Bernie Madoff: Skim Ponzi Terbesar Di Dunia

Pada tahun 2008, Bernie Madoff telah dijatuhkan hukuman penjara selama 150 tahun oleh kerajaan Amerika Syarikat kerana penipuan kewangan. Skim Ponzi Bernie Madoff dinobatkan sebagai penipuan kewangan terbesar di dunia bernilai USD65 billion.

skim-ponzi-bernie-madoff

Pada April 14 lepas, Bernie Madoff meninggal dunia di penjara pada umur 82 tahun. Beliau merupakan ikon kepada permulaan pasaran NASDAQ tetapi terkenal dengan skim Ponzi miliknya, Bernie L. Madoff Investment Securities.

Saiz penipuan Bernie Madoff adalah yang terbesar dalam sejarah di mana USD65 bilion telah dicuri daripada orang ramai.

Apa yang membuatkan seseorang yang begitu berpengaruh di dunia kewangan begitu tamak sehingga sanggup menipu orang ramai? Ketahui dengan lebih lanjut skim Ponzi Bernie Madoff.

Latar Belakang Firma Bernie L. Madoff Investment Securities

Bernie Madoff dilahirkan pada tahun 1938 di Queens, New York dalam keluarga imigran dari Eropah Timur. Beliau seorang yang rajin dan sejak kecil, Bernie mengumpul wang dengan bekerja sebagai anggota penyelamat dan pemasang paip air.

Beliau memulakan kerjayanya dalam bidang pelaburan pada umur 22 tahun melalui Bernie L. Madoff Investment Securities dan melabur ke dalam saham “murah” dikenali sebagai penny stock. Modal awalnya sekitar USD5,000 (bersamaan dengan USD43,000 sekarang).

Kemudian, firma ini berkembang dengan bantuan hutang daripada bapa iparnya. Firma beliau kemudian memasuki bisnes sebagai broker saham di mana mereka membantu pembeli dan penjual. Mereka adalah syarikat pertama yang menggunakan teknologi komputer dalam pencarian pembeli dan penjual saham “penny stock“.

Tidak seperti New York Stock Exchange (NYSE) yang lebih rasmi dan mempunyai syarikat ternama, pasaran yang beliau operasikan adalah kecil dan lama-kelamaan teknologi yang digunakan Bernie Madoff mendapat lebih banyak perhatian kerana lebih efisien. Pasaran ini dikenali sebagai NASDAQ atau National Association of Securities Dealers Automated Quotation. 

Pada awalnya, semua aktiviti beliau sah di sisi undang-undang malah membantu pelabur dalam pasaran saham. Bernie Madoff juga adalah pengerusi NASDAQ. Apa yang membuatkan seseorang individu yang berpengaruh ini untuk mula menipu orang ramai dalam skim Ponzi?

Skim Ponzi: Suatu bentuk penipuan kewangan yang menjanjikan pulangan tinggi tanpa risiko kepada pelabur. Cara skim ini beroperasi adalah dengan membayar pulangan pelabur lama menerusi wang yang diterima daripada pelabur baru. Kemudian, ia diulang-ulang sehingga tiada lagi pelabur baru.

Kredit: Dimond Kaplan and Rothstein, Attorneys at Law

Kriteria Skim Ponzi

Skim ini diberi nama Skim Ponzi sempena seorang penipu bernama Charles Ponzi pada tahun 1919. Namun, rekod sejarah mengatakan bahawa skim ini sudahpun wujud sejak dahulu lagi dari awal tahun 1800.

Konsep Ponzi yang asas adalah apabila duit pelabur baru digunakan untuk membayar duit pelabur lama. Antara kriteria lain dalam skim Ponzi adalah:

  • Janji pulangan tinggi dengan risiko yang rendah
  • Pulangan yang konsisten tanpa mengira keadaan ekonomi
  • Pelaburan yang tidak disahkan badan berkenaan seperti Suruhanjaya Sekuriti atau Securities and Exchange Commission.
  • Strategi pelaburan rahsia atau terlalu kompleks untuk diterangkan
  • Pelanggan tidak dibenarkan atau tidak mendapat akses untuk melihat dokumen pelaburan rasmi mereka
  • Pelanggan susah untuk mengeluarkan wang mereka

Skim Ponzi Bernie Madoff

Firma milik Bernie Madoff, Bernie L. Madoff Investment Securitites, ditubuhkan pada tahun 1960 dan pada suatu masa dinobatkan sebagai pembuat pasaran terbesar di Wall Street. Syarikat beliau dapat menguruskan transaksi yang besar dengan cepat dan murah menggunakan teknologi.

Mereka menjana pendapatan dengan membayar broker 1 sen untuk melakukan transaksi setiap saham dan memperoleh keuntungan daripada perbezaan antara harga beli dan harga jual untuk setiap saham tersebut. Dengan jumlah yang besar yang diuruskan mereka setiap hari (USD740 juta), firma ini amat menguntungkan.

Pada tahun 1992, Wall Street Journal melaporkan bahawa firma ini menguruskan 9% daripada seluruh saham di pasaran saham New York. Mereka juga merupakan market maker terbesar untuk pasaran NASDAQ.

Bernie Madoff juga menguruskan wang untuk pelabur melalui subsidiari firma miliknya. Dana yang diuruskan beliau menyasarkan individu profil tinggi, badan amal dan komuniti Yahudi di New York. Beliau menggunakan reputasi yang diperoleh melalui Wall Street untuk menarik pelabur. Malah, ada yang melaporkan bahawa Bernie Madoff tidak akan melayan pelabur dengan jumlah wang yang sedikit dan membina aura ekslusif untuk dana yang diuruskannya.

Pulangan yang diterima pelabur sangat konsisten di sekitar 10% setiap tahun tanpa mengira keadaan ekonomi. Salah satu dana milik beliau yang sepatutnya melabur ke dalam indeks pasaran saham Amerika Syarikat, melaporkan pulangan 10.5% setahun untuk 17 tahun. Malah ketika krisis ekonomi 2008, dana ini melaporkan pulangan positif sebanyak 5.6% di mana indeks saham jatuh sebanyak 38% untuk tahun yang sama.

Perbandingan antara dana Warren Buffett (Berkshire Hathaway), pasaran saham Amerika Syarikat (S&P500 Index) dan dana Bernie Madoff (Fairfield Sentry Fund). Kredit: Bloomberg

Sebelum itu, pada tahun 2000, penganalisa kewangan, Harry Markopolos, sudah pun melaporkan bahawa terdapat aktiviti yang mencurigakan dalam firma Bernie Madoff. Hedge fund lain gagal meniru strategi Madoff dan melaporkan keuntungan yang sama seperti yang dilaporkan.

Harry Markopolos melaporkan perkara ini kepada pihak berkuasa dan media kewangan namun tidak mendapat perhatian. Menurut Harry, firma Bernie Madoff ini hanya mempunyai dua sebab di sebalik pulangan yang diterima; aktiviti front-running atau skim Ponzi.

Front Running: Aktiviti daripada broker untuk membeli dahulu saham blok besar yang diterima sebelum melakukan pembelian bagi pihak pelanggan. Aktiviti ini tidak sah di sisi undang-undang.

Bernie Madoff juga mengenakan caj sebanyak 4% setiap tahun untuk pelaburan ke dalam dana milik beliau. Ini bermakna mereka perlu mendapatkan 16% pulangan setiap tahun! Dalam dunia kewangan, keuntungan sebanyak ini setiap tahun tidak logik dan jarang berlaku tambahan pula untuk dana sebesar Bernie Madoff.

Pulangan daripada dana Bernie Madoff, Fairfield Sentry Fund Ltd daripada tahun 1990 hingga 2008.

Bernie Madoff didapati melaporkan keuntungan positif berturut-turut untuk 72 bulan. Firma ini melaporkan kerugian hanya 3-4 bulan untuk 10 tahun daripada tahun 1996 hingga 2006. Tiada dokumen rasmi dalam pegangan saham setiap bulan kerana semua pegangan ini dijual dalam bentuk tunai sebelum setiap suku tahun berakhir.

Apa Yang Membuatkan Bernie Madoff Ditangkap?

Pada tahun 2005, dana milik Bernie Madoff menerima arahan pengeluaran wang daripada pelabur sebanyak USD105 juta walaupun ketika ini akaun dana hanya memiliki USD13 juta. Ini mungkin berpunca daripada kes firma lain, Bayou Group, yang ditangkap oleh pihak berkuasa kerana beroperasi sebagai skim Ponzi.

Bernie Madoff berjaya memenuhi permintaan pelabur dengan memindahkan wang daripada perniagaan beliau yang lain dan dengan hutang daripada bank.

Pada tahun 2008, krisis ekonomi yang melanda seluruh dunia mula mendedahkan penipuan Bernie Madoff sedikit demi sedikit. Dengan kejatuhan pasaran saham, pelabur mula panik termasuklah pelabur untuk dana Bernie Madoff.

Pasukan penyiasat Harry Markopolos menemui bahawa syarikat milik Bernie Madoff mula meminjam dengan jumlah yang banyak sejak Jun 2008 untuk tujuan leverage. Perkara ini mula memberi kesan kepada pelabur apabila panik krisis ekonomi 2008 bertambah teruk di mana firma pelaburan besar, Lehman Brothers dan Bear Stern menjalani proses bankrap.

Harry Markopolos ketika memberikan testimoni di Kongres. Kredit: Business Insider

Para pelabur dana Bernie Madoff meminta untuk mengeluarkan wang mereka berjumlah USD7 billion. Sebagai langkah akhir, Bernie Madoff meminta pertolongan daripada kawannya, jutawan Carl Shapiro sebanyak USD250 juta dan cuba membuat pinjaman bank.

Pada akhir tahun 2008, Bernie Madoff tidak dapat memenuhi permintaan pelabur untuk mengeluarkan jumlah wang mereka yang banyak sekaligus. Akaun bank yang asalnya mempunyai USD5 billion pada awal tahun 2008 hanya mempunyai USD234 juta. Bank juga mengetatkan polisi peminjaman mereka ketika krisis ekonomi.

Pada 4 Disember 2008, Bernie Madoff memberitahu pengurus dana, Frank DiPascali, bahawa “ini adalah pengakhiran”. Mereka mula mengeluarkan baki wang yang dimilik kepada ahli keluarga terdekat dan rakan-rakan. Pada 10 Disember, Bernie Madoff meminta anak-anaknya, Mark dan Andrew untuk menawarkan bonus kepada pekerja firma ini termasuk mereka sendiri.

Bernie memberitahu mereka bahawa semua aktiviti ini adalah “satu penipuan besar”. Kemudian, Mark dan Andrew melaporkan perkara ini keesokan harinya dan Bernie Madoff ditangkap oleh pihak berkuasa.

Scam Terbesar Di Dunia

Mangsa penipuan ini termasuk Royal Bank of Scotland (USD 609 juta), HSBC (USD1 billion), Fairfield Greeenwich Group (USD7.5 billion), Kingate Management (USD3.5 billion) dan institusi kewangan serta pelabur lain berjumlah keseluruhannya USD62 billion.

Senarai penuh mangsa Bernie Madoff boleh dilihat di sini.

Apa Terjadi Selepas Bernie Ditangkap?

Kisah hidup Bernie Madoff bermula sebagai suatu inspirasi tetapi bertukar tragik apabila sifat tamaknya memakan diri. Kedua-dua anaknya meninggal dengan sebab yang berbeza setelah beliau dimasukkan ke dalam penjara.

Aset milik keluarganya sebanyak USD826 juta dibekukan dan dijual secara lelong.

Mark Madoff bunuh diri pada 11 Disember 2010, tarikh ulangtahun kedua Bernie Madoff ditangkap.

Andrew Madoff pula meninggal dunia pada 3 September 2014 disebabkan kanser limfoma dan enggan bercakap dengan bapanya sebelum dia meninggal dunia.

Acara lelongan aset Bernie Madoff di Florida pada bulan Mei 2009. Kredit: Getty Images

Pada pertengahan tahun 2019, sebanyak USD13 billion telah diperolehi iaitu 76% daripada jumlah tuntuan dengan menyaman entiti yang mendapat keuntungan daripada pelaburan skim Bernie Madoff. Antara saman paling tinggi dalam sejarah Amerika Syarikat ialah terhadap aset Stanley Chais dan Jeffry Picower berjumlah USD7.2 billion.

Bernie Madoff meninggal dunia dalam penjara pada 14 April 2021 dan meninggalkan legasi sebagai penipu kewangan terbesar di dunia.

Filem berkenaan kes ini yang dibintangi Robert DeNiro iaitu Wizard of Lies menggambarkan hari-hari akhir empayar Bernie L. Madoff Investment Securities.

Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua. Adakah anda berminat untuk ketahui lebih banyak kisah penipuan wang seperti ini? 

LaburWatch merupakan media kripto khas yang dibina untuk anda. Bantu kami sediakan lebih banyak konten untuk anda dengan derma ke alamat yang tertera di bawah.

Ethereum/BSC/Polygon Network:
0xfFe09B19cF2AeB10d3975570d21b5A86e6e0a1e3

LaburWatch exists with the community and for the community. Help us reach out to more audiences and produce more content by donating to our crypto address below.

Ethereum/BSC/Polygon Network:
0xfFe09B19cF2AeB10d3975570d21b5A86e6e0a1e3

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram

Bacaan Seterusnya