eSports: Potensi Pelaburan Masa Depan?

Pada tahun 2018, pertandingan DOTA 2 Kuala Lumpur Major telah membawa sebanyak 8,000 peminat tempatan dan antarabangsa ke Axiata Arena, Kuala Lumpur.

Syarikat di Malaysia seperti Yoodoo dan Media Prima juga sudah mula membuat pelaburan dan mengambil bahagian dalam ekosistem eSports Malaysia. Adakah industri ini akan bertahan lama atau adakah ianya sekadar trend?

 

eSports bukan sahaja semakin popular di Malaysia malah di seluruh dunia. Sejak inisiatif daripada Kementerian Belia dan Sukan, lebih banyak perhatian diberi terhadap sukan digital. Walaupun pada awalnya agak suam-suam kuku, eSports mempunyai potensi pasaran antarabangsa dan pertumbuhan yang tinggi.

Pasaran eSports antarabangsa dijangka akan mencecah RM6.4 billion pada tahun 2024. Pertumbuhan lebih 60% daripada jumlah tahun 2020.

Malaysia Mula Serius Dengan eSports

Malaysia masih lagi baharu dalam industri ini dan baru menerima inisiatif daripada kerajaan pada tahun 2017. Walaupun agak muda, Malaysia telah berjaya menjadi antara salah satu destinasi eSports terbesar di Asia.

Pertandingan “Kuala Lumpur Major at Axiata Arena” adalah pertandingan eSports ketujuh paling popular di dunia. Ini merupakan pemangkin utama terhadap penglibatan kerajaan dalam mempromosikan eSports di Malaysia dengan bajet sebanyak RM20 juta untuk tahun 2020 dan RM10 juta untuk tahun 2021.

Kemudian, syarikat korporat pula mula mengambil bahagian dengan menyediakan kemudahan kepada peserta dan peminat eSports.

Pertandingan Dota 2 Kuala Lumpur Major di Axiata Arena pada tahun 2018.

Instrumen Pelaburan eSports

Malaysia tidak mempunyai pelaburan yang disenaraikan di Bursa Malaysia untuk syarikat atau indeks yang hanya fokus terhadap eSports. Namun, dengan peningkatan populariti eSports dan bantuan organisasi, mungkin kita akan melihat situasi yang berbeza di masa akan datang sama seperti Amerika Syarikat.

Amerika Syarikat merupakan negara yang mempunyai peserta eSports aktif tertinggi di dunia seramai 4,344 orang berbanding dengan tangga kedua – Germany seramai 937 orang. Ternyata eSports amat popular di Amerika Syarikat. Syarikat terbesar di dunia, Amazon Inc, malah memiliki subsidiari, Twitch –  platform yang popular di kalangan gamer. 

Jadi, instrumen pelaburan yang ditawarkan di Amerika Syarikat selari dengan populariti eSports di sana.

Indeks NERD ($NERD) adalah indeks pelaburan pertama yang fokus terhadap eSports dan disenaraikan di pasaran New York Stock Exchange (NYSE).

Terdapat empat jenis syarikat di bawah indeks NERD iaitu:

  • Pemaju permainan video. Contoh: Activision, Blizzard
  • Media. Contoh: Douyou, Huya, AfreecaTV
  • Perkakasan fizikal (hardware). Contoh: Razer, Turtle Beach
  • Organisasi terlibat dalam eSports. Contoh: Tencent, SEA Limited
Indeks NERD yang mula disenaraikan pada pertengahan tahun 2019. Kredit: TradingView

Pendapatan Daripada eSports?

Menurut statistik untuk tahun 2017, segmen pendapatan paling tinggi untuk syarikat eSports adalah penajaan iaitu sebanyak 38% daripada jumlah keseluruhan. 22% daripada pengiklanan, 17% daripada caj pemasaran permainan, 14% daripada hak media dan 9% pula daripada barangan dan tiket.

Laporan daripada Statista menunjukkan bahawa pada 2023, pendapatan daripada eSports akan mula berkembang ke arah hak penyiaran media. Ini bermaksud syarikat media akan menganjur pertandingan mereka sendiri dan menawarkan hak penyiaran kepada syarikat media lain.

Antara syarikat di Malaysia yang mula mengambil bahagian dalam pertandingan eSports adalah Media Prima di mana mereka menyiarkan pertandingan popular seperti Dota 2 dan FIFA. Mereka menganjurkan pertandingan setempat seperti eSports di kampus universiti dan perlawanan kecil-kecilan.

Astro juga mempunyai rancangan eSports khas iaitu eGG Network (Every Good Game) yang menyiarkan konten eSports.

Pecahan jangkaan segmen pendapatan eSports pada tahun 2023. Kredit: Statista

Contoh Infrastruktur eSports Di Malaysia

Yoodoo, syarikat telekomunikasi di bawah kendalian Celcom Axiata Berhad, telah mengumumkan bahawa mereka akan melancarkan beberapa pertandingan eSports.

Yoodoo adalah pelopor terhadap pelaburan eSports dan telah bekerjasama dengan beberapa nama besar eSports Asia Tenggara seperti Moonton, pembina permainan video Mobile Legends: Bang Bang dan RSG MY, organisasi eSports premier di Asia.

Yoodoo juga mempunyai pasukan eSports mereka sendiri – Yoodoo Gank. Permainan utama pasukan ini adalah Player Unknown Battle Ground (PUBG) di mana mereka telah bertanding di peringkat antarabangsa dan merupakan juara Asia Tenggara 2020.

Pasukan Yoodoo Gank yang ditaja oleh syarikat telekomunikasi, Yoodoo Sdn Bhd.

Selain pelaburan daripada syarikat telekomunikasi ini, terdapat juga permintaan daripada peminat untuk mengambil bahagian dalam eSports. Pelaburan sebanyak RM4 juta telah dibuat untuk memajukan kawasan untuk peminat eSports di tingkat atas Quill City Mall.

Fasiliti ini adalah yang terbesar untuk eSports di Asia Tenggara seluas 10,650 kaki persegi untuk tujuan penyiaran dan produksi. Kawasan ini juga boleh memuatkan sebanyak 1,000 penonton.

ESports Business Network (EBN) adalah syarikat pemasaran eSports yang terbesar di Asia Tenggara dan mempunyai subsidiari dalam pencarian bakat, pemasaran dan pengurusan.

Kesimpulan

eSports mengalami masalah pembekalan infrastruktur walaupun permintaan terhadap konten media ini agak tinggi. Ini disebabkan oleh lambakan pertandingan dan organisasi tidak berpusat. Sebagai contoh, jika dibandingkan dengan bola sepak, eSports tidak mempunyai penganjur berpusat seperti FIFA, UEFA atau FA.

Jadi, pecahan ini menyebabkan kebanyakan syarikat media bersaing untuk penonton. Selain itu, perubahan jenis permainan setiap tahun juga memerlukan reaksi yang cepat daripada syarikat media ini untuk kekal relevan. Sebagai contoh, Starcraft yang popular 10 tahun dahulu sudah digantikan dengan permainan jenis Battle Royale seperti Fortnite dan PUBG kini.

Di sebalik cabaran ini, industri eSports mempunyai masa depan yang cerah dan menurut Rafiq Razali, CEO Media Prima berkata , “Jika ada penonton, maka pelaburan dan pendapatan iklan akan datang”. Dari segi pengurusan pula, eSports masih lagi perlu penambahbaikan untuk setaraf dengan pengurusan sukan konvensional seperti bola sepak, bola keranjang dan lain-lain.

Apakah pendapat anda tentang masa depan eSports? Adakah pelaburan akan datang selari dengan permintaan?

 

Untuk mula dengan pelaburan matawang kripto, klik di sini untuk dapatkan Bitcoin percuma bernilai RM25.

Untuk mula dengan pelaburan pasaran domestik dan USA di Wahed Invest, klik di sini untuk dapatkan USD2.5 percuma.

LaburWatch merupakan media kripto khas yang dibina untuk anda. Bantu kami sediakan lebih banyak konten untuk anda dengan derma ke alamat yang tertera di bawah.

Ethereum/BSC/Polygon Network:
0xfFe09B19cF2AeB10d3975570d21b5A86e6e0a1e3

LaburWatch exists with the community and for the community. Help us reach out to more audiences and produce more content by donating to our crypto address below.

Ethereum/BSC/Polygon Network:
0xfFe09B19cF2AeB10d3975570d21b5A86e6e0a1e3

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram

Bacaan Seterusnya