Bagaimana Manchester United Buat Duit? [Versi Terkini]

Manchester United ($MANU) adalah satu-satunya kelab bola sepak yang disenaraikan di pasaran saham Amerika Syarikat, New York Stock Exchange (NYSE).

Adakah kebanyakan wang datang daripada peminat atau bayaran televisyen? Ketahui dengan lebih lanjut bagaimana gergasi bola sepak ini jana pendapatan.

Kredit: TradingView

Baru-baru ini, dunia bola sepak dikejutkan dengan berita tentang European Super League di mana kelab-kelab besar Eropah akan keluar daripada persatuan bola sepak Eropah (UEFA) dan membuat pertandingan mereka sendiri. Kemudian, pada 21 April 2021, semua kelab liga Inggeris termasuk Manchester United mengumumkan bahawa mereka telah menarik diri daripada pertandingan ini bersama-sama dengan beberapa kelab pengasas lain setelah mendapat reaksi negatif daripada peminat bola sepak seluruh dunia.

Menurut pendapat umum, keputusan untuk menyertai pertandingan eksklusif ini adalah untuk menjana lebih banyak pendapatan bagi pihak kelab dan beberapa eksekutif kelab terutamanya apabila perolehan mereka terjejas disebabkan pandemik. Kita perlu fahamkan dahulu bagaimana pendapatan dijana oleh kelab-kelab besar ini dan kemudian baru kita boleh faham mengapa mereka pada mulanya ingin mengambil bahagian dalam European Super League.

Menurut pengerusi European Super League merangkap presiden kelab bola sepak Real Madrid, Florentino Perez:

“Pandemik ini terbukti mengeruhkan keadaan ekonomi kelab. Kami ingin menyelamatkan bola sepak melalui Super League“.

“Kelab penting di Sepanyol, Itali dan UK cuba mencari jalan penyelesaian dalam situasi kewangan yang teruk. Satu-satunya cara untuk menambah pendapatan adalah bermain lebih banyak perlawanan. Jadi, berbanding dengan kini (Champions League), Super League membantu kelab ini menjana pendapatan yang hilang”.

Dalam memahami kenyataan Florentino Perez ini, kita perlu lihat struktur pendapatan bola sepak dan bagaimana sebuah kelab bola sepak menjana pendapatan. Contoh yang terbaik boleh diberikan adalah Manchester United kerana ia disenaraikan di pasaran saham Amerika Syarikat.

Protes European Super League di stadium Liverpool baru-baru ini. Kredit: Associated Press

Sumber Pendapatan Manchester United PLC

Dalam dunia bisnes, Manchester United adalah kelab bola sepak yang unik kerana ia satu-satunya kelab bola sepak yang disenaraikan di pasaran saham Amerika Syarikat. Jadi, laporan kewangan mereka boleh diperoleh secara umum.

Antara kelab bola sepak yang disenaraikan di pasaran saham negara lain adalah Ajax, Juventus, SS Lazio, Borussia Dortmund, AS Roma, Celtic, Benfica, Porto dan Sporting Lisbon.

Manchester United PLC adalah entiti perniagaan yang terlibat dalam aktiviti pemasaran, media, barangan dan pengurusan bola sepak. Laporan kewangan tahun 2020 menyatakan bahawa mereka memperoleh pendapatan melalui tiga cara utama iaitu:

#1. Komersial

Pendapatan komersial dibahagikan kepada dua jenis iaitu:

  • Penajaan;

Penajaan adalah pendapatan yang diperoleh melalui syarikat yang ingin memasarkan jenama mereka menggunakan nama Manchester United. Menurut kelab, penaja ini dikenali sebagai “commercial partners” dan pada tahun 2020, Manchester United memperoleh £182.7 juta melalui penaja komersial. Kenaikan sebanyak 5.6% berbanding tahun 2019 yang berjumlah £173 juta.

Sebagai contoh, Maybank merupakan penaja di rantau Malaysia, Filipina dan Singapura. Adidas pula merupakan penaja pakaian sukan. Beberapa jenama lain menggunakan Manchester United sebagai medium pemasaran mereka seperti Chevrolet, AON dan DHL.

Senarai penuh penaja Manchester United di seluruh dunia boleh dilihat di sini.

bagaimana-manchester-united-buat-duit
Chevrolet dan adidas, penaja rasmi Manchester United. Kredit: manutd.com
  • Runcit, jenama, pakaian dan pelesenan produk

Syarikat Manchester United PLC memasarkan dan menjual produk sukan, latihan dan kasual melalui jenama Manchester United di peringkat global. Mereka juga menjual produk berlesen daripada cawan kopi hingga ke cadar. Semua produk berlesen dan alatan sukan ini dipasarkan melalui pusat jualan fizikal di stadium, Old Trafford Megastore dan platform jualan e-commerce mereka, United Direct.

Old Trafford Megastore terpaksa ditutup dari pertengahan bulan Mac 2020 hingga ke pertengahan bulan Jun 2020. Disebabkan itu, untuk tahun 2020, jualan daripada produk menurun sebanyak 5.6% kepada £96.3 juta berbanding £102.1 juta pada tahun 2019.

bagaimana-manchester-united-buat-duit
Old Trafford Megastore yang terletak di stadium. Kredit: manutd.com

#2. Penyiaran

Manchester United menerima bayaran daripada badan organisasi yang melesenkan penyiaran rancangan bola sepak.

Menurut laporan kewangan mereka, sumber pendapatan penyiaran ini datang daripada Liga Perdana, UEFA dan lain-lain i.e perlawanan piala seperti Piala FA.

Penyiaran adalah sumber pendapatan yang paling besar bersama-sama dengan penajaan. Namun, masalah sumber penyiaran adalah ianya sangat tidak dijangka berbanding pendapatan lain. Jumlah pembayaran ini amat bergantung kepada prestasi pasukan Manchester United di dalam liga dan pertandingan lain.

Makin banyak perlawanan sama ada dalam liga atau antarabangsa, makin banyaklah wang akan dijana oleh kelab melalui sumber penyiaran. Wang kemenangan juga dikategorikan dalam laporan kewangan sebagai penyiaran.

Untuk tahun 2020, mereka menjana sebanyak £140.2 juta berbanding £241.2 juta pada 2019. Penurunan sebanyak 42%.

Keadaan seperti pandemik COVID-19 dan Manchester United gagal untuk layak ke peringkat UEFA Champions League seterusnya memainkan peranan dalam penurunan ini.

Prestasi di peringkat liga dan Eropah dan jumlah perlawanan memainkan peranan penting dalam bayaran hak penyiaran. Kredit: manutd.com

#3. Hari Perlawanan (“Matchday“)

Stadium Manchester United, Old Trafford mempunyai kapasiti sebanyak 74,140 tempat duduk dan merupakan stadium bola sepak terbesar di United Kingdom. Peratusan kedatangan untuk perlawanan Liga Perdana Inggeris secara purata adalah 99% sepanjang 22 tahun terbaru.

Pendapatan daripada hari perlawanan juga termasuk sewa untuk stadium untuk majlis tertentu yang tidak melibatkan Manchester United.

Untuk tahun 2020, pendapatan melalui sumber ini agak terjejas kerana COVID-19 dan mereka memperolehi sebanyak £89.8 juta berbanding £110.8 juta pada tahun 2019. Penurunan sebanyak 19%.

bagaimana-manchester-united-buat-duit
Kredit: The Telegraph

Apa Yang Terjadi Pada Status Kewangan Manchester United Untuk Tahun 2020?

Laporan kewangan Manchester United untuk tahun 2020. Kredit: manutd.com

Pandemik COVID-19 merupakan suatu bencana terutamanya kepada kelab bola sepak. Manchester United juga tidak terkecuali daripada kehilangan pendapatan. Pada tahun 2019, mereka mencatatkan keuntungan bersih sebanyak £18.8 juta manakala pada tahun 2020 pula, mereka mencatatkan kerugian bersih sebanyak £23.2 juta.

Laporan untung/rugi Manchester United untuk lima tahun daripada tahun 2016 hingga 2020. Kredit: manutd.com

Manchester United mempunyai hutang yang banyak iaitu sebanyak £1.032 billion. Apabila kelab ini dibeli oleh keluarga Glazer, mereka menggunakan taktik leveraged buyout bagi membuka dana untuk kelab.

Ini bermakna mereka meminjam mencagarkan aset sedia ada kepada bank. Jadi, dengan ini, kelab ini dapat akses tunai yang diperlukan untuk naiktaraf fasiliti, pembelian pemain baru dan penyelenggaraan.

Namun, ini juga mendatangkan masalah kepada Manchester United kerana pembayaran faedah akan berlangsung untuk tahun-tahun akan datang tanpa mengira keadaan. Apabila pandemik berlaku, kadar faedah yang perlu dibayar ini ternyata membebankan.

Laporan tunai, aset, liabiliti dan ekuiti milik Manchester United. Kredit: manutd.com

Kesimpulan

Melalui laporan ini, tidak hairanlah bahawa Manchester United ingin membuka sumber pendapatan yang baru melalui European Super League. Namun, peminat bola sepak dunia membantah sekeras-kerasnya akan idea ini dan Manchester United bersama kelab lain akur akan kehendak peminat.

Sukan dan perniagaan adalah entiti yang susah untuk diseimbangkan terutamanya dari segi kelab bola sepak. Kebanyakan kelab “besar” seperti Barcelona dan Real Madrid mempunyai kadar hutang yang tinggi. Sebab utama adalah penggunaan leverage yang tinggi dalam menguruskan dana mereka, gaji pemain yang mahal dan kos tinggi dalam menguruskan kelab.

Bola sepak adalah sukan yang sukar untuk dijangka. Apa-apa keputusan boleh berlaku seperti kisah Leicester City, sebuah kelab yang tidak ternama, memenangi Liga Perdana Inggeris.

Bagi sebuah perniagaan, perkara ini memeningkan pemilik dan pelabur kerana sumber pendapatan kelab tidak dapat diletakkan dalam satu carta yang boleh dijangka. Perkara yang menentukan sama ada tahun tersebut untung atau rugi bergantung kepada kedudukan mereka dalam liga. Bagi peminat pula, elemen kejutan inilah yang menarik dalam bola sepak.

Masa depan bola sepak bergantung kepada cara terbaik untuk seimbangkan apa yang peminat mahu dan apa yang dapat menjana  wang. Buat masa sekarang, bola sepak masih boleh lagi dinobatkan sebagai “The Beautiful Game“.

#SayNoToSuperLeague

Apakah perasaan anda selepas semua kelab Inggeris mengumumkan bahawa mereka telah keluar daripada Super League? Apakah kelab kegemaran anda?

LaburWatch merupakan media kripto khas yang dibina untuk anda. Bantu kami sediakan lebih banyak konten untuk anda dengan derma ke alamat yang tertera di bawah.

Ethereum/BSC/Polygon Network:
0xfFe09B19cF2AeB10d3975570d21b5A86e6e0a1e3

LaburWatch exists with the community and for the community. Help us reach out to more audiences and produce more content by donating to our crypto address below.

Ethereum/BSC/Polygon Network:
0xfFe09B19cF2AeB10d3975570d21b5A86e6e0a1e3

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram

Bacaan Seterusnya