Brentford FC Dan Bagaimana “Moneyball” Membantu Bola Sepak

Brentford berjaya layak ke Liga Perdana Inggeris melalui playoff buat pertama kali dalam sejarah kelab tersebut.

Kisah kejayaan Brentford menggunakan konsep penggunaan data dan statistik dalam pengurusan pemain yang dipanggil “Moneyball“.

Ketahui lebih lanjut bagaimana Brentford FC berjaya menggunakan sistem pengurusan yang berteraskan data.

Sains data, model kebarangkalian, Matthew Benham dan kelab Denmark (FC Midtjylland) – gabungan resipi yang berjaya membawa Brentford ke Liga Perdana Inggeris.

Matthew Benham dan SmartOdds

Brentford dimiliki oleh Matthew Benham, usahawan dalam industri perjudian. Tetapi, beliau bukannya broker judi ataupun bernasib baik dalam perjudian. Beliau mengasaskan SmartOdds, syarikat yang menggunakan data untuk menganalisa statistik dalam sukan.

Dengan memperoleh kebarangkalian (probabilities) yang lebih berkualiti, SmartOdds dapat menaruh wang dalam syarikat perjudian yang “lari” daripada model mereka. Secara langsung, Matthew Benham dapat memaksimumkan elemen statistik perjudian yang kurang efisien.

Pada tahun 2012, Matthew Benham mengambil keputusan untuk membeli kelab bola sepak yang disokong beliau sejak kecil lagi. Brentford Football Club. Sejak daripada itu, Matthew Benham berganding bahu dengan Rasmus Ankersen untuk menerapkan penggunaan data dalam bola sepak.

Pemilik Brentford FC dan FC Midtjylland, Matthew Benham (kiri) dan pengerusi FC Midtjylland, Rasmus Ankersen (kanan).

Mula dengan FC Midtjylland

Selain Brentford, Matthew juga memiliki kelab bola sepak Denmark, FC Midtjylland atas saranan Rasmus Ankersen, yang juga merupakan pengerusi kelab Denmark tersebut.

Dengan model Matthew dan Rasmus, eksperimen dengan pengurusan data telah dibuat di kelab Denmark ini. Mereka mula membeli pemain yang dianggap “murah” oleh pasaran sama seperti apa yang Matthew lakukan dalam syarikat analisis perjudian beliau.

Cara ini ternyata berjaya apabila FC Midtjylland berjaya menjuarai liga pertama kali dalam sejarah pada musim 2014-2015 dan dua kali lagi pada musim 2017-2018 dan 2019-2020. Mereka juga berjaya melayakkan diri ke Liga Juara-juara serta Europa League di mana pada tahun 2015-2016 berjaya menundukkan gergasi bola sepak, Manchester United.

Nota: FC Midtjylland juga menempatkan pemain negara Malaysia, Dion Johan Cools yang baru dibeli pada awal Januari 2020.

Model pengurusan ini ditiru di England bersama Brentford FC dengan bajet yang lebih tinggi tetapi masih menerapkan unsur “Moneyball“. Namun, ianya tidak semudah yang disangka.

Elemen “nasib” dalam bola sepak lebih tinggi berbanding sukan lain

Bola sepak mempunyai skor rendah berbanding sukan lain seperti bola keranjang. Sebagai contoh, setiap perlawanan dalam Liga Perdana Inggeris hanya akan menghasilkan 2.69 gol dalam musim 2020-2021. Bandingkan pula dengan bola keranjang iaitu 112.1 pada musim 2020-2021 di NBA.

Gol dalam bola sepak tidak boleh dijadikan metrik kerana elemen nasib lebih tinggi. Pernahkah anda lihat pasukan anda bermain dengan bagus tetapi kalah disebabkan hanya satu gol dari pihak lawan?

Bola terkena tangan, penalti minit terakhir, kesilapan pengadil adalah lumrah dalam bola sepak yang menjurus kepada nasib baik atau malang. Jadi, menurut Matthew Benham, mata dan gol bukanlah metrik yang baik untuk mengukur kejayaan.

Jadi, apakah metrik yang dilihat untuk menilai pemain atau kelab?

Gol dijangka, atau “Expected Goals (xG)”

Brentford FC adalah antara kelab pertama yang menggunakan metrik xG sebagai ukuran dan penanda aras untuk kejayaan sesebuah pasukan. Mereka menggunakan filosofi ini untuk pembelian dan pengurusan pemain. Dengan bajet yang rendah, Brentford FC tidak memiliki ruang untuk membuat kesilapan membeli pemain mahal.

Kadar perbelanjaan Brentford FC (dalam juta GBP) sejak musim 2014/2015. Angka negatif bermaksud nilai pemain dijual lebih tinggi berbanding nilai pemain dibeli. Kredit: eflanalysis.com

xG adalah asas untuk metrik lain seperti Expected Assists, Expected Goal Against dan Smart Passes. Brentford FC menggunakan metrik-metrik yang tidak konvensional ini untuk menentukan harga pemain. Berdasarkan bias pasaran, sesetengah pemain akan lebih mahal atau murah berbanding nilai statistik mereka. Ini adalah lumrah pasaran pemain bola sepak di mana satu musim yang baik boleh menaikkan harga seorang pemain beratus ganda.

Pembelian dan penjualan pemain menggunakan data

Dengan filisofi berteraskan data, kumpulan data SmartOdds dan Brentford menentukan pemain yang murah ataupun “undervalued” dalam pasaran. Berbanding musim 2014-2015, majoriti pemain yang dibeli oleh Brentford FC datang daripada liga Perancis, Sepanyol dan liga bawahan.

Konsep “Moneyball” adalah beli dengan harga murah dan jual dengan harga yang mahal. Berikut adalah rekod pembelian dan jualan utama Brentford FC daripada tahun 2014:

Pemain seperti Said Benrahma dan Ollie Watkins dibeli dengan harga yang murah dan kemudiannya dijual kepada kelab Liga Perdana Inggeris.

Pasukan data melihat perkara bukan dari segi statistik mudah semata-mata (gol, hantaran, bolos) tetapi dengan nilai potensi. Sebagai contoh, Josh DaSilva hanya bermain 62 minit di bawah Arsene Wenger di Arsenal tetapi merupakan pemain utama di Brentford FC. Begitu juga dengan Marcus Forss (dilepaskan oleh West Brom), Sergi Canos (pemain simpanan Liverpool) dan Mathias Jensen (dari Celta Vigo).

Said Benrahma (kiri) dan Ollie Watkins (kanan) yang kini bermain di Liga Perdana Inggeris. Kredit: 90mins.com

Rumusan

Menurut Rasmus Ankersen, pengarah Brentford FC:

“Kunci dalam struktur organisasi Brentford dan Midtjylland adalah mengenal pasti bakat yang dilepas pandang dalam pasaran, latih mereka dan jual dengan keuntungan. Kemudian, nilai kelab boleh berkembang dan secara langsung, meningkatkan kualiti pasukan”

Konsep ini bukannya baru tetapi pernah diterapkan dalam bola lisut melalui kelab Oakland Athletics dan Billy Beane. Jika anda berminat untuk ketahui lebih lanjut, anda boleh tonton filem “Moneyball“.

Konsep “Moneyball” datang daripada Oakland Athletics yang berjaya menang 20 perlawanan berturut-turut dengan bajet rendah dan pemain tidak dikenali.

Penggunaan data sains semakin popular dan mula diambil oleh kelab-kelab besar. Liverpool FC adalah contoh terbaik di mana mereka mempunyai pasukan data tersendiri yang terdiri daripada para akademik dan pemegang PhD.

Jurgen Klopp juga menyatakan pujian terhadap kelab FC Midtjylland atas penggunaan data dalam aktiviti seharian kelab tersebut. Malah, beliau mengambil throw-in coach dari FC Midtjylland untuk menambah baik pasukan Liverpool.

Trend ini menunjukkan bahawa sains data semakin digunakan secara meluas dalam sukan bola sepak dan akan menjadi strategi penting dalam penambahbaikan kelab. Cara pencarian bakat yang lama akan menjadi lapuk dan digantikan dengan sistem data dan metrik yang lebih baik.

 

Apa pendapat anda tentang Brentford FC dan penggunaan data dalam bola sepak? Mampukah mereka bertanding secara kompetitif di Liga Perdana Inggeris?

LaburWatch merupakan media kripto khas yang dibina untuk anda. Bantu kami sediakan lebih banyak konten untuk anda dengan derma ke alamat yang tertera di bawah.

Ethereum/BSC/Polygon Network:
0xfFe09B19cF2AeB10d3975570d21b5A86e6e0a1e3

LaburWatch exists with the community and for the community. Help us reach out to more audiences and produce more content by donating to our crypto address below.

Ethereum/BSC/Polygon Network:
0xfFe09B19cF2AeB10d3975570d21b5A86e6e0a1e3

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram

Bacaan Seterusnya