NFT Mania: “Bubble” atau Teknologi Baru?

NFT adalah topik paling hangat dalam dunia kripto. Malaysia juga tidak terkecuali dengan hype NFT. Kita mempunyai platform jual beli NFT yang dibangunkan oleh rakyat Malaysia sendiri iaitu Pentas.io.

Tetapi, adakah non-fungible token (NFT) akan bertahan lama dalam dunia kripto atau adakah ianya sekadar hype yang tidak mempunyai ciri praktikal dalam dunia sebenar?

Cryptopunks, Autoglyphs, Bored Ape Yacht Club (BAYC), Pudgy Penguins. Nama-nama ini adalah beberapa contoh NFT yang kini bernilai ratusan ribu malah ada yang terjual dengan harga jutaan Ringgit Malaysia.

Wang yang diletakkan dalam aset digital NFT ini semakin meningkat. Semakin ramai artis, pengumpul dan peminat kripto mula melihat NFT sebagai “lubuk emas” dalam dunia kripto. Adakah trend ini mampu bertahan atau adakah situasi ini sama seperti peristiwa Dot Com Crash dan Tulip Mania?

Untuk ketahui apa itu NFT, klik di sini.

NFT Secara Ringkas

Non-fungible token (NFT) adalah cara untuk melambangkan pemilikan dalam dunia digital. Sebagai contoh, sekeping gambar dalam format jpeg di komputer anda boleh dicetak (copy and paste) sebanyak mana sekalipun dan boleh dihantar kepada sesiapa sahaja.

Jadi, apa akan berlaku jika terdapatnya teknologi yang boleh membuktikan pemilikan untuk gambar jpeg tersebut. Dalam blockchain, setiap aset atau pemilikan dapat dibuktikan melalui kontrak pintar dan bukti inilah yang dipanggil NFT.

Setiap format digital boleh dilambangkan dalam bentuk NFT – nama domain, gambar, video, rekabentuk 3D, muzik dan lain-lain.

Standard NFT pula berbeza mengikut rangkaian. Sebagai contoh, format ERC-721 dan ERC-1155 digunakan dalam Ethereum yang memberi keunikan dalam blockchain. NFT juga wujud dalam rangkaian lain yang menyokong kontrak pintar seperti Binance Smart Chain, Polygon, Solana dan lain-lain.

Contoh Projek NFT Yang Popular

CryptoPunks

Perbincangan mengenai NFT tidak akan sah tanpa menyentuh tentang CryptoPunks atau dikenali sebagai “punks”. Projek ini merupakan salah satu NFT terawal dalam dunia kripto.

CryptoPunks dilancarkan pada bulan Jun 2017 oleh Larvalabs di mana keunikan projek NFT ini adalah melalui ciri “punks” itu sendiri seperti topi, cermin mata, gaya rambut. Setiap “punks” dijana melalui algoritma dan bersaiz 24×24.

Pada bulan Mei 2021, 9 “punks” telah berjaya dijual di rumah lelongan terkenal, Christie’s, dengan harga USD16.9 juta. Syarikat kewangan Visa juga telah mengumumkan bahawa mereka memiliki CryptoPunk untuk ditambah dalam koleksi aset yang mempunyai nilai sejarah.

Antara pemilik CryptoPunks dari kalangan selebriti termasuk Jay Z, Odell Beckham Jr, Steve Aoki.

Bored Ape Yacht Club (BAYC)

BAYC adalah projek NFT yang lebih fokus terhadap identiti online dan menawarkan keunikan kepada pemiliknya. Trend ini dikenali sebagai PFP Mania atau “Profile Picture Mania” di mana NFT digunakan dalam media sosial bermula dari Twitter hinggalah ke Discord, Telegram malah LinkedIn.

BAYC dilancarkan oleh YugaLabs dan mempunyai 10,000 elemen unik yang akan disertakan dengan gambar monyet. Pada awalnya, BAYC dijual dengan harga 0.08 ETH sahaja tetapi kini bernilai hampir 40 ETH.

Nama Bored Ape Yacht Club melambangkan nilai ekslusif dan memberikan kemudahan kepada pemilik untuk mendapatkan akses awal untuk pelancaran baru seperti barangan atau NFT baru.

Axie Infinity

Antara contoh NFT gaming yang terkenal; Axie Infinity. Permainan video yang menggunakan konsep blockchain dan NFT dalam mekanisme permainan mereka. Setiap pemain perlu mempunyai 3 Axie dahulu dan melalui permainan Axie Infinity, pemain boleh memperoleh Smooth Love Potion (SLP) yang boleh digunakan untuk tujuan pembiakan atau ditukar kepada matawang kripto lain.

Permainan video ini popular di kalangan rakyat negara Filipina untuk menyara kehidupan semasa pandemik. Axie Infinity mula mendapat perhatian ramai sejak pandemik dan telahpun diulas oleh media terkenal seperti Bloomberg, Time dan Business Insider.

Untuk tahu lebih lanjut tentang Axie Infinity, klik di sini.

Mengapakah NFT Dianggap Bernilai?

Kulit siput, batu permata, lukisan, kad ekslusif, baju vintage. Sejak daripada dahulu lagi, sudah menjadi lumrah manusia untuk mengumpul sesuatu yang unik. NFT pula menawarkan konsep keunikan dalam dunia digital melalui blockchain.

Jumlah yang terhad membuatkan NFT dianggap bernilai. Sama seperti lukisan Monalisa yang hanya ada satu sahaja di dunia. Sama seperti lukisan, NFT dinilai berdasarkan artis, nilai sejarah, nilai estetik dan lain-lain lagi.

NFT semakin “bernilai” memandangkan masyarakat kita semakin ke arah digitalisasi dan memerlukan teknologi untuk membawa konsep keunikan ke dalam internet.

Namun, NFT juga mempunyai cabarannya tersendiri.

Masalah Teknologi NFT

#1. Tidak semua NFT disimpan dengan cara yang sama.

Antara ciri NFT paling penting adalah bukti pemilikan. Bukti ini disimpan dalam blockchain yang digunakan sama ada Ethereum, Polygon, Solana atau Binance Smart Chain.

Namun, imej resolusi tinggi, video dan fail digital yang besar tidak boleh disimpan dalam blockchain. Ini bermakna kebanyakan NFT hanya mempunyai link terhadap metadata aset tersebut dan aset tersebut disimpan di luar blockchain.

Seni generatif (melalui algoritma) seperti CryptoPunks pula memiliki kelebihan dengan boleh disimpan dalam blockchain kerana saiz datanya yang kecil.

#2. Hak pemilikan yang tidak konsisten

Hak cipta dan pemilikan merupakan masalah terbesar dalam NFT. Memandangkan sesiapa sahaja boleh mint NFT, ini bermakna sesiapa sahaja boleh menuntut bahawa mereka “memiliki” lukisan, gambar, video yang dijadikan sebagai NFT.

Selain itu, NFT juga tidak memberikan anda hak cipta terhadap sesuatu aset digital. Konsep NFT boleh disamakan dengan bluetick di Twitter di mana Twitter masih memiliki akaun bluetick tersebut. Anda hanya memiliki “bukti” bahawa anda memiliki NFT tersebut.

#3. Infrastruktur jual beli NFT yang berpusat

Terdapat beberapa cara menyimpan data luar dari blockchain. Ada yang menggunakan server centralised dan ada yang meletakkan fail ini dalam IPFS. Platform jual beli NFT yang ada di internet sekarang masih lagi tidak mencecah tahap decentralised.

Jadi, kawalan terhadap konten dan NFT yang dijual bergantung kepada entiti berpusat. Ini bermakna anda boleh dibuang atau dikenakan sekatan jika tidak patuh polisi platform tersebut.

Contoh platform yang ada sekarang adalah Opensea, Nifty Gateway, Rarible dan Pentas (yang dilancarkan di Malaysia).

#4. Pasaran yang tidak cair

Pasaran NFT sama dengan pasaran seni lukis, vintage dan barangan antik di mana tidak terdapat ramai pembeli dalam industri ini. Namun, pembeli yang ada sanggup berbelanja besar untuk memiliki sesebuah aset tertentu.

Jadi, nilai harga sebenar sesuatu aset NFT  tidak dapat dipastikan dengan tepat. Sebagai contoh, jika anda beli sebuah NFT dengan harga RM100 melalui artis tidak dikenali, anda tidak dapat jual sahaja NFT tersebut jika anda kesuntukan wang.

Sama juga dengan NFT yang berharga jutaan ringgit. Tidak ramai pembeli yang ada dalam pasaran dan anda mungkin perlu “pegang” aset tersebut untuk masa yang lama sementara menunggu prospek pembeli.

Terdapat cara untuk memastikan aset NFT kekal cair. Di sinilah di mana konsep fractionalised NFT diperkenalkan. Konsep ini membolehkan pemilik NFT menjual sebahagian daripada NFT yang mereka miliki dan teroka harga sebenar yang sanggup dibayar pasaran.

#5. Gas fees yang mahal

Untuk ketahui mengapa gas fees dikenakan dalam rangkaian blockchain (kecuali Bitcoin), klik di sini.

Gas fees yang mahal dengan mendadak merupakan suatu masalah utama dalam rangkaian Ethereum dan NFT. Kebanyakan strategi pemasaran NFT adalah first-come, first serve. Medel pemasaran sebegini akan menarik penggunaan bot dan membuatkan harga gas fees meningkat dengan mendadak.

Sebagai contoh, apabila NFT Stoner Cat dilancarkan, gas fees naik daripada dua angka hingga 734 gwei. Ini bermakna (bergantung kepada harga Ethereum), anda boleh membayar lebih USD500 untuk gas fees sahaja!

Masalah ini cuba diselesaikan dengan solusi Layer 2 Ethereum yang lebih murah seperti Arbitrum, Avalance, Optimism. Ini bermakna rangkaian lain yang berdasarkan Ethereum perlu digunakan untuk memastikan gas fees masih lagi relevan.

Rumusan

Walaupun ada yang menganggap NFT sebagai bubble, tidak dapat dinafikan bahawa populariti NFT disumbang oleh penerimaan matawang kripto oleh golongan millenial dan gen Z. Keadaan teknologi baru ini boleh disamakan dengan internet di awal tahun 2000an.

Terdapat beberapa perkembangan menarik dalam dunia NFT di mana terdapat DAO yang dibina khas untuk memiliki NFT. Sebagai contoh, PleasrDAO telah membeli NFT gambar Doge juta dan pecahkan kepada token yang akan diberi kepada pemilik token DAO tersebut. Dengan cara ini, NFT yang berharga tinggi masih lagi mampu dimiliki oleh sesiapa sahaja.

Gambar asal ikon meme, “Doge”, yang diambil pada tahun 2013 oleh Atsuko Sato. Gambar ini dijadikan NFT oleh pemilik asal dan dibeli oleh PleasrDAO dengan harga USD4 juta.

Walaupun begitu, anda perlu berhati-hati dan sentiasa buat kajian sendiri dalam dunia kripto. Teknologi NFT walaupun menunjukkan penerimaan yang memberangsangkan, masih bersifat spekulasi dan perlu dilabel sebagai aset yang mempunyai risiko paling tinggi.

 

Apakah pendapat anda tentang NFT? Adakah anda memiliki mana-mana NFT? Kongsi bersama kami di seksyen komen di bawah.

LaburWatch merupakan media kripto khas yang dibina untuk anda. Bantu kami sediakan lebih banyak konten untuk anda dengan derma ke alamat yang tertera di bawah.

Ethereum/BSC/Polygon Network:
0xfFe09B19cF2AeB10d3975570d21b5A86e6e0a1e3

LaburWatch exists with the community and for the community. Help us reach out to more audiences and produce more content by donating to our crypto address below.

Ethereum/BSC/Polygon Network:
0xfFe09B19cF2AeB10d3975570d21b5A86e6e0a1e3

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram

Bacaan Seterusnya