Crocs: Fesyen Lama Yang Kembali Popular

Crocs. Siapa yang tidak kenal jenama kasut ini? Pada tahun 2020 sahaja, Crocs telah mencatat jualan sebanyak USD1.23 billion!

Ketahui tentang syarikat kasut Crocs Incorporated dan bagaimana fesyen lama kembali popular.

Majalah TIME memasukkan ia dalam senarai “50 ciptaan terburuk 2010“. Akhbar Daily Mail pula melaporkan Crocs sebagai “kasut terburuk pernah dicipta”.

Tetapi, sejak tahun 2009, Crocs Inc, telah berjaya menjual lebih 300 juta pasang kasut.

Ketahui lebih lanjut sejarah syarikat Crocs, zaman kejatuhan dan bagaimana industri fesyen kembali mempopularkan jenama kasut ini.

Sejarah Crocs

Penubuhan

Dua rakan; George Boedecker Jr dan Scott Seamans melancong menggunakan bot. Ketika melancong, mereka mendapat idea untuk rekaan kasut yang sesuai. Jadi, mereka mengambil keputusan untuk merekrut seorang lagi rakan mereka, Lyndon Hanson III, dan menggunakan khidmat syarikat Kanada, “Foam Creations Inc” untuk mengeluarkan kasut rekaan mereka.

Syarikat tersebut menggunakan bahan khas dipanggil “Croslite”; ringan, tidak mudah tergelincir dan tidak menyerap bau.

Apa yang tinggal adalah nama. Mereka setuju dengan nama “Crocs”, nama pendek untuk “Crocodiles” kerana ianya sesuai di darat dan air serta tahan lasak.

Pada bulan November 2002,  mereka mengambil keputusan untuk melawat suatu pertunjukan bot antarabangsa di Fort Lauderdale, California untuk memasarkan produk terbaru mereka. Kasut kalis air untuk dibawa ke dalam bot.

Dengan membawa 1000 pasang kasut, mereka bersedia untuk cuba memasuki pasaran. Model pertama dipanggil “The Beach”.

Semua 1000 pasang kasut terjual di festival tersebut!

Festival Kasut Amerika Syarikat dan tahun berikutnya

Pengasas Crocs cuba meniru kejayaan mereka di festival pertama dan memasuki festival kedua pada Mac 2003.

Perhatian yang sama diperolehi untuk kasut “Crocs” dan mereka mempunyai 300 peruncit selepas setahun. Rupa-rupanya pasaran untuk kasut sebegini lebih besar daripada yang mereka sangka.

Rata-rata pemakai terdiri daripada pekerja perubatan, pekerja restoran dan remaja yang ingin mula trend terbaru.

Dalam setahun, mereka berjaya menjual 76,000 pasang kasut dan mencecah jualan sebanyak USD1.2 juta.

Tahun kedua pula?

649,000 pasang kasut dan jualan sebanyak USD12.3 juta.

Pembelian Foam Creations

Pada tahun 2004, pengasas Crocs membeli Foam Creations Inc, syarikat pembuatan teknologi “Croslite” dan kasut rekaan mereka. Ini bermakna mereka boleh membuat kasut mereka sendiri dan dapatkan resipi khas bahan Croslite.

Pada tahun 2005, mereka tukar nama syarikat mereka kepada Crocs Incorporated.

Kredit: Crocs

Penawaran lebih banyak jenis kasut

Crocs menyasarkan untuk memasuki pasaran saham Amerika Syarikat. Jadi, mereka perlu meyakinkan pelabur bahawa syarikat ini masih boleh berkembang. Pada hujung tahun 2005, Crocs telahpun menawarkan sebanyak 9 jenis kasut dalam 17 warna berbeza.

Kempen Pemasaran “Ugly Can Be Beautiful” dan IPO

Juga pada tahun 2005, Crocs berjaya menjual 6 juta pasang kasut dan mencecah USD109 juta jualan dan tahun keuntungan pertama mereka.

Memandangkan populariti Crocs semakin meningkat, pelabur mula memberi perhatian. Pada awalnya harga Initial Public Offering (IPO) adalah USD13-15 tetapi selepas beberapa jam dipasarkan dalam pasaran saham, harga saham Crocs mencecah USD21.

Crocs berjaya mengumpul USD200 juta dalam pasaran saham dan merupakan IPO terbesar untuk pengeluar kasut.

Kempen “Ugly can be beautiful” pada tahun 2005 yang berjaya menjual 6 juta pasang kasut dalam setahun. Kredit: Crocs

Tahun berikutnya, Crocs terus mencatatkan peningkatan jualan; USD355 juta (2006) dan USD 847 juta (2007). Saham Crocs naik ke paras USD70 pada 2007.

Kemudian, mulalah fasa kegelapan untuk syarikat Crocs. Apa yang terjadi?

Krisis ekonomi 2008

Seperti semua perniagaan lain, Crocs tidak terkecuali daripada krisis ekonomi dunia. Pada tahun 2008, syarikat ini rugi sebanyak USD200 juta dan terpaksa mengurangkan kos dengan drastik.

Crocs tutup sebanyak 158 kedai di seluruh dunia. Pada tahun 2009, harga saham Crocs adalah sebanyak USD3 sahaja. Kejatuhan sebanyak 95% dalam masa hanya dua tahun.

Pada tahun 2009, mereka di ambang bankrap. Tetapi Crocs memilih untuk meneruskan perniagaan walaupun dalam rugi.

Fasa Bina Semula Perniagaan

Untuk 2 tahun berikutnya, jenama Crocs mula berkembang kepada stail yang berbeza dan mula membuka semula kedai. Pada hujung tahun 2011, terdapat lebih 250 model Crocs di pasaran.

Buat pertama kalinya, pada tahun 2011, jualan Crocs mencecah USD1 billion. Namun, saham syarikat ini masih lagi mendatar. Pelabur masih tidak percaya Crocs mampu bertahan lama.

Pada tahun 2014, firma pelaburan Blackrock melabur ke dalam Crocs dan meletakkan USD400 juta sebagai suntikan modal. Mereka juga memperkenalkan CEO baru, Gregg Ribatt. Para pengasas asal Crocs meninggalkan perniagaan ini pada tahun 2015.

Cara Baru Crocs Dalam Industri Fesyen

Pada tahun 2017, Crocs mempunyai CEO baru, Andrew Rees. Rancangan beliau mudah sahaja iaitu:

  • Tambahbaik pasukan
  • Tambahbaik pembuatan/pengilangan
  • Tutup kedai yang tidak mencatatkan jualan memberangsangkan
  • Fokus kepada produk asal (model “The Beach”)

Dan yang paling penting,

  • Buatkan Crocs nampak “cool
(Kiri) Post Malone, rapper & artis, bersama Crocs edisi terhad. (Kanan) Justin Bieber, penyanyi, bersama Crocs edisi terhad.

Collaboration. Ataupun kerjasama dengan artis dan selebriti terkenal. Daripada Post Malone ke Justin Bieber. Crocs mula mengehadkan pengeluaran dalam model-model tertentu. Mereka juga bekerjasama dengan pereka dan jenama terkenal.

Contoh Crocs yang unik dan terhad:

Balenciaga Stiletto Crocs berharga USD850 yang habis terjual dalam beberapa saat sahaja. Kredit: Crocs
Kerjasama antara Crocs dan KFC untuk kasut jumlah terhad. Kredit: Crocs

Rumusan

Pada hujung tahun 2020, Crocs mencatatkan dalam laporan kewangan mereka jualan suku tahun keempat sebanyak USD407 juta (dalam masa 3 bulan). Naik sebanyak 55%.

Kredit: TradingView

Jualan sepanjang tahun 2020 pula adalah USD1.38 billion iaitu jumlah tertinggi dalam sejarah syarikat. Harga saham syarikat Crocs sekarang pula adalah USD114 seunit. Naik hampir 2000% dalam masa sepuluh tahun!

Angka yang membanggakan untuk “kasut terburuk pernah dicipta”.

 

Apakah pendapat anda tentang hype untuk Crocs? Adakah ia akan bertahan?

LaburWatch merupakan media kripto khas yang dibina untuk anda. Bantu kami sediakan lebih banyak konten untuk anda dengan derma ke alamat yang tertera di bawah.

Ethereum/BSC/Polygon Network:
0xfFe09B19cF2AeB10d3975570d21b5A86e6e0a1e3

LaburWatch exists with the community and for the community. Help us reach out to more audiences and produce more content by donating to our crypto address below.

Ethereum/BSC/Polygon Network:
0xfFe09B19cF2AeB10d3975570d21b5A86e6e0a1e3

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram

Bacaan Seterusnya