Mengapakah Ethereum Mengenakan “Gas Fee”?

Penggunaan rangkaian Ethereum mempunyai kos tersendiri iaitu “gas fees” berbanding Bitcoin. Contoh matawang kripto yang menggunakan rangkaian Ethereum atau ERC-20 ini adalah Uniswap, Aave dan DAI.

Mengapakah setiap transaksi menggunakan token ini akan dikenakan “gas fees“?

Bitcoin boleh diibaratkan sebagai sel mudah. Ethereum pula boleh disifatkan sebagai tisu atau organ.

Ethereum menerapkan lebih banyak fungsi seperti kontrak pintar tetapi masih berdasarkan konsep blockchain yang dipelopori Bitcoin. Kontrak pintar ini boleh digunakan oleh artis untuk memindahkan “hak” pemilikan kepada pembeli melalui NFT, atau mewujudkan suatu organisasi yang tidak berpusat seperti decentralised asset organisation (DAO).

Antara ciri Ethereum adalah “gas fees“. Apa itu gas?

Gas Adalah Nadi Rangkaian Ethereum

Gas merupakan unit ukuran berapa kuasa komputer yang diperlukan untuk melengkapkan suatu aktiviti di rangkaian Ethereum.

Nama “gas” itu sendiri merujuk kepada minyak atau gasoline yang memberi kuasa kepada kereta untuk bergerak. “Gas” dalam rangkaian Ethereum pula membolehkan transaksi atau aktiviti lain menggunakan rangkaian Ethereum dibuat.

Semua aktiviti menggunakan rangkaian Ethereum akan melalui Ethereum Virtual Machine (EVM) dan disahkan oleh pelombong (yang juga dipanggil node). Setiap aktiviti dalam EVM mempunyai kos gas yang berbeza. Sebagai contoh;

  • Tambah dua nombor: 3 gas
  • Melihat baki sesuatu akaun: 400 gas
  • Memindahkan token: 21,000 gas

Tetapi, dengan unit gas sahaja, kita masih tidak dapat tahu berapa kos yang akan dikenakan. Jadi, bagaimana?

Harga Gas

Harga gas diukur dalam Gwei. Apa itu Gwei?

Gwei adalah unit kecil Ether. Sama seperti sen untuk Ringgit.

Satu gwei bersamaan dengan 0.000000001 Ether (9 titik perpuluhan dengan 8 kosong)

Harga gas bergantung kepada jenis aktiviti yang hendak dilakukan. Jika anda hendak membuat penghantaran yang lebih pantas, anda perlu membayar lebih banyak gas.

Sebagai contoh, satu transaksi mudah memerlukan 21,000 gas dan jika sebanyak 25 gwei akan dikenakan untuk setiap transaksi, maka kosnya adalah:

21,000 x 25 gwei = 525,000 gwei

Maka, kos transaksi dalam Ethereum adalah:

525,000 gwei x 0.000000001 = 0.000525 Ethereum

Jika satu Ethereum berharga RM8,000, kos transaksi dalam Ringgit pula adalah:

0.000525 x RM8,000 = RM4.2

Mengikut pengiraan di atas, untuk setiap penghantaran, anda akan dikenakan “gas fees” sebanyak RM4.2.

Harga gwei untuk setiap jenis transaksi berubah-ubah. Untuk penghantaran yang lebih pantas, anda akan dikenakan caj lebih tinggi. Sama juga jika anda hendak melakukan aktiviti yang lebih kompleks dalam rangakaian Ethereum seperti mencetak NFT. Kadar gas dan gwei akan lebih tinggi.

Harga gas mengikut jenis transaksi (pantas, sederhana, rendah). Kredit: etherscan.com

Konsep ini membuatkan gas sebagai unit yang abstrak. Ianya tidak disandarkan kepada harga Ethereum. Gas hanya wujud dalam Ethereum Virtual Machine (EVM) dan tidak boleh dijual beli. Kadar gas hanya bertukar mengikut kadar kuasa komputer yang diperlukan untuk melakukan sesuatu aktiviti.

Tetapi, Mengapakah “Gas Fees” Meningkat Apabila Harga Ethereum Meningkat?

Mempool

Setiap pengesahan aktiviti dalam rangkaian Ethereum akan dimasukkan dalam Mempool.

Mempool adalah tempat di mana transaksi akan menunggu pengesahan daripada pelombong dan dimasukkan dalam blok.

Konsep asas blockchain. Dalam Ethereum, mining node adalah pelombong dan mereka akan mengesahkan aktiviti dalam Mempool untuk diletakkan ke dalam blok. Sebagai ganjaran, mereka memperoleh gwei.

Setiap blok mempunyai jumlah transaksi yang terhad. Setiap blok mempunyai had gas. Buat masa sekarang, setiap blok Ethereum mempunyai had 12.5 juta gas. Sebagai contoh, pemindahan Ethereum daripada satu akaun ke akaun memerlukan 21,000 gas.

Jadi, para pelombong ini memiliki insentif untuk memasukkan transaksi dengan kadar gwei paling tinggi.

Sebagai contoh, katakanlah satu blok hanya boleh mengandungi 10 transaksi. Terdapat 20 transaksi yang sedang menunggu pengesahan dalam Mempool.

Pelombong akan memilih transaksi dengan nilai gwei paling tinggi dan orang lain yang inginkan pengesahan perlu meletakkan nilai gwei yang lebih tinggi.

Secara langsung, kos untuk memindahkan atau melakukan aktiviti dalam rangkaian akan menjadi lebih mahal apabila lebih ramai orang yang ingin masuk ke dalam Mempool.

Perkara ini selalu terjadi apabila harga Ethereum meningkat yang membawa lebih banyak jumlah transaksi dan aktviti dalam rangkaian Ethereum.

Rumusan

Walaupun “gas fees” mahal, ianya perlu dalam memastikan rangkaian Ethereum selamat dengan memberi insentif kepada pelombong. Pembangunan dalam infrastruktur ditambah baik setiap hari dengan pengenalan token rangkaian Ethereum yang lebih efisien seperti Matic, Cardano dan Aave.

Selain itu, peningkatan “gas fees” juga melambangkan bahawa rangkaian Ethereum semakin diguna pakai oleh orang ramai.

 

Apakah pendapat anda tentang infrastruktur Ethereum? Adakah masa depan token ini cerah?

Klik di sini untuk mula dengan pelaburan matawang kripto di Luno dan dapatkan Bitcoin percuma bernilai RM25.

LaburWatch merupakan media kripto khas yang dibina untuk anda. Bantu kami sediakan lebih banyak konten untuk anda dengan derma ke alamat yang tertera di bawah.

Ethereum/BSC/Polygon Network:
0xfFe09B19cF2AeB10d3975570d21b5A86e6e0a1e3

LaburWatch exists with the community and for the community. Help us reach out to more audiences and produce more content by donating to our crypto address below.

Ethereum/BSC/Polygon Network:
0xfFe09B19cF2AeB10d3975570d21b5A86e6e0a1e3

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram

Bacaan Seterusnya