih popular untuk permainan video di masa akan datang. Dengan populariti Facebook Gaming yang semakin meningkat, produk Oculus yang berpotensi untuk diintegrasikan bersama platform lain, boleh menjadi tarikan utama kenapa pembeli sanggup berbelanja untuk produk ini berbanding pesaing utama mereka, Sony. 

Oculus Quest 2, produk terbaru untuk dunia VR, berharga USD 299 (RM 1235). Sumber: Oculus.com

Sistem pembayaran berasaskan Blockchain

Facebook sudahpun merangka strategi untuk menguruskan pembayaran melalui platform mereka. Dengan teknologi blockchain yang sudahpun digunapakai untuk matawang kripto, Facebook ingin membina matawang mereka sendiri iaitu Facebook Diem (sebelum ini dikenali sebagai Libra). Ianya dijangka akan dilancarkan awal tahun 2022 dan masih dalam pembangunan.

2 bilion orang sudahpun menggunakan platform Facebook secara aktif. Facebook dapat memudahkan urusan jual beli antara pengguna dengan sistem pembayaran Diem dan secara langsung, strategi ini dapat mengukuhkan jenama mereka di samping dapat menjana wang melalui caj jualan.

Rumusan

Kelemahan Facebook adalah daripada cara mereka melakukan bisnes yang dianggap tidak beretika dan melanggar hak peribadi manusia. Mark Zuckerberg, CEO Facebook, terpaksa membuat kenyataan kepada pihak Kongres beberapa kali setelah menerima kecaman atas penglibatan Facebook dalam pilihan raya dan isu data peribadi.

Antara kontroversi yang melibatkan Facebook:

Sumber: New York Times

Facebook Inc. mempunyai masalah luaran yang besar dari segi kawalan kerajaan, ketidakpercayaan pengguna dan eksploitasi data yang dapat dilihat daripada kontroversi ini. Mereka perlu lebih proaktif dalam kawalan data dan mungkin juga pasaran akan berubah ke arah produk yang lebih “mesra data”. 

Apa-apa pun yang terjadi, 2 billion orang tidak akan tiba-tiba berhenti menggunakan WhatsApp, Instagram dan Facebook hari ini. 

 

Apa pendapat anda tentang Facebook dan isu data peribadi? Adakah ia masih mempunyai potensi 5 tahun akan datang?

Letakkan Facebook dalam portfolio pelaburan anda bersama Wahed Invest. Isi kod REZBIN1 dan dapatkan RM 10 percuma!

LaburWatch merupakan media kripto khas yang dibina untuk anda. Bantu kami sediakan lebih banyak konten untuk anda dengan derma ke alamat yang tertera di bawah.

Ethereum/BSC/Polygon Network:
0xfFe09B19cF2AeB10d3975570d21b5A86e6e0a1e3

LaburWatch exists with the community and for the community. Help us reach out to more audiences and produce more content by donating to our crypto address below.

Ethereum/BSC/Polygon Network:
0xfFe09B19cF2AeB10d3975570d21b5A86e6e0a1e3

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram

Bacaan Seterusnya