NIO, Pesaing Kereta Elektrik Dari China

Nio Incorporated adalah syarikat kereta elektrik yang dianggap sebagai “Tesla of China” tetapi sejauh manakah syarikat ini mampu bersaing dengan pengeluar kereta elektrik terbesar dunia seperti Tesla, Renault-Nissan dan BYD?

Kredit: TradingView

Pengeluar kereta elektrik dari China, Nio ($NIO), telah mengeluarkan sebanyak 20,060 kereta pada tiga bulan pertama tahun 2021. Angka yang sememangnya mengejutkan bagi syarikat yang tidak mendapat perhatian media sebanyak Tesla. Namun, teknologi kereta elektrik yang dibangunkan lebih berbeza berbanding syarikat lain. NIO telah mengumpul sebanyak USD1.8 billion pada bulan Ogos 2018 melalui penyenaraian saham mereka di New York Stock Exchange (NYSE) yang mengukuhkan lagi tempat mereka dalam industri automotif elektrik dunia. Ketahui rahsia dan potensi Nio dalam pasaran kereta elektrik dunia.

Sejarah NIO

NIO Incorporated ditubuhkan pada tahun 2014 oleh William Li sebagai NextEV, kumpulan lumba kereta elektrik. Mereka awalnya tertumpu kepada pembuatan kereta mewah.

Jenama NIO diperkenalkan pada tahun 2016 bersama dengan kereta pertama mereka. Model pertama, NIO EP9, dilancarkan sebagai kereta elektrik berkuasa tinggi. Kereta ini dibina dengan kerjasama subsidiari kumpulan lumba kereta elektrik mereka di Formula E.

Kereta pertama, NIO EP9. Kredit: Nio.com

NIO dan Tesla

Tesla dan NIO mempunyai sejarah awal yang hampir sama. Kedua-dua syarikat ini menggunakan wang hasil jualan kereta mewah mereka untuk membina infrastruktur dalam pembuatan kereta kegunaan awam. Tesla mempunyai model kereta mewah, Tesla Roadster dan Nio pula mempunyai model EP9.

(Kiri): Model Roadster Tesla. (Kanan): Model EP9 Nio. Kredit: Wikipedia

Walaubagaimanapun, pandangan kedua-dua syarikat ini terhadap masa depan industri automotif elektrik amat berbeza antara satu sama lain.

Tesla menumpu ke arah pembuatan kilang besar mereka yang dikenali sebagai gigafactory. Tesla juga menghasilkan kebanyakan komponen mereka sendiri dan mengawal semua aspek pemasangan.

NIO pula lebih ke arah pembangunan teknologi bateri mereka dan pengurangan kos melalui kerjasama dengan syarikat lain. Pada tahun 2020, mereka telah mengagihkan tugas pemasangan kepada syarikat lain untuk mengurangkan kos.

 

Kredit: Wall Street Journal

Tesla dan NIO memasarkan syarikat mereka sebagai syarikat teknologi berbanding syarikat automotif. Mereka mempelopori teknologi bateri kereta walaupun dengan pendekatan yang berbeza. Eksperimen dan ujian kereta pandu sendiri (“autonomous vehicle“) juga banyak dilakukan oleh kedua-dua syarikat ini.

Kedua-dua syarikat ini juga menawarkan servis dan kualiti kereta yang lebih eksklusif berbanding syarikat lain. Mereka lebih menumpu ke arah golongan kelas pertengahan dan berpendapatan tinggi.

Dengan pertumbuhan pasaran China, lebih ramai rakyat negara itu akan dinaiktaraf kepada golongan berpendapatan tinggi dan ini memberikan peluang kepada NIO dan Tesla untuk menawan pasaran kereta elektrik premium.

NIO telah mengumumkan bahawa jenis kereta sedan, SUV dan van mini akan mula diperkenalkan mulai tahun 2021. Setakat ini, mereka telahpun mempunyai tiga model kereta SUV di pasaran iaitu; EC6, ES6 dan ES8.

Kredit: Nio.com

Potensi Masa Depan

Teknologi Penukaran Bateri Melalui Stesen NioPower

NIO menawarkan servis penukaran bateri di 130 lokasi di seluruh China dan angka ini berkembang setiap hari. Melalui NioPower, stesen penukaran bateri akan menukarkan bateri di dalam kereta Nio dan menggantikan kepada yang baru sebagai alternatif stesen caj.

Dengan servis ini, pengguna NIO dapat “mengisi” kereta dengan lebih cepat dan memastikan kesetiaan pengguna kerana bateri ini standard hanya kepada model kereta NIO.

Mereka juga menawarkan pembelian kereta tanpa bateri dan “battery-as-a-service (BaaS)” di mana pengguna NIO boleh membayar servis bateri secara bulanan atau menggunakan bateri lama untuk kereta baru.

Kos pembelian kereta tanpa bateri menggunakan servis BaaS ini  dapat menjimatkan sebanyak USD10,000 untuk kos pembelian kereta NIO.

Melalui pengalaman pengguna sebenar NIO di bawah, proses penukaran bateri hanya mengambil masa selama 150 saat.

Bantuan kerajaan China

Pada tahun 2019, NIO hampir bankrap disebabkan perbelanjaan yang tinggi dalam pembinaan infrastruktur bateri dan pembuatan.

Laporan kewangan NIO pada tahun tersebut menunjukkan kenaikan jualan kereta sebanyak 51% tetapi kos perbelanjaan masih lagi tinggi. NIO mencatatkan kerugian bersih sebanyak USD1.62 billion pada tahun 2019 sahaja. Dari awal penubuhan, NIO telah mengumpul sebanyak USD6 billion kerugian selama 4 tahun beroperasi.

Kemudian, pada awal tahun 2020, kerajaan China telah mengumumkan bahawa mereka akan melabur sebanyak USD1 billion ke dalam NIO melalui entiti pelaburan milik kerajaan dengan syarat kerajaan akan memiliki 24.1% saham syarikat tersebut.

Kerajaan China juga telah mengumumkan bahawa mereka akan menawarkan subsidi sebanyak USD3500 pemilik kereta elektrik pertukaran bateri dengan jarak penggunaan minimum sebanyak 400 kilometer.

Rumusan

NIO dan Tesla menjual produk mereka dengan harga yang jauh lebih tinggi berbanding pesaing kereta elektrik lain di China seperti BYD, Geely, Xpeng dan JAC. Namun, apa yang ditawarkan adalah servis premium dan jenama syarikat itu sendiri seperti apa yang dapat dilihat dalam industri telefon bimbit untuk jenama Apple.

Dengan konsep penukaran bateri, NIO dapat mengurangkan kos kepada pengguna di samping memastikan kesetiaan pelanggan untuk jenama mereka terjaga.

Namun, apa yang merisaukan adalah penglibatan kerajaan China dalam syarikat ini di mana subsidi dan bantuan infrastruktur secara langsung membantu NIO bertahan dalam industri. Jadi, NIO susah untuk memecahkan pasaran untuk pasaran lain di Eropah dan Amerika Syarikat di mana penjualan kereta elektrik lebih tinggi tanpa bantuan daripada kerajaan setempat.

Konsep penukaran bateri ini juga dilihat sebagai langkah jangka masa pendek sementara menunggu teknologi bateri elektrik akan datang yang membolehkan caj yang lebih pantas. Buat masa sekarang, konsep ini berjaya memikat pengguna kereta elektrik di China dan penjualan kereta NIO dijangka akan terus positif.

Apa pendapat anda tentang masa depan industri kereta elektrik? Adakah NIO akan menempa nama mereka di dalam industri dalam jangka masa panjang?

LaburWatch merupakan media kripto khas yang dibina untuk anda. Bantu kami sediakan lebih banyak konten untuk anda dengan derma ke alamat yang tertera di bawah.

Ethereum/BSC/Polygon Network:
0xfFe09B19cF2AeB10d3975570d21b5A86e6e0a1e3

LaburWatch exists with the community and for the community. Help us reach out to more audiences and produce more content by donating to our crypto address below.

Ethereum/BSC/Polygon Network:
0xfFe09B19cF2AeB10d3975570d21b5A86e6e0a1e3

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram

Bacaan Seterusnya