OneCoin: Skim Penipuan MLM Menggunakan Nama Matawang Kripto

Dinobatkan sebagai scam terbesar dalam sejarah dan memperolehi sebanyak USD4 billion di seluruh dunia. OneCoin dipromosikan sebagai “Bitcoin Killer” dan popular di sekitar tahun 2014 hingga 2019.

Ketahui bagaimana OneCoin menarik lebih 3 juta pelabur dan bagaimana empayar matawang kripto OneCoin jatuh dengan sekelip mata.

Pada bulan November 2019, Konstantin Ignatov, peguam syarikat OneCoin mengaku bersalah atas tuduhan penggubahan wang haram dan penipuan oleh kerajaan Amerika Syarikat. Dia berpotensi untuk dikenakan hukuman penjara selama 50 tahun.

Apa sebenarnya OneCoin dan mengapa ia menerima kecaman dan tindakan undang-undang daripada majoriti negara seluruh dunia?

OneCoin adalah skim Ponzi yang dipromosikan sebagai matawang kripto Dianggarkan sekurang-kurangnya USD4 billion telah diperolehi daripada pelabur serata dunia.

Ceritanya bermula dengan pengasas OneCoin daripada Bulgaria, Dr Ruja Ignatova.

Permulaan Kepada OneCoin dan Dr Ruja Ignatova

Pada tahun 2013, Dr Ruja bekerja sebagai penasihat institusi kewangan antarabangsa di McKinsey, sebuah firma penasihat ternama. Dia juga mempunyai PhD daripada Oxford University. Apabila dia terdengar tentang Bitcoin, sebuah konsep matawang digital yang baru ketika itu, dia sedar bahawa ada peluang di sebalik teknologi ini.

Jadi, terbinalah OneCoin, yang seperti Dr Ruja jamin, lebih baik, mudah dan selamat berbanding Bitcoin. Konsep pelaburan juga mudah. Anda hanya perlu hantar wang kepada akaun bank OneCoin dan anda akan menerima matawang kripto OneCoin dalam akaun anda di laman web mereka.

Pelabur dipaparkan dengan gambar Dr Ruja di majalah Forbes versi Bulgaria dan video ucapan majlis yang dianjurkan The Economist.

Tambahan pula, dengan kenaikan harga matawang kripto pada tahun 2015 hingga 2018, OneCoin mendapat perhatian yang lebih tinggi di grup Facebook dan WhatsApp.

Potensi “pelaburan” dalam teknologi baru yang dibina oleh seorang yang dilihat sebagai mempunyai kredibiliti menarik pihak awam untuk meletakkan wang mereka. Pelabur datang daripada pelbagai tempat sama ada jutawan di Amerika Syarikat, pelajar, suri rumah malah penduduk kampung di Uganda!

Dr Ruja Ignatova di halaman iklan Forbes yang dibayar oleh syarikat OneCoin sendiri bagi menarik pelabur.

Konsep dan Struktur OneCoin

Hype terhadap matawang kripto membuatkan OneCoin popular di kalangan awam. Dr Ruja juga menggunakan sentimen dan konsep yang digunakan dalam komuniti kripto iaitu:

  1. Bank mempunyai kuasa yang berlebihan dan matawang kripto ingin memberi kuasa kembali kepada orang awam.
  2. Konsep wang fiat yang digunakan sekarang adalah lapuk dan matawang digital merupakan masa depan kewangan.
  3. Harga dan permintaan akan meningkat bergantung kepada kepercayaan pengguna

Tidak semua yang Dr Ruja katakan ini salah tetapi dia menggunakan konsep dan ideologi untuk “menjual” OneCoin dan mengambil kesempatan keadaan hype matawang kripto.

Struktur Multi Level Marketing. Kredit: corporate-cases.com

Konsep Kekeluargaan Dalam Komuniti OneCoin

Dalam ucapan Dr Ruja, dia mengatakan bahawa dengan mengambil bahagian dalam OneCoin, anda bukan sahaja melabur dalam revolsui kewangan malah menyertai “keluarga yang besar”.

Seperti MLM dan skim piramid lain, konsep kekeluargaan adalah senjata yang digunakan untuk menabur sentimen “Us Against Them“. Ini bermakna orang yang percaya akan OneCoin akan bersama-sama kekal dalam kelompok tersebut. Sebarang kritikan akan dibalas dengan tohmahan berbanding kesedaran.

Para pelabur akan diterima dalam rangkaian OneLife. Mereka dapat mengambil bahagian dalam grup WhatsApp yang mempunyai maklumat dalaman organisasi OneCoin.

Mereka mempunyai simbol tangan sendiri apabila bersama dengan komuniti OneCoin di seluruh dunia.

Para pelabur OneCoin dengan simbol tangan OneLife.

Seminar dan Kursus

OneCoin terkenal dengan kursus dan seminar yang diadakan secara gah di bandar-bandar seluruh dunia. Mereka mengadakan kursus di stadium Wembley di London, Hong Kong, Sydney, Amerika Syarikat dan juga negara-negara di Afrika.

Kadang-kala apabila Dr Ruja tidak dapat menghadiri majlis ini, pihak OneCoin akan memaparkan video daripada Dr Ruja untuk peserta bagi meyakinkan mereka untuk melabur.

Selain itu, mereka juga menawarkan pakej kursus untuk peserta ketahui lebih lanjut berkenaan OneCoin. Laporan mengatakan ini adalah sumber pendapatan utama OneCoin.

Pakej kursus OneCoin yang ditawarkan. Jumlah wang kursus yang dibeli dikatakan akan ditukar kepada bentuk OneCoin yang akan “meningkat” pada masa akan datang.

Strategi Multi Level Marketing (MLM)

OneCoin menggunakan struktur Multi Level Marketing (MLM) di mana pelabur memperoleh komisen apabila mendapatkan pelabur baru.

Peserta OneCoin akan menerima wang untuk setiap pakej kursus yang dibeli oleh pelabur baru.

Strategi MLM tidak digunakan secara meluas oleh bisnes lain kerana selalunya produk dan harga yang ditawarkan akan lebih mahal atau tidak bernilai.

Asas OneCoin Bukan Blockchain, Tetapi SQL

OneCoin sering menobatkan diri mereka sebagai “Bitcoin Killer” tetapi sebenarnya tidak menggunakan teknologi blockchain tetapi sebenarnya SQL yang digunakan oleh platform seperti Microsoft Excel atau sistem pengurusan data.

Oleh itu, pakej mining yang ditawarkan mereka tidak mempunyai apa-apa nilai kepada pelabur.

Jumlah pelaburan kepada OneCoin mengikut negara. Sumber: BBC
Jumlah pendapatan OneCoin setiap tahun dari 2015 hingga 2017. Sumber: BBC

Dr Ruja Menghilang dan Legasi OneCoin Diteruskan Hingga Tahun 2019

Pada hujung tahun 2017, Dr Ruja telah dijadualkan untuk memberi taklimat kepada peserta di majlis OneLife di Lisbon. Tetapi, dia tidak hadir dan sebarang komunikasi dengannya terputus.

Ini merupakan kali terakhir Dr Ruja dilihat di khalayak ramai dan dikatakan menghilang oleh para peminat OneCoin kerana “pihak bank telah menyasarkan penculikannya”.

Situasi yang lebih realistik adalah dia menghilangkan diri kerana waran tangkap telahpun dikeluarkan oleh Amerika Syarikat kerana penggubahan wang haram dan skim penipuan kewangan.

Adik Dr Ruja, Konstantin, mengambil alih tempatnya sebagai ketua OneCoin dan masih mengadakan seminar dan kursus untuk mempromosikan OneCoin.

Pada bulan Mac 2019, Konstantin ditangkap di lapangan terbang Los Angeles dan pada bulan yang sama, kerajaan Amerika Syarikat mengisytiharkan OneCoin sebagai skim penipuan.

Rumusan

Dr Ruja masih tidak dapat ditemui hingga sekarang. Orang lain yang terlibat dalam mempromosikan OneCoin telah pun ditahan. Pencarian sesiapa yang terlibat dalam OneCoin masih lagi diteruskan.

Ramai mangsa telah tampil untuk memberi kenyataan. Ada yang kehilangan seluruh wang simpanan untuk persaraan dan masih lagi terkesan sehingga kini.

Asasnya, OneCoin adalah skim penipuan tradisional yang menggunakan taktik MLM tetapi dengan cara tarikan moden iaitu matawang kripto. Berhati-hatilah dengan wang anda dan buat kajian menyeluruh terlebih dahulu sebelum melabur.

“Jika seseorang usahawan itu sering ke sana ke sini mengadakan seminar untuk mengajar anda membuat wang, andalah cara mereka membuat wang”

 

Adakah anda mengenali sesiapa yang terkesan dengan OneCoin? Jika anda ingin memberi testimoni pengalaman anda mengenai OneCoin, anda boleh DM kami di Twitter.

Klik di sini untuk mula dengan pelaburan matawang kripto yang sah di Luno dan dapatkan Bitcoin percuma bernilai RM25.

LaburWatch merupakan media kripto khas yang dibina untuk anda. Bantu kami sediakan lebih banyak konten untuk anda dengan derma ke alamat yang tertera di bawah.

Ethereum/BSC/Polygon Network:
0xfFe09B19cF2AeB10d3975570d21b5A86e6e0a1e3

LaburWatch exists with the community and for the community. Help us reach out to more audiences and produce more content by donating to our crypto address below.

Ethereum/BSC/Polygon Network:
0xfFe09B19cF2AeB10d3975570d21b5A86e6e0a1e3

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram

Bacaan Seterusnya