Cara airbnb Mengubah Dunia Pelancongan

Sejak adanya Airbnb, semakin ramai pelancong, terutamanya pelancong muda, lebih gemar menggunakan servis syarikat ini. Apa sebenarnya Airbnb dan bagaimana dalam 12 tahun sahaja, syarikat ini menerima sebanyak 400 juta tempahan sejak pelancaran?

Kredit: TradingView

Bila anda melancong ke tempat baru, adakah anda seseorang yang akan gunakan aplikasi Airbnb untuk tempah bilik? Sebelum ini, hotel atau rumah penginapan adalah satu-satunya pilihan apabila anda mengembara. Namun, pengasas Airbnb; Brian Chesky, Joe Gebbia dan Nathan Blecharcyzk, telah mengubah industri pelancongan dengan membina platform yang membolehkan sesiapa sahaja menginap di rumah orang lain.

Kalau anda ambil perspektif sebelum Airbnb, idea untuk membenarkan orang yang tidak dikenali menginap di rumah anda kedengaran seperti idea yang mengarut. Alternatif pada masa itu adalah Craigslist yang mungkin menakutkan kerana anda tidak kenal siapa hos anda, personaliti mereka dan keadaan rumah yang akan diduduki.

Kepercayaan Sebagai Suatu Metrik

Cabaran utama yang dialami oleh Airbnb adalah membina kepercayaan antara pengguna. Aplikasi Airbnb direka untuk menjadikan kepercayaan sebagai satu metrik.

Kebanyakan budaya di dunia mengajar kita agar berhati-hati dengan orang tidak dikenali. Jadi, untuk memecahkan stigma ini, Airbnb perlu mula dengan idea yang mudah; dengan percaya bahawa kita semua mempunyai sifat bertanggungjawab dan saling mempercayai. Bagaimana?

Rekaan Platform Airbnb

Cara apakah yang terbaik untuk membuatkan tetamu dan hos saling mempercayai? Joe Gebbia menerangkan dalam TedTalk bagaimana struktur Airbnb direka untuk membina kepercayaan antara pengguna.

Jika anda lihat lebih daripada 30 review yang positif, sudah tentu ia akan membuatkan anda lebih percaya hos tersebut.

Contoh profil hos yang direka untuk membina kepercayaan dengan bakal tetamu. Kredit: Airbnb.com

Apa yang membezakan Airbnb daripada aplikasi penginapan lain seperti Booking.com, Expedia dan Trivago adalah bagaimana interaksi dan pengalaman pengguna dalam aplikasi atau laman web mereka.

Pengguna tidak diserabutkan dengan maklumat berlebihan. Profil pengguna dan sistem review juga dapat difahami dengan mudah dengan bantuan visual.

Joe Gebbia, CPO Airbnb, pernah menyatakan bahawa pengalaman visual Airbnb dipermudahkan agar pengguna boleh menempah tempat kediaman dengan hanya beberapa klik sahaja. Di samping itu, review dan komen daripada tetamu lain dapat dilihat sebelum proses pembayaran. Secara langsung, ia juga memudahkan proses checkout.

Contoh Airbnb Superhost dan laman profil. Kredit: Airbnb.com

Dengan pengenalan Airbnb “Superhost” dan Airbnb Plus, kepercayaan pelanggan terhadap hos dalam platform ini dapat dikukuhkan menerusi sistem penapisan yang dibuat oleh Airbnb sendiri.

Sistem Pengukuran Reputasi (“Review“)

CEO Airbnb, Brian Chesky pernah menerangkan tentang konsep review yang lebih menyeluruh yang dikenali sebagai sistem “Review 7 Bintang“. Konsep ini secara asasnya ingin menunjukkan fokus yang perlu diberikan kepada tetamu. Selalunya, syarikat teknologi atau aplikasi memberi pilihan hingga 5 bintang untuk mengukur pengalaman pengguna.

Airbnb mengambil langkah dengan memberi pilihan yang lebih banyak dengan memberi ruangan komen serta review untuk perkara seperti; komunikasi, lokasi rumah, kebersihan, ketepatan maklumat, ketibaan dan nilai yang dibayar.

Contoh daripada SmartHome Malaysia. Kredit: Airbnb.com

Dengan pelbagai jenis perkara yang diukur, agak susah untuk hos menerima review 5 bintang untuk setiap aspek. Ini adalah berita baik untuk Airbnb kerana hos akan lebih mengutamakan tetamu dengan memberi mereka layanan yang lebih baik dan lebih dari sangkaan.

Pengalaman “7 Bintang” yang dimaksudkan Brian Chesky adalah dengan memberi contoh pengalaman ketibaan tetamu kepada hos:

  • 4 Bintang ke Bawah: Anda perlu menghubungi hos apabila anda sampai dan tunggu mereka tiba atau pengalaman lebih teruk.
  • 5 Bintang: Anda tiba di rumah hos dan ketuk pintu rumah. Hos anda sudah pun berada di sana dan membawa anda sekitar rumah.
  • 6 Bintang: Anda tiba di lapangan terbang atau stesen bas dan hos menjemput anda di sana.
  • 7 Bintang: Hos menjemput anda di lapangan terbang/stesen bas dengan sebuah limosin dan memberi anda hadiah berdasarkan apa yang anda gemar melalui maklumat di profil anda.

Sudah tentu pengalaman ini adalah hipotetikal dan dibesar-besarkan. Contoh ini menunjukkan bagaimana konsep “7 Bintang” memberi inspirasi kepada Airbnb dalam memberi metrik untuk penambahbaikan aspek layanan tetamu.

Potensi Masa Depan

Platform Airbnb mempunyai lebih daripada 5 juta rumah di seluruh dunia dan tidak memiliki satu pun rumah. Trend ekonomi ini dikenali sebagai “sharing economy” ataupun ekonomi berbentuk perkongsian.

Sama seperti Grab dan Uber, konsep ekonomi ini bukannya baharu tetapi ditambahbaik dengan bantuan teknologi digital dan perspektif yang berbeza. Dahulu, ekonomi seperti ini lebih dikenali sebagai sistem sewa.

Jadi, apa masa depan ekonomi perkongsian ini dan adakah Airbnb akan bertahan dalam pasaran?

Perubahan Industri Pelancongan Selepas Pandemik

Pada tahun 2020, laporan kewangan Airbnb menyatakan perolehan sebanyak USD3.4 billion berbanding USD4.8 billion pada tahun 2019. Penurunan hanya sebanyak 30% disebabkan oleh impak pandemik tetapi lebih baik daripada jangkaan. Kos lain yang memberi kesan pada tahun 2020 adalah kos penyenaraian di Dagangan Saham New York.

Prestasi kami pada tahun 2020 menunjukkan Airbnb mempunyai daya tahan yang kuat dan boleh berubah mengikut situasi. Pelancongan akan kembali dan kami kekal fokus ke arah pemulihan ekonomi” – kata Brian Chesky, CEO Airbnb.

Mereka juga memperkenalkan ciri “Flexible Dates” baru-baru ini untuk memberi cadangan tarikh yang lebih fleksibel kepada pengguna. Sejak awal tahun 2021, hampir 40% pengguna Airbnb menggunakan ciri ini.

Selepas pandemik berakhir, Airbnb dapat mula dengan satu langkah di hadapan memandangkan impak besar dialami oleh industri perhotelan. Airbnb juga mempunyai kelebihan dari segi kos operasi yang lebih rendah berbanding pesaing dan jumlah tawaran yang lebih besar berbanding pesaing lain.

Airbnb mempunyai jumlah bilik terbanyak berbanding pesaing platform dan hotel besar lain. Kredit: Forbes.

Pengenalan Airbnb Luxe

Pada bulan Jun tahun 2019, Airbnb memperkenalkan Airbnb Luxe, produk terbaru yang menghubungkan rumah mewah dengan tetamu berpendapatan tinggi. Dengan pelancaran Airbnb Luxe, mereka meneroka pasaran baharu dengan tetamu yang inginkan servis dan pengalaman yang lebih unik berbanding rumah biasa.

Contoh rumah mewah di Bali yang disenaraikan di Airbnb Luxe. Kredit: Airbnb

Pengalaman Tempatan Melalui Airbnb Experience

Airbnb bukan sahaja menyediakan tempat tinggal malah menawarkan servis tempatan dalam bentuk Airbnb Experiences. Servis ini ditamatkan sementara waktu ketika pandemik dan beralih kepada bentuk online. Ia disambung semula selepas Mei 2020 kecuali tiga negara; Singapura, Hong Kong dan Peru.

Airbnb Experiences diketuai oleh Catherine Powell, bekas eksekutif Walt Disney Company bermula Januari 2020 dan kini mempunyai lebih 40,000 tawaran di 1,000 bandar di seluruh dunia.

Brian Chesky amat positif dengan Airbnb Experiences yang baginya lebih berpeluang untuk berkembang dengan besar.

Saya percaya bahawa Airbnb Experiences akan menjadi antara bisnes utama kami. Tak semua orang mempunyai rumah untuk dikongsi tetapi semua orang mempunyai cerita, minat dan bakat mereka yang boleh dikongsi” – kata Brian Chesky, CEO Airbnb

Contoh servis yang ditawarkan di serata dunia melalui Airbnb Experiences. Kredit: Airbnb.com

Kawalan Daripada Pihak Berkuasa Tempatan

Menurut laporan daripada University of Cologne, Airbnb menyumbang ke arah kenaikan harga sewa di Eropah sebanyak 14.2% setahun.

Kediaman di kawasan bandar telah diubah kepada penginapan jangka masa pendek berbanding disewakan kepada penduduk tempatan kerana pulangan yang lebih lumayan. Oleh itu, bandar-bandar di Eropah mula mengambil langkah untuk mengawal Airbnb.

Sebagai contoh, Airbnb telah dikenakan saman di Barcelona kerana melanggar undang-undang pelancongan tempatan manakala di Berlin pula, undang-undang baru diperkenalkan yang melarang sebarang bentuk penginapan jangka masa pendek tanpa lesen.

Rumusan

Tanpa disangkal lagi, Airbnb telah berjaya mengubah landskap industri pelancongan di dunia dengan fokus terhadap rekacipta berasaskan kepercayaan (“trust-based design“). Sama ada ianya akan lebih diterima atau tidak, jawapannya tertakluk kepada bagaimana undang-undang berkenaan pelancongan akan dibentuk nanti.

Airbnb mempunyai komuniti yang besar di kalangan milenial dan Gen Z jadi tidak terkejut jika model bisnes ekonomi perkongsian ini akan ditiru oleh syarikat lain. Dengan nilai syarikat sebanyak USD120 billion buat masa sekarang, Airbnb kukuh di barisan hadapan.

Apakah pengalaman anda dalam Airbnb? Baik atau buruk?

LaburWatch merupakan media kripto khas yang dibina untuk anda. Bantu kami sediakan lebih banyak konten untuk anda dengan derma ke alamat yang tertera di bawah.

Ethereum/BSC/Polygon Network:
0xfFe09B19cF2AeB10d3975570d21b5A86e6e0a1e3

LaburWatch exists with the community and for the community. Help us reach out to more audiences and produce more content by donating to our crypto address below.

Ethereum/BSC/Polygon Network:
0xfFe09B19cF2AeB10d3975570d21b5A86e6e0a1e3

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram

Bacaan Seterusnya