Peloton: Syarikat Teknologi Senaman Bernilai USD36 Billion

Peloton ($PTON) hangat diperkatakan sebagai “Apple” dunia senaman. Bagaimanakah syarikat teknologi senaman ini berjaya merevolusikan teknologi senaman sehingga boleh menarik lebih 3 juta ahli di seluruh dunia?

Ketahui lebih lanjut bagaimana Peloton bermula dan bagaimana dunia senaman interaktif semakin popular.

Pernahkah anda sedar akan kegilaan trend berbasikal sama ada road bike ataupun sesi Soulcycle/Flycycledi Malaysia? Di Amerika Syarikat, trend “hobi mahal” ini lebih kepada basikal rumah yang mempunyai skrin dicipta oleh syarikat teknologi, Peloton Interactive Inc.

Secara asasnya, Peloton adalah platform senaman interaktif terbesar di dunia yang merangkumi segala aspek daripada hardwaresoftware, konten, media dan logistik.

Ketahui lebih lanjut kisah Peloton dan bagaimana syarikat ini merevolusikan platform teknologi senaman.

Kisah Peloton

Peloton dilancarkan pada tahun 2012 oleh John Foley, seorang graduan dari Harvard Business School. Beliau kerap menyertai sesi Soulcycle/Flycycle. Tetapi, beliau sedar bahawa sesi berbasikal di gim tidak fleksibel dan memakan masa yang terlalu lama.

John Foley juga sedar bahawa pengunjung lebih tertarik kepada lagu, vibe dan sesi interaktif berbanding kualiti basikal itu sendiri. Jadi, John Foley merekrut empat orang rakannya dalam bidang disiplin berbeza untuk memulakan syarikat mereka sendiri yang dinamakan Peloton (yang bermaksud kumpulan berbasikal dalam bahasa Perancis).

Pada awalnya, mereka menggunakan barang sedia ada di pasaran seperti tablet Android dan basikal rumah. Namun, mereka dapati bahawa basikal yang ada di pasaran tidak dapat mengukur metrik dan kuasa dengan tepat dalam realtime. 

Prototaip pertama Peloton menggunakan tablet sedia ada dan rangka/komponen basikal yang direka sendiri.

Melalui prototaip ini, mereka boleh meyakinkan pelabur bahawa projek ini mampu dibina dan pada hujung tahun 2012, Peloton berjaya memperoleh dana sebanyak USD3.5 juta.

Peloton melancarkan produk pertama mereka di Kickstarter untuk cuba memasuki pasaran tetapi hanya berjaya menjual sebanyak 200 unit sahaja. Sebab kurangnya jualan terletak pada harga basikal.

Pada tahun 2014, John Foley dan pasukan tukar strategi baru untuk memasuki pasaran. Peloton mula membuka kedai fizikal untuk pelanggan cuba produk mereka dan kedai-kedai ini pula terletak di kawasan high-end di New York dan San Francisco.

Peloton Studio di New York. Kredit: peloton.com

Strategi ini ternyata berjaya dan menjelang tahun 2018, Peloton memperoleh jualan sebanyak USD435 juta. Untuk setiap tahun berikut, Peloton berjaya mengembangkan jualan mereka dengan kadar 100% berbanding tahun sebelumnya!

Kredit: Peloton Interactive Inc, 2020 Annual Report
Peloton berjaya memperoleh USD1 billion buat pertama kali untuk satu suku perniagaan pada Q2 2021.

Prestasi jualan Peloton berkembang dengan pesat sejak IPO pada tahun 2019. Apa yang membuatkan Peloton begitu istimewa?

Produk Peloton

Terdapat dua produk hardware Peloton iaitu basikal (Peloton Bike, Peloton Bike+) dan treadmill (Peloton Tread, Peloton Tread+). Semua peranti dan alatan senaman ini dikategorikan sebagai “Connected Fitness Products” oleh Peloton.

Peloton Bike

 

Peloton Tread

Peloton App

Selain daripada alatan senaman premium, Peloton juga menawarkan langganan dalam aplikasi digital mereka. Untuk langganan asas ($12.99 sebulan), pengguna hanya boleh akses aplikasi ini melalui peranti mereka sendiri manakala untuk langganan Peloton ($39 sebulan), pengguna dapat akses konten yang menyeluruh bersama servis analisa data.

Peloton Kawal Segala Aspek Perniagaan

Peloton menyasarkan perniagaan yang berteraskan vertical integration. Apa maksudnya?

Vertical integration adalah strategi di mana sebuah syarikat mengawal pembuatan, pengedaran dan peruncitan dalam rangkaian bekalan mereka. Strategi ini membolehkan syarikat untuk memperoleh keuntungan lebih tinggi melalui pengurangan kos dan penaiktarafan sektor pembuatan mengikut permintaan.

Kita dapat lihat angka margin keuntungan yang tinggi dalam laporan kewangan mereka. Peloton memastikan margin keuntungan daripada “Connected Fitness Products” sebanyak 43% untuk tahun 2020 dan 41.7% pada tahun 2019.

Margin keuntungan untuk tahun 2020 mencecah 43%.
  • Logistik

Untuk mengawal rangkaian logistik, Peloton telah membina pusat pengedaran yang berdekatan dengan bandar. Kumpulan operasi lapangan juga memberikan servis penghantaran terus ke rumah dan menawarkan servis sokongan professional berkaitan dengan produk mereka.

Bagi memenuhi permintaan, Peloton telah mula mendapatkan servis pihak ketiga untuk mengurangkan masa menunggu. Pada bulan Jun 2020, mereka telah menerima permintaan melebihi kapasiti sebanyak $230 juta disebabkan oleh pandemik.

  • Pembuatan

Menurut Peloton, mereka outsource komponen Peloton kepada beberapa pengilang di Asia (majoriti di Taiwan) dan hanya mengambil bahagian dalam pemasangan. Mereka juga mendapatkan alatan senaman melalui purchase order basis yang bermakna mereka hanya akan mendapatkan komponen tertentu apabila terdapat jualan.  Ini dapat mengurangkan kos dan pembaziran ruang untuk gudang simpanan.

  • Pemasaran melalui instructor

Peloton mempunyai sokongan komuniti yang kuat disebabkan oleh pasukan instructor mereka. Sebagai contoh, Robin Arzon, ketua instructor di Peloton mempunyai hampir 800 ribu pengikut di Instagram. Media sosial memainkan peranan penting dalam pemasaran Peloton dan rata-rata setiap  instructor Peloton bertaraf selebriti ataupun influencer dalam pilihan media sosial masing-masing (Tiktok, Facebook, Instagram).

Semua instructor ini bekerja untuk Peloton dan kini sudah mencecah seramai 33 orang.

  • Media dan konten

Peloton  mempunyai studio yang dibina khas untuk penyiaran konten live daripada instructor. Memandangkan muzik memainkan peranan penting dalam senaman, Peloton menyasarkan untuk membina katalog mereka sendiri. Buat masa sekarang, mereka sudah pun memiliki lesen untuk 2 juta lagu dan merupakan katalog muzik senaman terbesar di dunia. Peloton juga telah mengumumkan kerjasama dengan Beyonce untuk duta muzik dan pemasaran mereka.

Selain itu, Peloton juga masih meneroka peluang untuk menjadikan platform mereka sebagai “music discovery platform“. Label atau studio mempunyai peluang untuk memasarkan artis melalui platform ini.

  • Peruncitan

Peloton mempunyai 95 studio di seluruh dunia yang terletak di Amerika Syarikat, Kanada, United Kingdom dan Jerman. Semua studio ini terletak di pusat beli-belah premium dan pusat tarikan utama.

Rumusan

Secara asasnya, Peloton adalah syarikat pemasaran yang menjual basikal rumah interaktif. Menurut laporan kewangan tahun 2020, majoriti pasaran mereka adalah daripada Amerika Syarikat/Kanada dan yang lain datang daripada Jerman dan United Kingdom. Peloton juga akan memasuki pasaran Australia bermula Julai 2021. Ini menunjukkan bahawa Peloton masih berkembang dan mempunyai potensi pasaran yang luas.

93% jualan datang daripada Amerika Utara pada tahun 2020 dan 100% jualan datang daripada Amerika Utara pada tahun 2018. Kredit: Peloton Interactive Inc, 2020 Annual Report

Dengan populariti Peloton, pesaing sudah mula memberi perhatian terhadap pasaran senaman interaktif. Antara pesaing terbesar:

  • NordicTrack (sudah pun berada dalam industri senaman sejak 1975)
  • Echelon (yang baru-baru ini mengumumkan mereka akan bekerjasama dengan Pitbull untuk bahagian media)

Namun, Peloton menganggap gimnasium dan sesi basikal seperti Soulcycle/Flycycle sebagai pesaing utama mereka. Mereka berjaya berkembang dengan pesat terutamanya ketika pandemik. Sasaran pasaran mereka pula kebanyakannya terdiri daripada golongan T20 yang tidak begitu terkesan dengan pandemik.

Jadi, apabila pandemik ini berakhir, Peloton mungkin perlu lebih agresif dalam kempen pemasaran mereka. Apa-apa pun, industri senaman interaktif bakal menjadi pasaran besar di masa akan datang terutamanya untuk yang tinggal di bandar.

 

Apakah pendapat anda tentang Peloton Interactive? Adakah industri senaman interaktif akan menjadi popular di Malaysia?

LaburWatch merupakan media kripto khas yang dibina untuk anda. Bantu kami sediakan lebih banyak konten untuk anda dengan derma ke alamat yang tertera di bawah.

Ethereum/BSC/Polygon Network:
0xfFe09B19cF2AeB10d3975570d21b5A86e6e0a1e3

LaburWatch exists with the community and for the community. Help us reach out to more audiences and produce more content by donating to our crypto address below.

Ethereum/BSC/Polygon Network:
0xfFe09B19cF2AeB10d3975570d21b5A86e6e0a1e3

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram

Bacaan Seterusnya