Bill Hwang: Bagaimana USD20 Billion Lenyap Dalam Dua Hari?

Pada awal April 2021, Bill Hwang hilang sebanyak USD20 billion dalam masa hanya dua hari sahaja! Bagaimanakah sebuah institusi kewangan boleh membuat kesilapan ini dan apa yang menyumbang kepada kejatuhan Archegos Capital? Satu perkataan. Leverage.

Archimides pernah berkata, “Berikan aku kayu yang panjang dan fulkrum untuk diletakkan kayu itu – nescaya aku akan gerakkan dunia”. Untuk Archimedes, kayu dan fulkrum tersebut adalah leverage di mana fungsinya adalah untuk menambah pendedahan/risiko/daya kepada sesuatu.

Dalam perniagaan, leverage ini lebih dikenali sebagai hutang.

Baca dengan lebih lanjut untuk ketahui apa itu leverage dan kisah Archegos Capital.

Contoh Penggunaan Leverage

Bayangkan yang anda ada idea untuk meniaga sesuatu.

Anda perlu letakkan mdoal sebanyak RM1 juta untuk mulakan perniagaan. Perniagaan ini akan menjana sebanyak RM250,000 setiap tahun untuk 10 tahun.

Jadi, kos pelaburan awal adalah RM1 juta tetapi untuk 10 tahun berikutnya, anda dapat peroleh RM250,000 x 10 tahun = RM2.5 juta.

Ini adalah pulangan tanpa leverage di mana kadar pulangan tahunan (internal rate of return) adalah lebih kurang 21.4%. Kami akan terangkan apa itu internal rate of return di artikel lain.

Aliran tunai tanpa hutang. Kredit: 10kdiver.com

Apa kata anda pinjam sebahagian daripada RM1 juta tersebut? Senario ini bermakna anda gunakan leverage untuk perniagaan anda.

Katakanlah anda pinjam 80% daripada jumlah modal anda ataupun nisbah 4:1.

Jadi, anda perlu letakkan RM200,000 wang anda sendiri dan pinjam lagi RM800,000 daripada mana-mana institusi kewangan.

Cara nisbah ini dikira:

RM800,000:RM200,000 = 4:1

Apabila anda meminjam wang, sudah tentu anda perlu membayar balik dengan faedah. Katakanlah kadar yang dikenakan kepada anda ialah 5%.

Anda akan bayar kadar faedah 5% daripada RM800,000 ini setiap tahun.

5% x RM800,000 = RM40,000 setiap tahun

Selepas 10 tahun, anda perlu pulangkan wang penuh pinjaman RM800,000.

Untuk memudahkan keadaan, anda akan asingkan RM80,000 setiap tahun untuk bayaran penuh selepas 10 tahun ini.

RM80,000 x 10 tahun = RM80,000

Jadi, untuk perolehan sebanyak RM250,000 setiap tahun ini, RM40,000 akan digunakan untuk membayar faedah bank dan RM80,000 akan digunakan untuk pembayaran modal. Jumlah pembayaran sebanyak RM120,000.

Jadi, wang yang tinggal untuk perniagaan anda adalah:

RM250,000 – RM120,000 = RM130,000

Dengan leverage, aliran tunai anda akan kelihatan seperti berikut:

Aliran tunai dengan hutang. Kredit: 10kdiver.com

Dengan modal RM200,000, anda dapat peroleh RM130,000 setiap tahun untuk 10 tahun. Kadar pulangan tahunan meningkat daripada 21.4% tanpa hutang kepada 64.6% setiap tahun.

Itulah kuasa leverage sama seperti tuli (lever) dalam fizik yang membolehkan anda mengangkat objek berat dengan daya yang kecil.

Dalam pelaburan, leverage membolehkan anda memperoleh pulangan yang besar dengan modal yang sedikit.

Tetapi, cerita tidak tamat di situ sahaja.

Bagaimana Kalau Perniagaan Anda Tidak Untung Seperti Yang Dijangka?

Leverage datang dengan risiko. Jadi, dengan risiko ini, anda mengurangkan ruang untuk anda buat kesilapan. Apa akan jadi apabila perolehan RM250,000 setahun ini terlalu optimistik?

Dalam senario tanpa hutang, selagi mana perniagaan anda dapatkan RM100,000 setahun (untuk 10 tahun), anda masih selamat dalam kawasan tidak rugi atau balik modal.

Jadi, inilah ruang kesilapan anda (dikenali sebagai margin of safety).

RM250,000 (ramalan) – RM100,000 (realiti) = RM150,000 (ruang kesilapan)

Dalam senario menggunakan hutang, anda perlukan RM120,000 sahaja untuk servis hutang dan pembayaran modal bank. Anda juga perlukan RM20,000 untuk bayar balik duit modal anda (RM200,000 yang diletakkan awal-awal).

Jadi, untuk balik modal, anda perlukan perolehan sekurang-kurangnya RM140,000 setiap tahun. Jika dibandingkan dengan ramalan perolehan, anda mempunyai RM110,000 sahaja untuk ruang kesilapan.

RM250,000 (ramalan) – RM120,0000 (hutang) – RM20,000 (modal) – RM110,000 (ruang kesilapan)

Dengan leverage, anda bukan sahaja menambah pulangan tetapi juga menambah risiko dan mengurangkan ruang kesilapan anda dari RM150,000 kepada RM110,000. Pengurangan sebanyak 27%.

Itu baru leverage sebanyak 4:1. Apa beza untuk nisbah lain dalam leverage?

Beza antara tiada leverage (graf yang sekata), 1:1 leverage hingga 5:1 leverage.

Perkara Tidak Dijangka Adalah Bahaya Guna Leverage

Bentuk leverage yang paling bahaya adalah apabila anda perlu membayar jumlah wang yang tinggi dalam masa yang singkat. Pelabur boleh meminjam wang menggunakan leverage bersama aset yang ada e.g saham, rumah.

Contoh; beli saham Maybank bernilai RM100,000 dengan aset saham yang ada e.g SCIENTX bernilai RM50,000. Peminjaman dua kali ganda ini adalah leverage 2:1. Kadar faedah berbeza mengikut bank dan selalunya sekitar 7%.

Apabila Maybank jatuh lebih daripada 50%, disebabkan nilai aset yang bernilai RM50,000 sudah “digunakan”, anda perlu menambah wang ke dalam akaun untuk cover position anda. Ini dipanggil margin call.

Inilah yang menyebabkan kebanyakan bencana kewangan. Ya, mungkin daripada 900 hari, perkara ini tidak akan berlaku dalam 899 hari, tetapi 1 hari itu sahaja boleh mengubah nasib anda. Kebanyakan perkara buruk yang terjadi adalah black swan event yang bermakna ia tidak dapat dilihat melalui data sejarah dan merupakan data ekstrem  lain daripada hari/tahun lain.

Contoh Black Swan; Perang Dunia Kedua, Pembunuhan John F. Kennedy, Bencana 9/11, Pandemik COVID-19, Evergreen tersekat di Suez Canal

Leverage mempunyai peluang untuk hilangkan semua pulangan anda disebabkan oleh satu kejadian tidak dijangka. Warren Buffett pernah berkata, “Pulangan yang hebat apabila digandakan dengan kosong masih lagi kosong”.

Kisah Archegos Capital dan Bagaimana USD2 billion Boleh Lenyap Dalam Dua Hari

Archegos Capital Management adalah pejabat keluarga kepada Bill Hwang, bekas anak didik legenda hedge fund yang terkenal iaitu Julian Robertson.

Bill Hwang membina Tiger Asia Management – juga dipanggil dana “Tiger Cub” – berdasarkan nama syarikat mentor beliau, Tiger Management.

Tiger Asia Management sangat berjaya dalam aktiviti pelaburan dan jumlah dana yang diurus beliau mencecah sehingga USD10 billion sekitar tahun 2000an. Bill Hwang merupakan seorang yang agak lain dalam dunia kewangan. Seorang Kristian sering ke gereja dan hanya memiliki sebuah kereta Hyundai.

Selepas masalah dengan Tiger Asia Management dan konflik dengan pengawal selia pasaran, Bill Hwang keluar dan membuka syarikat pelaburannya sendiri, Archegos pada tahun 2013 dengan modal sebanyak USD200 juta.

Dia banyak melabur besar dalam inovasi baru ketika itu seperti Netflix dan Amazon. Tak lama kemudian, modal beliau berkembang kepada USD4 billion! Lagipun, dia tidak dikenali kerana lebih sukakan hidup yang sederhana.

Strategi beliau kekal di bawah radar kerana pertamanya, beliau mengurus pejabat keluarga yang bermakna dia tidak perlu melaporkan apa-apa pegangan seperti hedge fund yang lain. Dia juga menggunakan kontrak swap untuk memiliki jumlah saham yang mempunyai leverage dengan banyak.

Apa itu kontrak swap?

Dalam kata mudah, kontrak swap adalah perjanjian antara dua parti untuk menukar nilai atau aliran tunai sesebuah aset kepada yang lain.

Archegos membuat perjanjian kontrak swap dengan bank untuk “membeli” saham tanpa memiliki saham tersebut. Perkara ini bukannya baru di kalangan hedge fund.

Katakan, seorang pegawai bank belikan saham Apple bernilai RM100 untuk anda tetapi bank yang pegangkan. Kemudian, anda hantar RM20 kepada bank sebagai “margin” dan setuju untuk bayar kadar faedah untuk baki RM80 lagi.

Jadi, anda miliki RM100 saham Apple tetapi hanya letakkan RM20 dan tiada siapa yang tahu anda miliki saham Apple ini kerana bank yang perlu laporkan. Kalau saham Apple naik, bank akan bayar anda dan kalau saham Apple turun, anda perlu letakkan wang untuk bank rasa selamat. Mudah sahaja kan?

Berbalik kepada Archegos, Bill Hwang gunakan kontrak swap ini untuk letakkan dana ini dalam portfolio yang besar jauh melangkaui nilai Archegos Capital itu sendiri.

Dia memiliki saham seperti ViacomCBS, Baidu dan GSX dan mempunyai akaun bank bersama Goldman Sachs, Morgan Stanley dan Credit Suisse.

Apabila saham naik pada awal 2021, dia gunakan tunai yang diperolehi daripada kontrak swap yang dimilikinya untuk memasuki kontrak baru dan menambahkan lagi leverage yang dimiliki.

Archegos dilaporkan mempunyai portfolio bernilai USD100 billion dan Bill Hwang bernilai USD30 billion. Tetapi, memandangkan pemilikannya banyak di bank, jumlah pegangan dan leverage tidak dapat diketahui dengan jelas.

Pada 22 Mac 2021, ViacomCBS yang naik sebanyak 3 kali ganda dalam bulan-bulan sebelumnya mengumumkan bahawa mereka akan menambah USD3 billion untuk jualan saham.

Harga terus menjunam selepas pengumuman dan jatuh sebanyak 30%!

Harga saham ViacomCBS mula jatuh pada 22 Mac 2021. Kredit: TradingView

Jadi, Archegos Capital perlu membayar “margin call” menggunakan aset yang dicagarkan kepada bank. Bank-bank berjumpa untuk berbincang mengenai portfolio Bill Hwang dan mengambil keputusan untuk menjual aset miliknya untuk mengawal risiko mereka.

Kemudian, deleveraging berlaku. Ini bermakna jumlah besar cagaran ini yang dalam bentuk saham diambil oleh bank dan dijual dengan kuantiti yang besar. Aktiviti ini membuatkan jatuh dengan lebih teruk. Bank-bank lain turut sama menjual saham milik Bill Hwang untuk melindungi diri mereka. Jumlah saham yang dijual bernilai USD10 billion dan bank yang lambat jual aset milik Bill Hwang terpaksa menanggung kerugian berbillion USD.

Modal Archegos sebanyak USD20 billion lenyap begitu sahaja dalam tempoh penjualan selama dua hari ini. 20% daripada jumlah portfolio pada awalnya dan 66% daripada semua aset milik Archegos Capital.

Kehilangan nilai sebanyak ini dinobatkan sebagai kes klasik Wall Street yang berpunca daripada ketamakan. Tetapi, karakter Bill Hwang yang sederhana membuatkan kes ini kelihatan aneh berbanding kes Wall Street lain.

Kesimpulan

Kes Archegos Capital dan Bill Hwang adalah pedoman kepada kita dalam pengurusan risiko dan bagaimana mata tajam leverage sentiasa ada untuk menikam kita walaupun kita berhati-hati.

Leverage juga bermaksud hutang rumah, kereta dan apa-apa hutang yang dimiliki. Jadi, jaga-jaga dengan hutang.

Adakah anda memiliki leverage yang berlebihan dalam hidup anda? 

LaburWatch merupakan media kripto khas yang dibina untuk anda. Bantu kami sediakan lebih banyak konten untuk anda dengan derma ke alamat yang tertera di bawah.

Ethereum/BSC/Polygon Network:
0xfFe09B19cF2AeB10d3975570d21b5A86e6e0a1e3

LaburWatch exists with the community and for the community. Help us reach out to more audiences and produce more content by donating to our crypto address below.

Ethereum/BSC/Polygon Network:
0xfFe09B19cF2AeB10d3975570d21b5A86e6e0a1e3

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram

Bacaan Seterusnya