Industri Angkasa Lepas: Sains Fiksyen atau Realiti?

SpaceX sudah pun mempunyai lebih 1,300 satelit orbit rendah bumi (low earth orbit) untuk projek Internet mereka, Starlink.

Selain satelit, apakah lagi sebab untuk syarikat persendirian keluar meneroka? Adakah penerokaan angkasa lepas sebuah realiti atau ianya sekadar sains fiksyen?

Semua orang sudah tentu tahu akan misi Apollo 11 di mana Neil Armstrong pertama kali menjejakkan kaki di bulan pada 20 Julai 1969. Buku, filem dan dokumentari sering mengingatkan kita akan detik bersejarah ini di mana Amerika Syarikat berjaya menghantar manusia ke bulan.

Lima lagi program Apollo selepas Neil Armstrong dan Buzz Aldrin berjaya menghantar lebih ramai manusia ke bulan kecuali Apollo 13 di mana Apollo 13 terpaksa berpatah balik disebabkan masalah teknikal. Jika anda berminat, anda boleh tonton filem Apollo 13 yang menggambarkan masalah yang dihadapi angkasawan dalam misi ke bulan.

50 tahun dahulu, teknologi angkasa lepas ini hanya dimiliki oleh dua kuasa besar dunia; Amerika Syarikat dan Soviet Union (kini Russia). Kini, bukan Russia dan Amerika Syarikat sahaja  yang memiliki program angkasa lepas malah China, gagasan negara Eropah, India, Jepun malah Emiriah Arab Bersatu serta Malaysia.

Apakah Masa Depan Industri Angkasa Lepas?

National Space Agency (NASA) masih berbelanja besar walaupun selepas program Apollo tamat dan telah berbuat demikian jauh sebelum SpaceX mendapat populariti dalam media. Terdapat syarikat penting yang telah lama menapak dalam industri ini. Seperti semua perniagaan, syarikat perlu membuat keuntungan dan untuk majoriti syarikat dalam industri ini, sumber pendapatan mereka adalah kerajaan. Penggunaan teknologi angkasa lepas semakin berkembang untuk pelanggan komersial selain kerajaan. Dengan kos yang semakin rendah, makin ramai pesaing akan tiba dan akan membuatkan industri ini semakin kompetitif.

Data, Pemetaan dan Satelit Pengimejan: DigitalGlobe milik Maxar Technologies

Antara gergasi industri angkasa lepas yang kurang dikenali adalah Maxar Technologies ($MAXR). Maxar adalah syarikat induk untuk DigitalGlobe (syarikat pengimejan satelit), MDA (syarikat data geografi), United Launch Alliance (syarikat pelancaran roket) bersama beberapa lagi subsidiari angkasa lepas lain. DigitalGlobe, subsidiari Maxar Technologies adalah syarikat terbesar di dunia dalam teknologi pengimejan satelit dan mereka sudahpun beroperasi sejak 1960an.

Maxar Technologies melaporkan dalam laporan kewangan tahun 2019 bahawa mereka mencatatkan perolehan sebanyak USD1.6 billion di mana 65% daripadanya datang daripada subsidiari DigitalGlobe melalui penawaran servis pengimejan dan analisa data. Servis ini dikategorikan sebagai Earth Intelligence.

Ternyata daripada model bisnes Maxat Technologies, penggunaan satelit untuk tujuan pengimejan adalah punca pendapatan utama dalam industri angkasa lepas. Imej yang dikumpul melalui satelit ini digunakan untuk servis seperti Google Maps, Apple Maps, industri perlombongan, perhutanan dan yang paling baru, merangka konsep autonomous vehicle. 

Sebagai contoh, Worldview-3, antara aset satelit Maxar Technologies, mampu:

  • mengumpul data sebanyak 7 terabyte setiap hari
  • menangkap gambar resolusi tinggi untuk kawasan seluas 680,000 kilometer persegi bersamaan dengan dua kali ganda Malaysia setiap hari
  • beroperasi 24 jam sehari kerana ia mengorbit bumi secara menegak. Ini bermakna ia akan sentiasa mengorbit kawasan bumi yang mempunyai cahaya matahari. Pengorbitan ini dikenali sebagai “Sun-Synchronous Orbit.
Senarai satelit yang dimiliki oleh Maxar Technologies yang tidak termasuk WorldView-4. Kredit: DigitalGlobe.com

Nota: Satelit terbaru, WorldView-4 telah dilancarkan pada tahun 2016 dan mengalami kerosakan teknikal 3 tahun kemudian. Satelit ini tidak dapat lagi digunakan dan dicatatkan sebagai kerugian.

Pelancongan Angkasa Lepas: Virgin Galactic

Virgin Galactic ($SPCE), milik jutawan United Kingdom, Richard Branson, telah menetapkan sasaran untuk membawa pelancong komersial melalui pengalaman perjalanan suborbit iaitu 100km dari paras laut. Altitud setinggi ini akan mempunyai keadaan graviti sifar dan pelanggan dapat menikmati pemandangan lekuk bumi.

Senarai pelanggan selebriti yang sudah membuat tempahan termasuk Angelina Jolie, Brad Pitt, Tom Hanks, Stephen Hawking dan Paris Hilton. Senarai penuh pelanggan di sini.

Walaupun dengan suntikan modal yang besar, mereka masih tidak mampu menghantar sesiapa ke suborbit lagi buat masa sekarang. Ujian penerbangan dijangka akan ditunda kepada bulan Mei tahun ini berbanding Februari seperti yang dijanjikan. Mereka juga akan melancarkan sebuah pesawat baru iaitu SpaceShipThree pada bulan April jadi buat masa sekarang kita masih perlu menunggu perkembangan daripada syarikat ini. Pada tahun 2020 sahaja, mereka mencatatkan kerugian sebanyak USD243 juta. Tidak lupa juga kemalangan dalam ujian pesawat SpaceShipTwo yang mengorbankan  seorang juruterbang pada tahun 2014.

Mereka masih mempunyai simpanan tunai sebanyak USD490 juta dan jika semua berjalan seperti yang dirancang, Virgin Galactic mampu menjadi syarikat pertama yang membawa pelancong komersial ke angkasa lepas. Harga tempahan adalah USD250,000 dan boleh dibuat di laman web rasmi Virgin Galactic.

Pesawat Virgin Galactic, SpaceShipTwo. Kredit: virgingalactic.com

Teknologi Roket: SpaceX, Blue Origin dan United Launch Alliance

Antara kos utama dan paling tinggi dalam industri ini adalah roket. Sebelum ini, roket hanya boleh digunakan sekali dan dibuang atau hancur begitu sahaja. Jadi, sebagai langkah mengurangkan kos, syarikat seperti SpaceX dan Blue Origin fokus akan konsep Vertical Landing, Vertical Takeoff (VTVL) di mana rocket propeller yang mengandungi bahan bakar akan digunakan semula. Untuk roket Falcon 9 milik SpaceX, ia dapat mengurangkan 30% daripada jumlah keseluruhan kos dan membolehkan ia bersaing dengan syarikat atau badan kerajaan lain untuk servis mereka.

Nota: Pelanggan pertama SpaceX adalah kerajaan Malaysia untuk projek menghantar RazakSAT bagi tujuan komunikasi.

Lihat di bawah bagaimana roket SpaceX dan Blue Origin berjaya mendarat secara menegak. Sebagai perspektif, bayangkan anda hendak mendaratkan bangunan 15 tingkat daripada udara dengan menegak.

Berat muatan juga adalah satu isu untuk roket. Roket yang berat perlukan lebih bahan bakar. Lebih bahan bakar bermakna roket akan lebih berat. Masalah ini berterusan hinggalah rekaan roket itu sendiri diubah.

SpaceX mempunyai nisbah muatan kepada kos yang paling murah dalam industri roket sekarang. Falcon 9 FT boleh membawa muatan seberat 15 tan (jika digunakan semula) dan 22.8 tan (jika tidak digunakan semula). Nisbah harga kepada kos untuk Falcon 9 FT adalah USD4,000 setiap kilogram. Jauh lebih murah daripada pilihan utama kerajaan Amerika Syarikat sekarang iaitu Delta IV Heavy daripada United Launch Alliance.

Namun, harga kos tersembunyi juga perlu diambil kira di mana rekod pelancaran United Launch Alliance lebih baik berbanding syarikat lain. Jadi, harga insurans untuk pelancaran lebih murah berbanding syarikat baru seperti SpaceX dan Blue Origin.

United Launch Alliance adalah syarikat yang sudah lama bertapak dalam industri angkasa lepas dan dimiliki oleh Maxar Technologies, gergasi industri, jika hendak dibandingkan dengan SpaceX dan Blue Origin. Masa depan rekaan dan pelancaran roket semestinya akan lebih menarik dengan persaingan sengit antara syarikat-syarikat ini. Dengan persaingan kos, angkasa lepas akan lebih terbuka untuk pelanggan komersial.

Nisbah harga per kilogram untuk penghantaran ke low-earth orbit (LEO) dan geostationary orbit (GEO). Kredit: Reddit.com

Pelaburan Exchange Traded Fund (ETF) Angkasa Lepas Terbaru Daripada Ark Investment

Baru-baru ini, Cathie Wood, CEO Ark Investment, telah melancarkan ETF, sejenis instrumen pengumpulan saham, melalui ARK Space Exploration and Innovation ETF ($ARKX). Dengan instrumen kewangan baru ini, pelabur dapat memiliki pendedahan dalam syarikat yang mempunyai pendedahan dalam industri angkasa lepas melalui pegangan dalam saham seperti Garmin (pengimejan bumi), Netflix (internet) dan ETF pencetakan 3D.

Nama-nama lain yang lebih jelas dalam industri termasuk Virgin Galactic (pelancongan), Lockheed Martin (pembuatan senjata), Boeing (pembuatan pesawat) dan Iridium (komunikasi satelit dan data). Namun, Maxar Technologies tidak termasuk dalam senarai ARKX.

Senarai penuh pegangan saham untuk ARKX di sini.

Rumusan

Sejak Neil Armstrong pertama kali menjejakkan kaki di bulan, orang awam mampu bermimpi untuk melihat era penerokaan baru direalisasikan oleh generasi akan datang. Jika anda pernah melihat filem-filem seperti Star Wars, 2001 Space Odyssey atau Interstellar, sudah tentu anda akan faham kenapa manusia ingin meneroka jauh ke angkasa lepas. Dahulunya dipacu oleh badan kerajaan seperti NASA dan negara maju lain, kini ia terbuka untuk syarikat persendirian pula. Kebanyakan pendapatan syarikat ini masih lagi datang daripada kerajaan. Tetapi lambat laun industri angkasa lepas akan berkembang lebih jauh daripada sangkaan kita.

Mungkin suatu hari nanti generasi akan datang dapat menikmati pemandangan dari luar tingkap melihat pemandangan biru jauh terbentang sambil mengelilingi orbit bumi. Optimistik tetapi tidak mustahil.

Apa pendapat anda tentang masa depan industri angkasa lepas?

Letakkan pasaran saham USA dalam portfolio pelaburan anda bersama Wahed Invest. Isi kod REZBIN1 dan dapatkan RM 10 percuma.

LaburWatch merupakan media kripto khas yang dibina untuk anda. Bantu kami sediakan lebih banyak konten untuk anda dengan derma ke alamat yang tertera di bawah.

Ethereum/BSC/Polygon Network:
0xfFe09B19cF2AeB10d3975570d21b5A86e6e0a1e3

LaburWatch exists with the community and for the community. Help us reach out to more audiences and produce more content by donating to our crypto address below.

Ethereum/BSC/Polygon Network:
0xfFe09B19cF2AeB10d3975570d21b5A86e6e0a1e3

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram

Bacaan Seterusnya