Masa Depan SEA Limited Terletak Pada Shopee dan eSport

SEA Limited adalah syarikat teknologi yang berpengaruh di rantau Asia Tenggara. Tahukah anda bahawa Shopee masih mencatatkan kerugian besar dan dibantu oleh anak syarikat SEA Limited yang lebih menguntungkan di bahagian permainan video, Garena?

Kredit: TradingView

Sea Limited ($SE) adalah syarikat induk Shopee dan mereka memiliki dua perniagaan lain selain Shopee iaitu Garena dan Sea Financial.

Tentu anda pernah guna Shopee untuk beli barang secara online. Tetapi tahukah anda bahawa Shopee masih mencatatkan kerugian dan ditanggung oleh untung syarikat Sea Limited yang fokus terhadap industri permainan video.

Garena Adalah Punca Untung Besar Untuk SEA Limited

SEA Limited secara menyeluruh merekodkan kenaikan pendapatan sebanyak 102% untuk suku keempat tahun 2020. Anak syarikat yang menyumbang paling banyak untuk pertumbuhan ini  adalah daripada pemilikan game mereka.

Sebagai contoh, permainan baru mereka iaitu Garena Free Fire telah menarik sebanyak 80 juta pengguna harian di 130 negara.

Dalam laporan kewangan tahun 2020, SEA Limited melaporkan bahawa Garena Free Fire adalah game yang mencatatkan muat turun tertinggi dalam kategorinya di rantau Latin Amerika dan Asia Tenggara. Menurut mereka juga, Garena Free Fire adalah game yang paling banyak dimuat turun untuk dua tahun berturut-turut; 2019 dan 2020.

Karakter Cristiano Ronaldo di dalam Garena Free Fire sebagai strategi pemasaran. Kredit: Garena Free Fire

Selain Garena Free Fire, mereka juga memiliki hak edaran game popular seperti League of LegendsFIFA Online 4Call of Duty Mobile dan juga banyak menganjurkan acara eSports di rantau Asia Pasifik.

Perolehan kasar daripada platform hiburan digital ini meningkat sebanyak 78% berbanding tahun 2019 dan mencatatkan perolehan kasar sebanyak USD1.31 billion. Segmen permainan video ini dijangka meningkat sebanyak 38% lagi untuk tahun 2021 dengan pembangunan game baru melalui Garena.

Shopee: Subsidiari SEA Limited Yang Semakin Berkembang

Namun, walaupun masih mengalami kerugian, subsidiari yang semakin popular adalah Shopee di mana SEA Limited telah berjaya memintas Lazada sebagai platform beli-belah paling popular di Malaysia dan negara Asia Tenggara yang lain.

Walaupun lambat tiba di pasaran, mereka berjaya menjadi platform kegunaan ramai setelah mengambil inspirasi daripada plaform eCommerce lain dan menggabungkan aspek penting daripada Alibaba, Lazada, Amazon dan Mudah.my.

Untuk tahun 2020, Shopee mencatatkan kenaikan dari segi perolehan sebanyak 100% namun masih mengalami kerugian disebabkan oleh kempen pemasaran mereka yang agresif. Mereka fokus terhadap penerokaan pasaran baru dalam jangka masa panjang dan mengukuhkan nama Shopee kepada satu nama yang sinonim dalam beli-belah secara online.

Iklan sale 9.9 Shopee yang menggunakan Cristiano Ronaldo sebagai duta. Kredit: shopee.com

Strategi Pemasaran Berbentuk Setempat

Berbeza dengan platform beli-belah lain yang fokus terhadap barangan yang ditawarkan, Shopee lebih fokus terhadap pemasaran yang mengutamakan budaya setempat.

Dengan strategi ini, mereka dapat menarik lebih ramai pengguna yang secara langsung menarik lebih ramai penjual. Masalah “chicken-or-egg” ini diselesaikan melalui strategi pemasaran yang sensitif terhadap lokaliti pasaran.

Sebagai contoh, untuk pasaran Filipina, mereka mendapatkan khidmat peninju terkenal, Manny Pacquaio sebagai duta pemasaran mereka. Iklan ini tidak dipampang dalam iklan Shopee di pasaran negara lain namun ianya relevan untuk pasaran Filipina.

Manny Pacquaio, duta pemasaran Shopee di Filipina. Kredit: Shopee.com

Untuk pasaran Asia Tenggara dan Taiwan pula, mereka menggunakan khidmat ikon K-pop popular, Blackpink kerana genre muzik itu lebih popular di rantau ini.

Shopee telah menjadikan kumpulan pop Korea, Blackpink, sebagai duta rasmi mereka di rantau Asia Tenggara dan Taiwan. Kredit: shopee.com

Fokus Kepada Pengguna Telefon Bimbit

Mereka mengetengahkan app telefon bimbit mereka sebagai media penjualan utama berbanding laman web yang boleh dilayari melalui komputer.

Mereka melancarkan Shopee melalui app terlebih dahulu sebelum melancarkan laman web yang boleh diakses melalui komputer.

Asia Tenggara adalah antara rantau yang mempunyai kadar penggunaan media sosial tertinggi di dunia. Dengan mengadaptasikan platform yang menyerupai media sosial dan fokus terhadap telefon bimbit, Shopee dapat memastikan kesetiaan pelanggan dan pembelian lebih mudah dilakukan di mana-mana sahaja.

Kredit: Bigstock

Potensi Masa Depan

Pembangunan Game Baru

Pada awal tahun 2020, SEA Limited telah membeli syarikat Phoenix Labs dalam rangka pembangunan permainan video baru. Mereka telah berkembang kepada empat studio baharu yang merangkumi bandar Vancouver, Montreal, Los Angeles dan Seattle.

Untuk tahun 2021, SEA Limited menjangka kenaikan sebanyak 38% dalam sektor hiburan digital kepada USD4.5 billion.

Perkembangan eCommerce Ke Pasaran Baru

Dengan kehadiran pandemik COVID-19, trend pembeli telah berubah ke arah digital dan sejak Mac 2020, Shopee telahpun meletakkan pilihan untuk membeli barang keperluan harian dalam platform mereka.

Mereka merancang untuk mengembangkan pasaran kepada rantau Latin Amerika melalui pelancaran Shopee di Brazil terlebih dahulu. Di rantau tersebut, MercadoLibre merupakan platform eCommerce terbesar. Jadi, Shopee dijangka akan memberi saingan yang sengit melalui strategi pemasaran setempat mereka.

SEA Limited juga menjangka kadar kenaikan perolehan kasar pada tahun 2021 sebanyak 112% kepada USD4.7 billion dalam sektor eCommerce yang bermaksud mereka akan lebih agresif dalam meneroka pasaran baru untuk mengulangi prestasi tahun 2020.

Platform Pembayaran Digital

Industri pembayaran digital adalah antara sektor yang mencatatkan pertumbuhan positif melalui SeaMoney; yang memiliki ShopeePay dan AirPay. Dengan perkembangan eCommerce mereka, penggunaan platform pembayaran digital ini juga dijangka akan berkembang di masa akan datang. Pada tahun 2020 sahaja, jumlah transaksi melalui pembayaran digital mereka adalah USD7.8 billion.

Kredit: SeaMoney.com

Rumusan

Disebabkan oleh pandemik, pembeli terpaksa mengadaptasi kepada cara pembelian barangan melalui Shopee dan industri permainan video juga meningkat dengan cepat disebabkan oleh kawalan pergerakan. Kedua-dua faktor ini memberi peluang kepada SEA Limited untuk menggunakan keadaan ini sebagai kelebihan.

Kos pemasaran dan operasi dikembangkan untuk perkembangan platform Shopee supaya mereka dapat “menangkap” pasaran dengan lebih cepat. Strategi yang agak berisiko namun kerap digunakan oleh syarikat teknologi sama ada Grab, Uber atau Airbnb.

Perbezaan dalam SEA Limited adalah mereka dapat menggunakan tunai daripada untung bersih platform hiburan digital mereka iaitu Garena untuk kos-kos ini. Walaupun eCommerce masih mencatatkan kerugian, SEA Limited positif dalam perjalanan mereka untuk jangka masa panjang.

Apakah pendapat anda tentang Shopee dan Garena? Adakah ia berpotensi untuk menjadi gergasi dalam industri masing-masing?

LaburWatch merupakan media kripto khas yang dibina untuk anda. Bantu kami sediakan lebih banyak konten untuk anda dengan derma ke alamat yang tertera di bawah.

Ethereum/BSC/Polygon Network:
0xfFe09B19cF2AeB10d3975570d21b5A86e6e0a1e3

LaburWatch exists with the community and for the community. Help us reach out to more audiences and produce more content by donating to our crypto address below.

Ethereum/BSC/Polygon Network:
0xfFe09B19cF2AeB10d3975570d21b5A86e6e0a1e3

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram

Bacaan Seterusnya