Bagaimanakah Matawang Kripto Boleh Direka Untuk Lawan Inflasi?

Tahukah anda pada tahun 2020 sahaja, US Federal Reserve dah cetak sebanyak USD226 billion jika mengambil kira nota wang kertas sahaja? Proses pencetakan wang ini dinamakan “quantitative easing” dan boleh mendorong kepada inflasi jika tidak dikawal dengan baik.

Ketahui prinsip ekonomi matawang kripto yang baik dan bagaimana matawang kripto boleh direka untuk lawan inflasi.

Matawang dunia seperti Ringgit Malaysia, US Dollar, Rupiah Indonesia, dan lain-lain dinamakan sebagai “matawang fiat”. Ini bermakna nilai sesuatu wang tidak disandarkan kepada komoditi seperti emas, perak tetapi disandarkan kepada kerajaan yang isukan matawang tersebut.

Secara keseluruhan, 35% daripada semua wang US Dollar di dunia telah dicetak pada tahun yang sama (2020).

Nota wang kertas adalah sebuah konsep “I Owe You (IOU)” di mana RM50 mempunyai nilai kerana kerajaan Malaysia menjanjikan nilai matawang tersebut adalah RM50. Nilai ini disandarkan terhadap kadar permintaan/bekalan dan stabiliti sesebuah kerajaan.

Konsep ini memberikan kuasa terhadap bank negara untuk mengawal bekalan wang di sesebuah negara. Dengan cara ini, sesebuah negara boleh mengawal kadar inflasi, kadar cetakan wang dan bagaimana jumlah wang dikawal.

Jika terlalu banyak wang dicetak, nilai matawang boleh jatuh dan menyebabkan matawang tersebut tidak berguna. Perkara ini dipanggil “hiperinflasi” dan contoh terbaik adalah:

Jadi, bagaimanakah sistem yang direka dalam matawang kripto boleh mengelakkan inflasi terutamanya untuk aset seperti Bitcoin, BNB dan Ethereum? Sebelum itu, kita perlu kenali dahulu apa prinsip ekonomi token yang baik.

Prinsip Ekonomi Token Yang Baik

Terdapat banyak matawang kripto yang dibina untuk tujuan berbeza sama ada untuk tujuan gaming, digunakan dalam sistem decentralised finance, memberi kestabilan, sebagai bahan jenaka atau untuk di-HODL (simpan).

Jadi, bagaimanakah cara untuk ketahui yang mana matawang kripto yang baik?

#1. Fokus Kepada Infrastruktur, Kemudian Baru Ditawarkan Kepada Pihak Awam

Token atau matawang kripto ditawarkan kepada pihak awam melalui proses “Initial Coin Offering” yang telah ditetapkan harga. Penjualan token ini adalah cara yang baik untuk mengumpul dana bagi perkembangan infrastruktur tetapi semua hal berkenaan token perlu dirancang terlebih dahulu sebagai insentif terhadap pengguna.

Tiga perkara yang menjadi keutamaan adalah:

  • Skalabiliti (jumlah transaksi yang boleh dimuatkan dalam satu blok),
  • Keselamatan (kontrak pintar)
  • Harga penggunaan servis (e.g gas fees).

Secara asasnya, token ini adalah penggerak kepada sistem tidak berpusat. Oleh itu, potensi sesuatu token bergantung kepada komunitinya sendiri yang akan menyumbang ke arah pembangunan infrastruktur. Projek token terbaik adalah projek yang memberi fokus terhadap rangkaian pengguna, pemilik dan pelombong.

#2. Fokus Pemilikan Token Terhadap Developer dan Pengguna

Token boleh dimiliki oleh sesiapa sahaja dan konsep inilah yang membuatkan ekosistem matawang kripto lebih mesra awam. Daripada pembina, pelabur, developer hinggalah pengguna.

Ya, mungkin bagus jika makin ramai yang berminat dengan sesuatu token. Tambahan pula, bagi yang telah mendapat perhatian media. Namun, ekosistem sesuatu token lebih baik jika digunakan dan dimiliki oleh pihak yang mempunyai penglibatan secara langsung.

Contohnya, seperti token UNI dalam rangkaian Ethereum berbanding token CAKE dalam rangkaian Binance Smart Chain. Buat masa sekarang, token UNI memiliki lebih banyak penglibatan daripada pemegang token di mana majoriti daripadanya mengundi untuk pembaharuan sistem Uniswap. Manakala, untuk token CAKE, tidak ramai pemilik yang meletakkan undi mereka berbanding UNI. Ini menunjukkan sedikit sebanyak bahawa pemilik UNI lebih terlibat dengan infrastruktur.

Pemegang token yang memberi sumbangan terhadap rangkaian jauh lebih bernilai daripada pemegang token yang hanya pegang atau sekadar spekulasi harga akan naik/turun.

#3. Harga Yang Fleksibel

Perkara yang penting dalam penggunaan sesuatu token juga berkisar tentang harga. Servis yang akan dilakukan dalam blockchain akan memerlukan pembayaran terutamanya untuk matawang kripto yang sudah mempunyai kontrak pintar.

Sebagai contoh, untuk lakukan transaksi penghantaran, rangkaian Ethereum akan mengenakan gas fees yang fleksibel mengikut keadaan semasa. Namun, ada kalanya terdapat ramai pengguna yang ingin menggunakan servis dalam masa yang sama. Oleh kerana rangkaian Ethereum mempunyai jumlah blok yang tetap, ini memberikan insentif terhadap pelombong untuk meluluskan transaksi yang mempunyai gas fees yang lebih tinggi.

Perkara ini terjadi apabila Stoner Cat dilancarkan dalam bentuk NFT dan menyebabkan caj transaksi (gas fees) meningkat dengan mendadak kepada 734 gwei! Ini bermakna kos untuk menggunakan Ethereum meningkat sebanyak 3570%.

Tetapi, caj transaksi tidak boleh dibuat sebagai harga tetap. Mengapa? Memandangkan kebanyakan matawang kripto mempunyai cara tersendiri untuk lawan inflasi, apabila harga meningkat, kos untuk guna servis dalam rangkaian juga akan meningkat. Ini menyebabkan tidak ramai pengguna baru yang mampu masuk ke dalam ekosistem dan hanya memberi ganjaran kepada pemilik lama.

Cara Matawang Kripto Lawan Inflasi

Matawang kripto yang dibina bertujuan untuk melawan inflasi dikenali sebagai “deflationary token“. Ini bermakna terdapat sistem yang telah direka dalam token ini untuk memastikan nilainya meningkat atau kekal konsisten. Konsep ini sama seperti pembelian balik saham (“share buyback“) oleh syarikat.

#1. Jumlah Tetap

Contoh paling terkenal adalah Bitcoin yang mempunyai jumlah maksimum sebanyak 21 juta unit. Jumlah ini dijangka akan dicapai dalam masa lebih kurang seratus tahun. Buat masa sekarang, terdapat 18 juta Bitcoin yang ada dalam rangkaian.

Konsep matawang kripto dengan jumlah tetap sangatlah popular dan digunakan untuk memberi gambaran bahawa matawang tersebut “kalis inflasi” jika terdapat lebih banyak pengguna di masa depan. Anda boleh semak di CoinGecko dan lihat “Max Supply” untuk ketahui jumlah maksimum sesuatu token.

#2. “Halving

Bitcoin mempunyai sistem deflasi tersendiri yang dipanggil “halving“.

Anda sudah tentu tahu bahawa terdapat pelombong yang menggunakan elektrik dan tenaga untuk melombong Bitcoin. Ini adalah kerana Bitcoin menggunakan sistem “proof-of-work“, di mana rangkaian disahkan apabila pelombong berjaya meneka nombor yang dijana secara rawak. Bitcoin akan diberi kepada pelombong setelah mereka berjaya mengesahkan blok dalam rangkaian Bitcoin.

Jadi, pelombong bersaing dengan menggunakan kuasa komputer untuk melombong Bitcoin. Namun, setiap 210,000 blok ataupun purata 4 tahun, Bitcoin akan melalui proses halving. Jadi, jumlah yang akan diterima pelombong selepas mengesahkan setiap blok akan kurang sebanyak separuh. Lebih sedikit Bitcoin yang boleh dilombong dan lebih tinggi kuasa pengkomputeran akan diperlukan.

Sistem ini membuatkan jumlah bekalan dikawal secara automatik dan mampu membuatkan harga meningkat (jika terdapat lebih banyak permintaan di masa akan datang).

#3. Beli dan Bakar

Model ini bermakna sebuah syarikat/entiti yang terlibat akan beli semula token daripada pasaran awam dan hantar kepada alamat yang tidak dimiliki dan tidak boleh diakses oleh sesiapa. Proses ini dikenali sebagai “token burning“.

Contohnya seperti token PancakeSwap ($CAKE). Token ini digunakan dalam ekosistem DeFi dalam rangkaian Binance Smart Chain dan diberi sebagai ganjaran kepada pengguna. Namun, jumlah token ini tidak ditetapkan dari awal dan secara teorinya, tidak mempunyai had.

Jadi, sebagai langkah deflasi, sebahagian daripada bekalan CAKE dihantar ke dompet yang tidak dapat diakses untuk mengurangkan jumlah CAKE. Lebih 48% jumlah CAKE yang wujud telah dibakar dan menurut nilai sekarang, ia berjumlah hampir USD3 billion.

#4. Bakar Selepas Guna

Sistem beli dan bakar yang disebut tadi lebih bersifat manual. Bagaimana pula dengan token yang direka untuk mengurangkan deflasi secara automatik dalam kontrak pintar?

Sebagai contoh, Ethereum akan mula memperkenalkan pembaharuan versi EIP-1559 di mana sebahagian daripada gas fees akan dibakar untuk setiap transaksi. Sistem ini boleh disamakan seperti “cukai automatik” terhadap pengguna yang membantu mengurangkan jumlah Ethereum dalam pasaran dan secara langsung, berpotensi menaikkan harga matawang kripto ini.

Protokol Ethereum dapat menjalani proses deflasi di samping memberikan pelombong insentif untuk kekal dalam rangkaian kerana hanya sebahagian daripadanya akan dibakar dan selebihnya akan diberi kepada pelombong.

Rumusan

Bitcoin dan matawang kripto lain (yang bersifat deflasi) mempunyai konsep berbeza dengan matawang fiat. Matawang seperti Ringgit Malaysia, US Dollar dan Japanese Yen boleh dicetak mengikut keputusan bank negara masing-masing.

Untuk sesetengah orang, konsep matawang sebegini serta sejarah negara yang terpalit dengan hiperinflasi memberikan sebab untuk memiliki matawang kripto seperti Bitcoin. Konsep jumlah matawang tetap, pembakaran bekalan matawang hanya boleh dibuat dengan wang digital.

Sebagai contoh, Bitcoin dianggap sebagai “emas digital” kerana walaupun ia sepatutnya digunakan sebagai medium pertukaran, sistem pembayaran menggunakan Bitcoin itu sendiri kurang efisien untuk digunakan secara meluas. Jadi, Bitcoin lebih sesuai digunakan sebagai “penyimpan nilai” dalam ekosistem kripto.

Mungkin juga dengan perkembangan “decentralised finance“, matawang kripto mampu mendapat perhatian awam dan mampu bersaing dengan sistem kewangan tradisional.

 

Apakah pendapat anda tentang cara yang digunakan untuk mengelakkan inflasi matawang kripto?

LaburWatch merupakan media kripto khas yang dibina untuk anda. Bantu kami sediakan lebih banyak konten untuk anda dengan derma ke alamat yang tertera di bawah.

Ethereum/BSC/Polygon Network:
0xfFe09B19cF2AeB10d3975570d21b5A86e6e0a1e3

LaburWatch exists with the community and for the community. Help us reach out to more audiences and produce more content by donating to our crypto address below.

Ethereum/BSC/Polygon Network:
0xfFe09B19cF2AeB10d3975570d21b5A86e6e0a1e3

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram

Bacaan Seterusnya